KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan memberikan perhatian bagi mengatasi tiga masalah dihadapi anak untuk membolehkan mereka menjaga dan tidak mengabaikan ibu bapa.
Masalah itu, tegasnya, disebabkan mereka tidak mampu menampung kos penjagaan warga emas, tiada ekosistem efisien untuk penjagaan dan bebanan dialami generasi ‘sandwich’.
Katanya, kerajaan harus mengurangkan beban kos sara hidup dan keperluan rakyat bagi memastikan anak mampu memberikan penjagaan terbaik kepada ibu bapa apabila tua, sekali gus mengelakkan golongan berkenaan diabaikan.
“Kenapa sampai ada yang kata anak-anak abaikan ibu bapa mereka?
“Adakah semua anak tak bertanggungjawab? Mereka nak biarkan ibu bapa mereka begitu saja?
“Saya yakin ini bukan niat mereka. Sebaliknya saya rasa ini tiga masalah yang mereka hadapi dan perlu perhatian kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian mengulas laporan bertajuk Akta Warga Emas Akan Digubal, Timbang Tindakan Pada Anak Abai Tanggungjawab disiarkan sebuah portal, baru-baru ini.
Menerusi laporan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, Akta Warga Emas akan diwujudkan untuk melindungi kebajikan golongan terbabit sebagai persediaan Malaysia mencapai status negara tua pada 2030.
Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, kementerian itu juga menyambut baik cadangan memperkenalkan undang-undang mewajibkan potongan gaji dalam kalangan anak yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan dan berkemampuan, tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.
Syed Saddiq berkata, dari aspek masalah tidak mampu menampung kos penjagaan warga emas, di Malaysia dinyatakan 67 peratus anak menanggung kos makanan dan keperluan harian ibu bapa.
Peratusan itu, katanya, menunjukkan mereka berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan tanggungjawab sebagai anak, namun bukan semua mampu memberikan penjagaan terbaik.
“Ada yang tak mampu sebab tak cukup duit, tak ada masa, kena jaga anak-anak sendiri lagi.
“Kalau ibu bapa ada sakit kronik kena tanggung kos peralatan. Alat dialisis, iv drops dan sebagainya.
“Secara puratanya, mereka kena tanggung kos lebihan RM1,500 untuk barangan keperluan orang tua,” katanya.
Mengulas mengenai masalah tiada ekosistem efisien untuk penjagaan, Syed Saddiq berkata, di Malaysia, purata bayaran rumah kebajikan warga emas boleh mencecah hingga RM3,000 sebulan.
Ujarnya, kos itu tidak termasuk penjagaan penyakit kronik, seperti dementia atau strok.
Justeru, beliau berkata, kos perlu diasingkan untuk penjagaan ibu bapa, boleh mencecah hingga RM12,000.
“Faktor komplikasi kesihatan juga boleh sukarkan penjagaan.
“Kena pastikan ada akses perlindungan untuk mereka yang keluarkan wang simpanan untuk tampung kos.
“Mudahkan mereka, terjagalah warga emas kita,” katanya.
Pada masa sama, Syed Saddiq menegaskan, masalah bebanan dialami generasi ‘sandwich’, iaitu individu yang bukan hanya perlu menanggung diri sendiri, malah harus membiayai anak dan orang tua mereka juga menyukarkan golongan terbabit melaksanakan tanggungjawab untuk memenuhi penjagaan ibu bapa.
“Berulang kali saya tegaskan, kerajaan kena ambil perhatian atas golongan ini (generasi sandwich). Gaji untuk bayar bil, buat makan pun tak cukup, macam mana nak beli peralatan medikal?
“Kalau kita lihat di Jepun, mereka praktikkan kaedah Kaizen yang mana mereka sediakan perkhidmatan pelanggan berkualiti.
“Ini juga apa yang patut Malaysia laksanakan. Ringankan beban rakyat, bukan hukum mereka,” katanya.
Selain itu, Syed Saddiq berkata, kurang dari 10 tahun, Malaysia akan menjadi ‘negara tua’ dan menyaksikan 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
“Tiga isu penting kerajaan kena cakna, iaitu warga emas makin ramai, wang simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tak cukup dan anak tak mampu nak jaga ibu bapa,” tegasnya. – Getaran, 18 Mac 2023