web statsweb stats

Berita Terkini

12 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 12 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Bakar Al-Quran: Mahu Jadikan Kitab Suci ‘Kambing Hitam’ Bangkit Kemarahan Ankara

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Jan 2023 11:31AM

Rasmus Paludan - Gambar fail AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tindakan biadab pemimpin parti pelampau kanan Denmark ‘Stram Kurs’, Rasmus Paludan membakar Al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, baru-baru ini bukan berteraskan isu Islamofobia, sebaliknya lebih kepada mencapai agenda politik kumpulan ekstremis itu.

Pakar Geostrategi, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, perbuatan melampaui batas itu sebenarnya bertujuan menggunakan Islam dan Al-Quran sebagai ‘kambing hitam’ untuk menaikkan kemarahan Ankara.

Profesor Madya Dr Azmi Hassan
Profesor Madya Dr Azmi Hassan

Menurutnya, tindakan itu juga sebagai tindak balas terhadap Ankara yang membantah penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Kejadian terbaru ini lebih mirip kepada ada naratif geopolitik dan kita tahu bahawa kumpulan ekstremis kanan yang membakar Al-Quran, mempunyai agenda politiknya tersendiri berdasarkan tindakan itu di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm.

“Kenapa ia dibuat di hadapan kedutaan Turkiye sedangkan banyak lagi kedutaan negara Islam lain di Stockholm, jadi saya berpendapat ia adalah kerana isu geopolitik dan Ankara yang tidak mahu Sweden menyertai NATO.

“Mereka (kumpulan ekstrimis) tahu Turkiye adalah antara negara yang menentang penyertaan Sweden ke dalam NATO, jadi mereka melakukannya bagi meningkatkan lagi kemarahan Ankara,” katanya kepada Getaran.

Beliau berkata, Ankara kini sudah ‘termakan’ helah kumpulan ekstremis tersebut apabila membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke Turkiye yang dijangka mampu menyelesaikan isu bantahan Turkiye terhadap penyertaan Sweden ke dalam NATO.

“Oleh sebab itu juga kumpulan ini, cuba menyemarakkan kembali kemarahan Ankara dan nampak gayanya mereka berjaya.

“Lebih-lebih lagi apabila Presiden Recep Tayyip Erdogan mempercepatkan lagi pilihan raya Turkiye ke Mei ini kerana melihat kedudukannya sangat kuat pada ketika ini,” katanya.

Justeru, Azmi berkata, bantahan dibuat Malaysia berhubung kejadian itu perlu dilakukan dengan melihat kepada agenda di sebalik tindakan terbabit, iaitu bermotifkan untuk mencapai agenda politik kumpulan berkenaan.

“Jadi bantahan daripada Malaysia perlu dilakukan dengan melihat agenda itu terlebih dahulu kerana jika kita membantah sekuat-kuatnya, maka kita sebenarnya terpengaruh dengan strategi pihak yang membakar terbabit memandangkan memang mereka ingin menaikkan kemarahan Ankara,” katanya.

Azmi berkata, dengan melabelkan ungkapan Islamophobia terhadap kumpulan tersebut, ia tidak efektif kepada pelaku kerana mereka sebenarnya sangat memahami sensitiviti umat Islam terhadap Al-Quran, justeru ia sengaja dilakukan untuk mencapai objektif sendiri.

“Bagi saya lebih efektif kita gunakan ungkapan rasisme untuk tindakan pelaku tersebut dan pada masa sama, bantahan kita perlu dinyatakan dengan keras supaya tidak menggunakan Islam sebagai kambing hitam bagi mencapai objektif politik mereka,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, mencadangkan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) memberi reaksi lebih keras terhadap Sweden.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Menurutnya, OIC wajar mengambil pendirian bersama untuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Sweden, selain meningkatkan usaha memerangi Islamophobia menerusi penggunaan platform antarabangsa bagi memberikan penerangan.

Tegasnya, usaha itu boleh dilakukan menerusi forum antarabangsa, terutama melalui peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya sifat toleransi dan kemanusiaan yang wujud di dalam ajaran Islam, dapat difahami masyarakat bukan Islam, termasuk di dunia Barat.

“Bagi umat Islam, Al-Quran bukan saja merupakan buku agama, malah panduan hidup yang komprehensif. Ia menerangkan apa sepatutnya dilakukan setiap muslim di dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa.

“Yang paling utama dan amat perlu difahami sama ada oleh orang Islam atau orang bukan Islam, adalah Al-Quran bagi umat Islam adalah ‘wahyu Ilahi’ yang kesahihannya tidak diragukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Al-Quran juga menjelaskan mengenai kesatuan umat manusia seluruh dunia yang berasal daripada manusia pertama, iaitu Adam dan isterinya, Hawa.

“Justeru, Islam menggalakkan seluruh bangsa di dunia supaya saling hormat menghormati antara satu sama lain. Peperangan di dalam Islam adalah jalan terakhir untuk menentang kuasa zalim setelah semua jalan damai tertutup rapat,” katanya.

Sabtu lalu, Rasmus diberikan kebenaran membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm sehingga membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.

Beliau bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun di situ berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perbuatan itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia.

Malah, beliau menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji terbabit.

Anwar berkata, kerajaan Sweden juga perlu memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara berkenaan.

Wisma Putra memaklumkan, pihaknya akan membincangkan mengenai pendirian Malaysia dan Brunei terhadap isu Islamofobia di Sweden pada lawatan rasmi Anwar ke Brunei yang dijadualkan bermula hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga menteri pengiring Anwar pada lawatan rasmi itu berkata, beliau akan membincangkan perkara berkenaan bersama rakan sejawatnya, Erywan Mohd Yusof.

Ujarnya, ia memandangkan isu terbabit menyentuh kedudukan umat Islam seluruh dunia yang dilakukan ekstremis, sekali gus sudah tentu mencetuskan keprihatinan Malaysia-Brunei. - Getaran, 24 Januari 2023

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Politik 11 jam yang lalu

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 4 jam yang lalu

Ribut Petir, Hujan Lebat Di KL, Labuan Dan 9 Negeri Malam Ini

Semasa 4 jam yang lalu

Selangor Terus Perangi Penempatan Haram, Struktur Tanpa Kelulusan Akan Diroboh

oleh Amirah Abu Bakar