Berita Terkini

2 jam yang lalu: Anwar puji sikap Hun Sen yang hormati kaum Muslim 2 jam yang lalu: Anwar bakal umum pelaburan penting baharu semasa lawatan ke China 2 jam yang lalu: Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi seluruh negara 2 jam yang lalu: Karate sasaran lubuk emas negara di Sukan SEA - CDM 3 jam yang lalu: Malaysia-Turkiye boleh terokai kerjasama baharu industri aeroangkasa - Ahmad Zahid

IKUTI KAMI


PrEP Bukan Petanda KKM Sokong Seks Bebas, LGBT

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 14 Feb 2023 7:20AM

Ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) - Tangkap layar dari mypreplocator.com

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Penggunaan ubat rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) di klinik kesihatan bagi mengurangkan risiko jangkitan HIV melalui hubungan seks tidak boleh dilihat sebagai cubaan untuk menghalalkan kemungkaran.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pelaksanaan program rintis PrEP sebaliknya adalah cerminan kepada komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) mencegah dan merawat jangkitan HIV.

Menurut beliau, PrEP tidak seharusnya dijadikan alat untuk menghukum pesakit, hanya kerana kekhilafan atau kesilapan dilakukan.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh
Dr Sharifa Ezat Wan Puteh

“Prinsip dan amalan perubatan ialah memberikan rawatan dan pencegahan kepada semua pesakit agar mereka tidak terabai.

“Siapapun individu itu atau apa juga sejarah hitam yang pernah dilalui, hak mereka untuk mendapatkan rawatan tidak boleh dinafikan,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas perdebatan hangat dunia perubatan negara mutakhir ini, susulan cadangan melaksanakan pemberian PrEP bagi mencegah jangkitan virus HIV yang merupakan antara penyebab utama AIDS.

Pemberian tersebut turut ditentang Jabatan Mufti Selangor, yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk subahat dan menggalakkan maksiat.

Menangkis tanggapan itu, Dr Sharifa Ezat berkata, PrEP adalah kaedah yang digunapakai bagi mengurangkan risiko jangkitan, khususnya ke atas golongan muda dan pasangan sah mereka.

“Penggunaan PrEP mampu menghalang jangkitan HIV daripada merebak kepada orang lain.

“Pesakit juga akan diberi kaunseling agar perbuatan (seks songsang dan seks bebas) itu dapat mereka tinggalkan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, agensi kerajaan perlu bersama KKM dalam memberi bimbingan kepada penerima ubat terbabit, kerana isu jangkitan HIV adalah permasalahan nasional yang melibatkan pelbagai pihak.

“Kalau mereka (penerima) Muslim, ia akan melibatkan Jabatan Agama Islam. Sekiranya berlainan agama, ia tidak menjadi isu namun perlu kita memberi kaunseling tentang cara hidup sihat dan apa risiko sekiranya mengamalkan seks bebas atau songsang.

“Takkan seorang pondan kita nak penjarakan? Kita perlu bimbing mereka walaupun perbuatan mereka salah. Kita tak cakap mereka itu betul namun kita kena berikan kaunseling dan rawatan kepada mereka untuk elakkan perbuatan itu daripada menjadi lebih teruk dan menghindar jangkitan HIV daripada merebak,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Sharifa Ezat berpandangan, projek rintis yang dilaksanakan oleh KKM itu adalah hak individu dan tiada paksaan untuk mereka menggunakan ubat rawatan PrEP dalam mencegah jangkitan HIV.

“Itu terpulang kepada masing-masing punya persepsi kerana Malaysia mempunyai pelbagai agama dan budaya. Kita tak boleh nak paksa namun bila ada yang sudah terjerumus dalam aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), seolah-olah sudah ada kegagalan sebagai sebuah negara Islam untuk menangani isu tersebut.

“Bagi perubatan, kita kena teruskan walaupun ada pihak kutuk atau sebagainya demi mengelakkan mereka (golongan seks bebas dan songsang) daripada dijangkiti HIV dengan lebih teruk dan menyebarkan pula virus maut itu kepada orang lain,” katanya.

Dr Muruga Raj Rajathurai
Dr Muruga Raj Rajathurai

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, strategi pencegahan nasional yang lebih berkesan, termasuk PrEP adalah sangat diperlukan memandangkan jumlah jangkitan HIV yang tinggi.

Katanya, laporan Global AIDS Monitoring 2022 KKM mendapati jumlah kumulatif kes HIV di negara ini ialah 128,638, manakala jumlah jangkitan HIV baharu yang dilaporkan ialah 2,760.

“Jumlah keseluruhan individu yang hidup dengan HIV ialah 67,822, walaupun MMA menganggarkan bilangan kes sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan kadar ujian yang rendah.

“Sehubungan dengan pandangan agama yang dinyatakan mengenai penggunaan PrEP, satu-satunya tujuan membenarkan orang yang berisiko tinggi HIV mendapat akses kepada PrEP adalah untuk mencegah penyebaran HIV dalam populasi dan menyelamatkan nyawa.

“Keputusan untuk membenarkan kumpulan berisiko tinggi mendapat akses kepadanya adalah berdasarkan bukti saintifik bagi mencapai hasil yang terbaik untuk masyarakat,” katanya 

Jelasnya, PrEP adalah ‘alat berkuasa’ untuk mencegah jangkitan HIV, khususnya apabila digabungkan dengan langkah pencegahan lain seperti ujian biasa dan penggunaan kondom.

“Apabila diambil seperti yang ditetapkan, PrEP mengurangkan risiko mendapat HIV daripada seks sebanyak kira-kira 99 peratus.

“Namun, penggunaan PREP bukanlah jawapan kerana masih ada keperluan untuk kempen kesedaran berterusan mengenai pencegahan HIV,” katanya.

Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan, pemberian ubat PrEP perlu dilarang ke atas individu yang mengamalkan seks songsang.

Menurut beliau, tindakan itu dilihat mampu membuka ruang agar perbuatan tersebut ‘dihalalkan’ dan seterusnya merosakkan lagi moral masyarakat.

“Perkara tersebut seolah-olah kita menggalakkan lagi perbuatan keji yang mereka lakukan,” katanya.

Wan Salim senada dengan saranan Jabatan Mufti Negeri Selangor bahawa pengambilan ubat tersebut hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

Namun, beliau berkata, pendiriannya itu berpandukan kepada kefahaman agama yang dimiliki, dan tiada kewajipan untuk ia diterima.

“Kita hidup dalam sebuah negara demokratik dan setiap orang bebas mengeluarkan pandangan. 

"Saya tiada kuasa untuk memaksa pandangan saya ke atas mana-mana individu atau pihak lain,” katanya. - Getaran, 14 Februari 2023.


 

Sorotan

1

Benar Kata PM, KWSP Hanya Patut Dikeluarkan Selepas Bersara – MTUC

2

Sudah Tiba Masa Perkasa Pengurusan Air

3

Dakwa Difitnah, Guan Eng Saman Muhyiddin

Disyorkan untuk anda

Semasa 10 jam yang lalu

Kerajaan Sasar Muktamad Pelan Subsidi Diesel Menjelang Ogos – Ahmad Maslan

oleh Qistina Nadia Dzulqarnain

Semasa 1 hari yang lalu

Bangunkan Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama - Raja Muda Perlis

Semasa 2 jam yang lalu

Nasi Ayam Cekik Darah Antara 99 Aduan Kenaikan Harga Bazar Ramadan

oleh Aiman Sadiq

Semasa 13 jam yang lalu

Anwar Tiba Di Phnom Penh, Lawatan Rasmi Perkukuh Hubungan Malaysia-Kemboja