KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan akan melaksana lebih banyak insentif untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia.
Beliau berkata, usaha itu sebagai tanda terima kasihnya kepada golongan berkenaan kerana membantu memperkasa ekonomi negara.
“Selamat Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 kepada semua penjaja dan peniaga kecil di seluruh Malaysia. Saya juga pernah menjadi penjaja dan peka dengan keperluan mereka.
“Kerajaan sentiasa berusaha mengangkat dan mengetengahkan peranan komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk sama-sama memacu kemakmuran negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelbagai kemudahan disediakan kerajaan, termasuk pengurangan 50 peratus sewaan premis dan pengecualian sewaan tapak berniaga.
Katanya, kemudahan itu turut membabitkan pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada masa sama, beliau berkata, Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil Warongku juga membantu golongan berkenaan untuk mendigitalkan perniagaan mereka.
“Program Pembiayaan Mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 secara dalam talian untuk penjaja dan peniaga kecil.
“Terima kasih kerana membantu memperkasakan ekonomi negara. InsyaAllah lebih banyak insentif yang bakal saya laksanakan untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia,” katanya. – Getaran, 18 November 2022
