KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Kertas Putih mengenai kes Batu Puteh akan dibentang di Parlimen untuk tindakan susulan.
Perdana Menteri berkata, keperluan menyediakan kertas putih itu diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Masalah kita hadapi adalah kerana laporan pasukan khas membantah keputusan untuk tidak merayu.
“Ia mengakibatkan kehilangan wilayah Malaysia dan saudara tahu kehilangan wilayah di mana-mana negara adalah masalah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Pada 27 Januari lalu, Pasukan Petugas Khas kes itu berpendapat bahawa tindakan untuk menarik balik kedua-dua permohonan semakan berhubung keputusan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan antara Malaysia dengan Singapura serta permintaan tafsiran ke atas perkara sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia berdasarkan laporan Pasukan Petugas Khas mengenai Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lalu.
Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes kedaulatan berkenaan pada 23 Mei 2008.
“Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor dibuat Pasukan Petugas Khas tersebut, termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan perlu bagi melaksanakan keputusan dibuat Jemaah Menteri,” katanya menerusi kenyataan.
Idrus berkata, isu Pulau Batu Puteh sangat penting kerana ia melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.
Tegasnya, dalam hal itu, kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi serta terpelihara.
Kemelut perebutan hak serta kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh yang terletak antara Malaysia dan Singapura selama beberapa tahun, membawa isu itu diadili ICJ.
Selepas dibicarakan, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura memiliki hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala pemilikan Batuan Tengah yang terletak hanya kira-kira 600 meter dari pulau itu diserahkan kepada Malaysia.
Hak milik Tubir Selatan yang berlokasi kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh pula akan ditetapkan mengikut persempadanan negara menguasainya.
Keputusan itu membuatkan Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan 30 Jun 2017 untuk memohon supaya ICJ mentafsirkan semula penghakiman berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah serta Tubir Selatan.
Permohonan semakan tersebut difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting yang menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap mereka memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.
Pada 29 Oktober 2021, Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat semakan semula mengenai undang-undang berhubung isu membabitkan Pulau Batu Puteh, ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes pulau itu di ICJ.
Pasukan itu ditubuhkan bertujuan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian berdasarkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa.
Manakala, pada 14 Disember tahun lalu, Anwar mahu isu tuntutan Pulau Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.
Anwar berkata beliau sudah menjelaskan kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bahawa keputusan dibuat Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan baik dua hala.
“(Ia juga) tidak jejaskan kedudukan status Batu Puteh yang sekarang ini sudahpun menjadi milik Singapura mengikut keputusan ICJ.
“Tindakan kelemahan yang melanggar proses itu terpaksa diangkat… sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang mengenai langkah harus diambil dan keputusannya (atas) kebijaksanaan Parlimen,” katanya. – Getaran, 8 Februari 2023