KUALA LUMPUR – Kemunculan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di restoran makanan segera, KFC di Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini mencuri tumpuan pelanggan di situ, apabila baginda ‘bersahaja’ beratur memesan makanan di kaunter.
Berdasarkan beberapa keping gambar dimuat naik di Facebook Istana Negara, Al Sultan Abdullah dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda dan cucunda baginda, dilihat sedang memesan hidangan ayam goreng.
Lebih mengujakan, walaupun berstatus raja, baginda sekeluarga beratur bersama pengunjung restoran lain untuk memesan santapan tengah hari.
Menurut keterangan di Facebook itu, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri di restoran makanan segera itu adalah secara mengejut.
Baginda berdua turut berkenan menikmati santapan tengah hari di tingkat atas restoran tersebut bersama pengunjung lain.
Selesai santapan, pasangan diraja itu berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra bersama beberapa pengunjung restoran.
Al-Sultan Abdullah serta Raja Permaisuri turut berkenan merakamkan gambar bersama mereka.
Tindakan spontan itu turut menarik perhatian pelanggan dan kakitangan restoran berkenaan yang pastinya teruja melihat Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengetepikan protokol rasmi buat seketika.

Rata-rata pengguna Facebook meninggalkan komen di ruangan status itu dengan memuji sikap baginda berdua serta menyifatkan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri sebagai sultan berjiwa rakyat.
"MasyaAllah... Agong dan Tunku (Azizah) sangat menyantuni rakyat jelata,” kata Cik Puan Nora.
“Baginda boleh sahaja titahkan KFC hantar ke istana atau buka restoran dekat istana, tapi sikap berjiwa rakyat Tuanku sanggup luang masa di luar untuk bersama rakyat. Daulat Tuanku,” kata Mohd Razif Sohimi.
“Daulat Tuanku, Agong yang disayangi rakyat Malaysia. Simplenya (ringkasnya) pakaian Tuanku,” kata Ren Terez.
“Inilah Agong kesayangan rakyat. Syabas Tuanku,” kata Rahim Adam. - Getaran, 29 Disember 2022.