KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat.
Menterinya, Fadhlina Sidek memberitahu Dewan Rakyat, sebarang pembinaan sekolah akan diperhalusi berdasarkan input yang diterima melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Menurut beliau, analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia daripada PLANMalaysia, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun 2022 adalah langkah seterusnya, sebelum sebarang pembinaan boleh diluluskan.
“Selain daripada kesediaan tapak atau tanah, perkara lain turut diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Rodziah Ismail (PH - Ampang) berhubung usaha mengemas kini dan menambah baik garis panduan membina sekolah baharu berdasarkan kriteria keperluan seperti saiz penduduk, jarak sekolah terdekat dengan kawasan kediaman, sistem pengangkutan dan keupayaan kewangan.
Rodziah menerusi soalan sama turun meminta penjelasan mengenai status Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Bukit Antarabangsa yang masih tertangguh meskipun telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Menjelaskan kedudukan sebenar, Fadhlina memberitahu Sidang Dewan, KPM tidak memiliki sebarang perancangan untuk membina sekolah menengah baharu di kawasan Bukit Antarabangsa dalam RMK-10.
“KPM mendapati bahawa SMK yang berdekatan masih mampu untuk menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, KPM akan terus meneliti keperluan pembinaan sekolah menengah bagi menampung keperluan setempat dari semasa ke semasa,” katanya.
Sidang Dewan diberitahu, KPM sedang melaksanakan projek pembinaan baharu SK Ukay Sungai Sering di kawasan Bukit Antarabangsa, melibatkan 30 bilik darjah dan kemudahan lain yang berkaitan.
“Projek ini telah diluluskan dalam RMK-10, namun tidak dapat dilaksanakan dan disambung semula dalam tempoh RMK-11 dan RMK-12 disebabkan oleh pertukaran tapak.
“Tapak asal projek ini berada di kawasan cerun berskala tiga yang memerlukan tambahan kos penahan cerun dan tidak sesuai untuk pembinaan sekolah,” jelasnya.
Fadhlina memberitahu, KPM pada 2018 telah mengenal pasti cadangan tapak baharu bagi pembinaan sekolah tersebut.
“Tapak baharu yang merupakan tanah serahan pemaju ini telah diluluskan permohonan pemberimilikan tapak kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan kini dalam proses untuk mendapatkan geran.
“Buat masa ini, status pembinaan projek ini masih berada di fasa pra pembinaan dan dalam peringkat akhir untuk melantik pihak perunding bagi menyediakan pelan rekabentuk bangunan dan menyelesaikan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) dengan Pihak Berkuasa Tempatan. Proses pelantikan perunding ini dijangka selesai pada Mac ini,” katanya. - Getaran, 6 Mac 2023