KUALA LUMPUR - Pengurangan peruntukan untuk Ahli Parlimen wajar dikaji semula dengan mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutamanya di kawasan pedalaman.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai Ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri, beliau memahami dasar tindakan itu yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.
Katanya, bagaimanapun keputusan itu agak mengejutkan, mengambil kira Parlimen Kapit yang diwakilinya berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan luas kawasan menyamai negeri Pahang.
“Sudah tentulah peruntukan ini tidak mencukupi dan akan memberi cabaran yang lebih besar kepada saya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan rakyat.
“Kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung kepada peruntukan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, peruntukan sebelum ini banyak membantu Ahli Parlimen untuk memberi khidmat kepada rakyat secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan kerajaan.
“Peruntukan ini yang disalurkan ke Pusat Khidmat juga menjadi ‘one-stop centre’ bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.
“Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar,” katanya.
Jelas beliau lagi, peruntukan itu bukan sahaja bermanfaat kepada golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dan bergantung kepada bantuan daripada wakil rakyat.
Justeru, katanya, pengurangan peruntukan ini sudah tentu akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat.
“Atas dasar itu, kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan ini walaupun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini.
“Saya berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen akan dikurangkan kepada RM1.3 juta daripada RM3.8 juta.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengawal kewangan negara dengan lebih baik, di mana ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
Anwar menjelaskan, ia membabitkan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen yang diselaraskan oleh pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyediakan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan mendesak di kawasan Parlimen tertentu, seperti membaiki infrastruktur. - Getaran, 6 Februari 2023