KUALA LUMPUR - Kemarahan dan ketidakpuasan hati segelintir pihak apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sambutan rumah terbuka sempena Aidilfitri, berpunca daripada dengki dan dendam kesumat terhadap pemimpin itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sambutan rumah terbuka ketika Syawal adalah amalan tradisi yang sudah dilaksanakan kerajaan di bawah kepimpinan setiap Perdana Menteri.
Katanya, acara rumah terbuka diadakan pemimpin kerajaan di negara ini, turut menjadi kelaziman tahunan ketika perayaan utama, seperti Tahun Baharu Cina serta Deepavali dan ia tidak pernah dipertikaikan sebelumnya kerana ia sambutan yang diterima rakyat.
“Tiba-tiba ada segelintir manusia yang mengatakan ia membazir. Kamu duduk di gua mana ini?
“Sejak Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri pertama, (diikuti) Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan semua (pemimpin kerajaan) selepas itu, menyambut hari raya.
“Kenapa bila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan Kedah sebagai destinasi (majlis rumah terbuka), kenapa kamu marah, kerana dalam hati kamu penuh dengan dengki dan dendam kesumat,” katanya menerusi rakaman video ketika berucap pada Program Himpunan MADANI Kedah 2023 di Dataran Stargate, Alor Setar.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan segelintir pihak, termasuk pemimpin pembangkang yang mendakwa langkah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di enam negeri, antaranya Kedah hanya bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan membazirkan dana.
Dakwa pihak terbabit, acara itu menyebabkan berlaku lebih banyak pembaziran semata-mata untuk memenuhi kerakusan politik Anwar dan kerajaan campuran pimpinannya.
Bagaimanapun, Anwar menepis dakwaan itu dengan mengatakan acara berkenaan bukan dilaksanakan atas kapasiti peribadi, sebaliknya dianjurkan kerajaan sebagai usaha mendampingi dan menyantuni rakyat di lebih banyak negeri.
Tegasnya, kerajaan mengadakan acara itu juga untuk menjamu rakyat dan memberi peluang kepada penduduk di negeri lain merasai jamuan kerajaan, justeru beliau menyifatkan ia sebagai tidak membazir.
Pada masa sama, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, penganjuran acara itu dilaksanakan meliputi konsep bersama MADANI dan RAHMAH demi kebaikan rakyat.
“Ini MADANI untuk semua, RAHMAH untuk semua, ini slogan yang akan kita bawa, ayuh Anwar jangan peduli dengan mereka, biarkan mereka meraung dan menyanyi dengan lagu songsang mereka.
“Kita datang dengan wajah MADANI, kita akan datang dengan wajah RAHMAH insyaallah dan kembalikan Kedah kepada Kerajaan Perpaduan pada PRN akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, apa yang pasti, Kerajaan Perpaduan yang menerapkan konsep Malaysia MADANI sebagai teras pentadbirannya tidak pernah bermain atau berbicara politik untuk kebajikan rakyat.
Menurutnya, sejak hari pertama Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, pemimpin itu mengungkapkan satu perkara daripada jiwanya, iaitu beliau sejak zaman pelajar hingga kini, akan berjuang demi rakyat tanpa mengira penat.
Perdana Menteri, katanya, menegaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan tidak mengira masa sama ada dalam kerajaan atau di luar kerajaan atau ketika di penjara luar atau semasa bebas kerana hati nuraninya adalah untuk rakyat.
“Kami ke Kedah dengan satu niat, apa dia? Untuk kita berjuang demi rakyat negeri ini, apa yang kami lakukan, apa kami putuskan dalam Kabinet, apa kami bincang dalam Kabinet bukan untuk kita berpolitik.
“Persetankan sesiapa yang mahu bermain politik, biarkan mereka mencerca dengan seribu cara, tetapi kerajaan MADANI akan tetap datang menyantuni rakyat.
“Tidak kira siapa antara kita, orang Islam bukan Islam, Dayak, Kadazan, Murut, sama ada kamu Melayu, Cina atau India, ‘we are Malaysian’ (kita adalah Malaysia), kita adalah warganegara Malaysia yang layak mendapat habuan daripada khazanah negara kita miliki pada hari ini,” katanya. – Getaran, 29 April 2023