KUALA LUMPUR - Kurang setengah jam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat perutusan khas pada jam 3 petang ini, media sosial dipenuhi ‘teka-teki’ daripada netizen adakah beliau akan mengumumkan mengenai pembubaran Parlimen.
Menerusi ruangan komen di Facebook beliau juga, netizen memberi pelbagai reaksi berhubung perutusan berkenaan, malah meramalkan ia adalah untuk mengumumkan pembubaran Parlimen.
Selain memberikan pelbagai pandangan, ada juga yang seolah-olah tidak sabar untuk mendengarnya dan mengharapkan pembubaran itu akan berlaku hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Bubar Parlimen ke PM (Perdana Menteri),” kata Ben Benjuan.
“Anak bulan dah nampak, boleh raya dah,” tulis seorang netizen bagi membayangkan PRU15 yang semakin hampir.
“Apapun buatlah yang terbaik untuk rakyat,” tulis Foziah Othman.
“Perutusan bubar Parlimen…,” komen pula Mohammad Muzani.
“Insya Allah rakyat menanti dan bersedia. Kami mahukan terbaik dalam kalangan terbaik tanpa mengira aluran politik dari mana. Janji segalanya demi negara serta rakyat,” coret Sabry N Alin.
“Semoga mendapat kepastian yang jelas hari ini,” respon Aziz Rahman.
Namun, ada juga beberapa pandangan yang menyifatkan hujung tahun bukan masa sesuai untuk membubarkan Parlimen dan seterusnya mengadakan PRU15.
Ia kerana hujung tahun yang dikenali sebagai musim tengkujuh kebiasaannya menyaksikan banjir besar bakal berlaku.
“Jangan ikut cakap pemimpin UMNO tertentu Datuk Seri, fokus hadapi musim tengkujuh,” kata seorang pengguna.
“Jika PRU-15 diadakan…maka PM tidak memandang kesusahan rakyat,” tulis Syed Hamdan.
Setakat dimuat naik sejam lalu, perkongsian Ismail Sabri mengenai perutusan itu menerima 12,000 tanda suka, 2,800 komen dan 2,400 perkongsian – Getaran, 10 Oktober 2022
