KUALA LUMPUR - Tiada unsur nepotisme dilihat wujud dalam pelantikan mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.
Sebaliknya, beliau disifatkan sebagai seorang tokoh politik yang mempunyai merit dengan pengalaman memegang pelbagai jawatan penting sebelum ini, termasuk menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Nurul Izzah, yang sinonim dengan jolokan 'Puteri Reformasi' itu juga pernah menduduki kerusi Naib Presiden PKR, iaitu satu jawatan kanan, sesuai dengan peranannya sebagai antara pengasas parti berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, faktor bahawa Nurul Izzah pernah menjadi 'giant killer' dengan mengalahkan dua menteri Kabinet sebelum ini iaitu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Lembah Pantai, tidak boleh diabaikan.
"Satu lagi asas (bahawa) pelantikan Nurul Izzah ini bukan nepotisme adalah pelantikan (dibuat) berbentuk pro bono iaitu tiada punca kuasa serta tiada bajet yang boleh beliau luluskan dan pada masa sama, tidak mengambil gaji atau elaun.
"Beliau sekadar menyumbang buah fikiran, sama seperti Tan Sri Hassan Merican yang memberi nasihat kepada Perdana Menteri.
"Nepotisme berlaku apabila seseorang itu dilantik tanpa merit, semata-mata kerana hubungan politik dengan pemimpin. Nurul Izzah saya tidak nampak nepotisme tetapi kebetulan beliau adalah anak kepada Perdana Menteri," katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengesahkan Nurul Izzah, yang merupakan anak sulungnya, dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan beliau.
Anwar berkata, beliau mempelawa anaknya itu untuk jawatan tersebut bagi membantunya di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Begitupun jelas Perdana Menteri, Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun untuk apa sahaja tugasan dilakukan di bawah portfolio terbabit.
Mazlan menambah, meskipun tiada isu, pelantikan berkenaan tetap dijadikan bahan oleh pihak tertentu untuk menyerang kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
"Saya fikir Anwar telus. Beliau melantik berasaskan merit . Mungkin sebab Nurul Izzah ini kalah pilihan raya, mungkin (juga kerana) tiada jawatan atau tugas khusus boleh beliau buat maka ditawarkan sebagai orang yang boleh membantu Perdana Menteri dalam tugas-tugasnya," katanya.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut melahirkan pendangan senada dan berpandangan, terdapat rasional atas pelantikan tersebut.
Beliau turut mengingatkan, Nurul Izzah mempunyai kelulusan di peringkat sarjana dalam Dasar Awam dan Sosial dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies di Amerika Syarikat.
"Memang Perdana Menteri, Anwar selama ini memperjuangkan imej reformasi serta menentang kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan.
"Selagi tidak ada salah laku pentadbiran seperti rasuah dan sebagainya, lantikan ini tidak beri apa-apa kesan atau impak kepada pentadbiran dan imej negara,” katanya.
Awang Azman memberitahu, jawatan melibatkan Nurul Izzah tersebut hanyalah satu daripada beberapa kerusi penasihat, dan sudah tentu terdapat ramai lagi individu dengan pelbagai latar belakang yang memainkan peranan sama, khususnya melibatkan dasar ekonomi.
Selagi Nurul Izzah mempunyai kelayakan dan kebolehan, jelas beliau, pelantikan tersebut tidak dilihat bertentangan dengan naratif perjuangan dibawa Perdana Menteri sebelum ini.
“Nurul izzah pula merupakan bekas Naib Presiden PKR dan berpengalaman luas dalam hal ehwal masalah rakyat kerana telah lama berkecimpung dalam politik dan kebajikan masyarakat,” katanya.
Tegasnya, Nurul Izzah turut dikenali sehingga ke luar negara serta menggalas imej positif dalam kalangan masyarakat, termasuk oleh komuniti antarabangsa.
"Sudah pasti ini dapat membantu melonjakkan lagi keyakinan terhadap kerajaan Malaysia madani ini.
"Pada masa sama juga ini adalah prerogatif Perdana Menteri untuk melantik (mana-mana individu) yang dilihatnya tepat dan sesuai serta boleh dipercayai dalam ratusan kalangan berkelayakan.
"Berkelayakan, dipercayai, berpengalaman adalah kunci kepada pelantikan ini," katanya.
Namun begitu, Awang Azman memberitahu, Perdana Menteri perlu memberi penjelasan lanjut kepada semua pihak susulan pelantikan tersebut.
Beliau berkata, langkah berkenaan bagi memastikan tidak timbul persepsi negatif dalam kalangan rakyat, sekali gus mengelakkan salah faham yang kelak boleh dijadikan senjata pihak pembangkang bagi mengkritik kepimpinan Anwar.
Ditanya sama ada beliau melihat bantahan terhadap pelantikan terbabit akan berlarutan atau akan ternoktah tidak lama lagi, Awang Azman berkata, apabila Nurul Izzah membuktikan keupayaannya dan mengumumkan strategi utama serta pencapaian dalam masa terdekat, maka isu berkenaan akan mula surut.
"Tambahan pula ramai melihat Nurul Izzah ada kelayakan (credential) dan merit. Kalau tak dimanfaatkan, ia adalah kerugian kepada negara," katanya. - Getaran, 1 Februari 2023