KUALA LUMPUR - Nampaknya pengguna yang bergantung kepada Transit Aliran Massa (MRT) Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tidak dapat menggunakan eskalator sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, sebelum mana-mana kemudahan itu yang rosak diperbaiki.
Bercakap kepada The Vibes, Rapid Rail Sdn Bhd berkata, tiga unit eskalator yang tidak berfungsi, nombor 4, 9 dan 12 di stesen MRT tersebut adalah disebabkan pemegang getah yang haus dan rosak.
Susulan itu, Rapid Rail berkata, eskalator nombor 12 ditutup kepada pengguna pada 21 Januari manakala eskalator nombor 9 dan 4 ditutup masing-masing pada 29 Ogos dan 4 September.
“Rapid Rail bekerjasama rapat dengan kontraktor untuk mempercepatkan penghantaran alat ganti daripada pengeluar peralatan asal (OEM) di luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kargo udara,” katanya menerusi satu kenyataan kepada The Vibes.
“Tarikh jangkaan siap untuk eskalator nombor 12 dan 9 adalah pada hujung Disember 2022 dan Januari 2023.
“Bagi eskalator nombor 4, ia masih dalam proses perolehan dan sebut harga,” katanya.
Oleh itu, sebagai alternatif, Rapid Rail menasihatkan pengguna untuk menggunakan lif dan tangga bagi mendapatkan akses ke stesen dan platformnya.
Bagi pengguna yang mengalami masalah pergerakan dan memerlukan bantuan, mereka dinasihatkan mendapatkan bantuan daripada pegawai khidmat pelanggan atau polis bantuan yang berada di situ.
Maklum balas Rapid Rail itu dikeluarkan selepas rungutan pengguna yang meluahkan kekecewaan mereka di media sosial mengenai masalah eskalator yang tidak berkesudahan di stesen MRT TTDI.
Pada 31 Ogos lalu, pengguna Twitter Ezrena Marwan mempersoalkan tempoh masa eskalator yang rosak di tingkat bawah stesen MRT itu akan diperbaiki kerana ia telah diselenggara selama berbulan-bulan.
Pada Mei, Menteri Pengangkutan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, gangguan rantaian bekalan akibat sekatan pergerakan di Shanghai, China, adalah salah satu sebab utama kelewatan penyelenggaraan kemudahan di stesen MRT.
Beliau berkata, jangkaan penyelesaian penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pengangkutan awam seperti lif dan eskalator bergantung kepada proses mendapatkan alat ganti itu.
Beliau dilaporkan berkata, tempoh tiga bulan diperlukan untuk proses penghantaran alat ganti daripada OEM di China dan Rapid Rail sedang memantau rapi pembekal dan kontraktor untuk mempercepatkan perolehan dan pemasangan alat ganti.
Selain itu, katanya, bekalan alat ganti tersebut akan diangkut menggunakan kargo udara dan bukannya laluan air untuk mengurangkan masa. - The Vibes, 13 September 2022

