KUALA LUMPUR - Kira-kira 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 55 tahun dan ke bawah, tidak mempunyai simpanan persaraan mencukupi serta melebihi paras kemiskinan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan empat pengeluaran khas yang dibenarkan ketika pandemik COVID-19.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, bilangan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) merosot daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus akhir tahun lalu.
“KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat sehingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang dikeluarkan semasa pandemik.
“Sehubungan itu, sebarang pengeluaran tambahan baharu sama ada secara bersasar ataupun terbuka akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang sudah pada tahap membimbangkan,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
_anwar_ibrahim_dewan_rakyat_parlimen_gambar_japen.jpg)
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pendirian kerajaan terhadap pengeluaran wang KWSP sebagai langkah bantuan kewangan.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengeluaran tambahan baharu menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang.
Katanya, ia turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan.
“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun selepas pengeluaran berkenaan.
“Jumlah ini menyebabkan ahli memperolehi pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” katanya.
Sebelum ini, KWSP melaksanakan empat kemudahan pengeluaran berkaitan COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas bagi membantu kelangsungan hidup ahlinya dalam menempuhi cabaran dan impak akibat pandemik terbabit.
Kemudahan pengeluaran yang terbuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun itu, memanfaatkan seramai 8.1 juta ahli atau 62 peratus daripada 13.1 juta ahli layak.
Jelas Anwar lagi, pencarum membuat sekurang-kurangnya satu daripada empat kemudahan pengeluaran yang disediakan melibatkan jumlah pengeluaran keseluruhan bernilai RM145 bilion.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu ketidakcukupan simpanan KWSP perlu diberi perhatian serius ketika negara kini sedang menginjak ke arah status negara tua.
“Ia bakal memberi impak yang amat besar kepada negara dan rakyat, terutamanya dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup serta kesihatan.
“Di samping itu, pengeluaran tambahan baharu memerlukan KWSP untuk menyediakan aliran tunai bagi menampung amaun pengeluaran besar tersebut,” katanya.
Ujarnya, KWSP perlu mengambil langkah pengimbangan portfolio dengan mengambilkira pegangan tunai semasa, kecairan dan kematangan pegangan instrumen berpendapatan tetap, selain memperlahankan aktiviti pelaburan domestik.
“Tambahan pula, indikator ekonomi menunjukkan bahawa aktiviti ekonomi semakin pulih dengan perniagaan yang mula beroperasi sepenuhnya dan sebahagian besar pekerja sudah kembali bekerja untuk menjana pendapatan.
“Ini boleh dilihat daripada statistik KWSP yang menunjukkan peningkatan ketara dari segi bilangan ahli dan majikan yang aktif mencarum, pendaftaran ahli dan majikan baharu serta jumlah caruman setakat Disember 2022,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, kerajaan berpendapat pengeluaran simpanan KWSP, sama ada secara terbuka atau bersasar bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada beban kewangan ahli yang semakin meningkat.
Sebaliknya, menurut Anwar, sistem perlindungan sosial perlu diperkukuhkan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai perlindungan apabila berlaku perkara tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
“Sebagai salah satu institusi keselamatan sosial besar di negara ini, KWSP perlu berkerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam membina dan
memperkukuhkan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh dan mampan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya. – Getaran, 23 Februari 2023