web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Wartawan Bantah ‘Halalkan’ Mercun, Ia Mengarut, Bercanggah Langkah Diambil Negara Lain

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Feb 2023 1:00PM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini keputusan kerajaan ‘menghalalkan’ penjualan mercun dikecam persatuan pengguna, terbaharu seorang pengguna media sosial mengambil langkah berani dengan meluahkan kebimbangannya kepada Ahli Parlimen di kawasannya dan meminta orang ramai melakukan perkara sama.

Wartawan automotif terkemuka, Paul Tan yang juga pemilik akaun Twitter @paultantk, menulis kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan turut menyediakan templat yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan itu kepada Ahli Parlimen masing-masing.

Menurut Paul, keputusan Kabinet mengenai perkara itu yang diumumkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, minggu lalu tidak membawa apa-apa faedah.

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming

Katanya, ia juga “mengarut” dan bercanggah dengan langkah yang diambil oleh negara lain.

Paul berkata, ketika kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di peringkat awal, beliau mungkin mempertimbangkan untuk tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika perubahan dasar kerajaan perpaduan memberi kesan negatif kepada kehidupannya.

“Setakat ini, saya tidak melihat sebarang perubahan dasar yang memberi kesan positif kepada kehidupan saya. Sebaliknya, kita mempunyai keputusan bodoh ini untuk menghalalkan sesuatu yang buruk apabila banyak negara lain menjauhinya.

“Sekiranya cara PH mentadbir negara dan dasar yang mereka laksanakan secara berterusan menjadikan hidup saya lebih sukar berbanding kerajaan sebelum ini, berkemungkinan besar saya tidak akan mengundi mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi The Vibes, semalam.

Templat surat disediakan Paul itu menegaskan keputusan ‘menghalalkan’ mercun dan bunga api “berpotensi membawa beberapa impak negatif, termasuk pencemaran bunyi, risiko kecederaan kepada manusia, risiko kebakaran, kemudaratan alam sekitar dan pembiakan sisa.”

Dalam surat itu juga, dia mengimbau tragedi Bright Sparklers Fireworks, yang disebut oleh sesetengah pihak sebagai “Hiroshima of Sungai Buloh”, di mana letupan besar dari kilang bunga api itu membunuh 26 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain pada 1991.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

“Insiden itu membuktikan bahaya disebabkan bunga api. Bunga api terlalu berbahaya digunakan untuk tujuan rekreasi,” katanya.

Ia juga mendakwa, kenyataan Kor Ming bahawa langkah itu “telah memenuhi kehendak masyarakat Cina” gagal untuk mempertimbangkan sebab mengapa bunga api diharamkan selama ini.

“Saya bimbang keputusan ini mungkin menjadi contoh untuk menghalalkan barang berbahaya lain yang kini menyalahi undang-undang kerana permintaan masyarakat tertentu.

“Ini menimbulkan persoalan apakah barang berbahaya lain mungkin dihalalkan pada masa hadapan. Adakah bahan terlarang untuk aktiviti rekreasi seterusnya (dibenarkan)?,” soalnya.

Mencadangkan agar kerajaan meneroka cara alternatif untuk meraikan majlis khas seperti perhimpunan komuniti, beliau turut menyeru Ahli Parlimen untuk membangkitkan isu tersebut dengan pihak berkaitan apabila berpeluang melakukannya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Menjawab ciapan Paul, beberapa pengguna menyatakan sokongan mereka terhadap pendiriannya itu manakala terdapat segelintir individu berpendapat mungkin ada faedah untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api.

Bagi pengguna @NgSengWah, membenarkan penjualan bunga api adalah satu langkah tepat kerana pengharamannya tidak terbukti membuahkan hasil.

“Saya benci udara dan pencemaran bunyi daripada bunga api. Ia diharamkan selama ini, tetapi kerana penguatkuasaan yang lemah dan rasuah yang berleluasa, seseorang itu mudah mendapatkannya (bunga api) dan boleh dijual secara terbuka,” katanya.

Tambahnya, langkah itu boleh memberi kerajaan kawalan yang lebih baik dengan mengurangkan amalan rasuah di samping membolehkan kutipan cukai daripada pemborong atau pengimport yang dibenarkan.

Pandangannya itu turut disokong pengguna Twitter @zongtwi yang mengatakan keputusan tersebut akan memastikan bahawa rantaian bekalan terbuka, sekali gus membolehkan pihak berkuasa melaksanakan kawalan yang diperlukan ke atas lesen bekalan.

The Vibes sedang berusaha untuk menghubungi Kor Ming untuk mendapatkan maklum balasnya mengenai perkara itu.

Terdahulu, Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (PPPM) tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet berhubung perkara itu yang disifatkan sebagai tidak membawa makna dan kerajaan seperti sudah ketandusan idea.

Timbalan Presiden PPPM, Beninder Singh berkata, alasan untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api sebagai punca kewangan negara juga adalah sebab yang remeh.

Jumaat lalu, Kor Ming mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk peraturan serta garis panduan akan dikeluarkan kelak.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan untuk penjualan bahan tersebut, manakala isu membabitkan duti bakal ditetapkan Kementerian Kewangan. - Getaran, 8 Februari 2023

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 2 tahun yang lalu

Kebakaran Di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu

2

Video & Galeri 2 tahun yang lalu

Bila Akal Tak Cukup Panjang, Ni Lah Jadinya

3

Semasa 2 tahun yang lalu

Bakar Mercun Tengah Jalan Raya, Pembantu Bengkel Dicekup Polis

4

Video & Galeri 2 tahun yang lalu

Dah Tiada Kerja Lain Ke...

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Simpang Renggam: Suspek Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

oleh Sophia Ahmad

Semasa 14 jam yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Semasa 13 jam yang lalu

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

Semasa 9 jam yang lalu

Tunku Zain Al-’Abidin Diisytihar Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

oleh Sophia Ahmad