KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas beberapa pertuduhan, termasuk penglibatannya berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhyiddin akan didakwa pada jam 9 pagi ini.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 serta Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Terdahulu, SPRM mengesahkan Muhyiddin ditahan pada jam 1 tengah hari semalam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Beliau ditahan selepas hadir untuk memberi penjelasan berhubung proses siasatan kes salah guna dana kerajaan berkaitan Jana Wibawa.
Muhyiddin kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas kira-kira sembilan jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang tiba ke ibu pejabat SPRM pada jam 11.15 pagi, dilihat keluar pada jam 8.15 malam.
Getaran membawakan anda perkembangan kes pendakwaan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu.
9.42 pagi: Selepas mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan, Muhyiddin dijangka mengadakan sidang media di kompleks mahkamah.
9.34 pagi: Pendakwa raya akan memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi KL pada Isnin. Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin
9.27pagi: Hakim Azura telah memerintahkan ikat jamin ditetapkan pada RM2 juta dengan dua penjamin dan pasport Muhyiddin diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen KL atas empat tuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta
9.25 pagi: Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan, iaitu membabitkan empat menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden BERSATU telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dan RM1 juta daripada Nepturis Sdn Bhd, bagi parti BERSATU.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, beliau didakwa sebagai Perdana Menteri dan presiden parti itu telah menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada Mamfor Sdn Bhd dan RM12 juta daripada Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Muhyiddin juga didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai Presiden BERSATU telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti berkenaan.
9.20 pagi: Hakim Azura Alwi mengendalikan kes Muhyiddin. Muhyiddin diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran, Datuk Rosli Dahlan dan Datuk Takiyuddin Hassan.
9.05 pagi: Beberapa penyokong Muhyiddin melaungkan ‘Bangkit Perikatan’ di luar kompleks mahkamah.

8.50 pagi: Pemimpin parti itu yang turut kelihatan adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Rina Harun, Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Seri Radzi Jidin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
8.45 pagi: Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin ditemui di kompleks mahkamah sama.
8.45 pagi: Ahli keluarga dan anak Muhyiddin turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada ahli politik itu.
8.40 pagi: Kenderaan membawa Muhyiddin dilihat tiba di kompleks mahkamah. Muhyiddin, 75, yang memakai sut lengkap berwarna gelap tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard, ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
8.40 pagi: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan puluhan penyokong Muhyiddin berada di luar kompleks mahkamah pagi ini, sebagai tanda solidariti untuk presiden parti berkenaan.
8.20 pagi: Bernama melaporkan kenderaan polis dilihat di kediaman Muhyiddin di Jalan Setiabakti 5, Bukit Damansara dan kira-kira 10 minit kemudian, kenderaan membawa mantan Perdana Menteri itu meninggalkan kediaman berkenaan.
8.10 pagi: Petugas media sudah mula berkumpul di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini menjelang prosiding membabitkan Muhyiddin.