KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Wan Saiful Wan Jan antara dua individu yang akan dihadapkan ke mahkamah berhubung penyelewengan projek Jana Wibawa.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Adam Radlan Adam Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang pernah ditahan sebelum ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada jam 9 pagi ini.
Difahamkan, SPRM baharu sahaja diberi kebenaran untuk mendakwa kedua-dua individu terbabit.
“Ya, akan ada pertuduhan dibuat esok (hari ini),” kata sumber seperti dilaporkan The Star.
Sementara itu, The Vibes melaporkan, mantan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Wan Saiful menjadi individu terbaru yang disiasat agensi pencegahan rasuah tersebut.
Sumber mengesahkan kedua-dua mereka sudah diambil kenyataan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
Difahamkan, mereka disoal siasat bagi membantu siasatan berhubung pakej rangsangan ekonomi, Jana Wibawa bernilai berbilion ringgit, di mana Presiden BERSATU yang juga mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan antara suspek.

Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na'aman ketika dihubungi mengesahkan Wan Saiful dipanggil SPRM hari ini, tetapi tidak dapat memberikan butiran lanjut.
“Saya tidak dapat mengesahkan sama ada beliau telah ditahan. Yang saya tahu, Wan Saiful dipanggil SPRM buat kali kedua hari ini. Saya tidak mempunyai butiran lanjut.
“Pemimpin BERSATU yang sudah dipanggil untuk disoal siasat cenderung tidak bercakap secara terperinci mengenai siasatan mereka kepada saya,” katanya.
The Vibes cuba menghubungi Tengku Zafrul dan Wan Saiful untuk mendapatkan komen mereka tetapi masih belum menerima maklum balas daripada kedua-dua pihak.
Pada Sabtu lalu, SPRM mengesahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
Sumber berkata, dalam siasatan SPRM, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan.
Menurut sumber, selaku suspek, Muhyiddin tidak sepatutnya memberi ulasan berunsur spekulasi kerana perkara itu boleh mengganggu siasatan SPRM.
Siasatan juga sedang dijalankan terhadap beberapa individu termasuk mantan Menteri Kewangan. – Getaran, 21 Februari 2023