KUALA LUMPUR – Walaupun beberapa individu termasuklah Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah berkongsi pengalaman wang simpanan mereka di dalam akaun bank tiba-tiba lesap, nampaknya sindiket scammer terus giat memburu mangsa.
Terbaru seorang pengguna Facebook, Ummar Agrofarm Selangor mendedahkan wang simpanan sebanyak RM12,000 hilang sekelip mata dalam akaun bank miliknya, semalam.
Menerusi perkongsian di platform media sosial itu, pemuda terbabit mempertikaikan cara wang miliknya lesap menerusi transaksi sekali sahaja yang mencurigakan.
“Hari ni RM12,000 duit saya hilang dari akaun Maybank. Pergi buat report di Maybank, mereka kata ada buat pembelian guna kad debit pukul 4 pagi tadi dari Europe.
“Limit saya untuk kad debit hanya RM5,000 je. Macam mana boleh buat bayaran RM12,000 sekali transaksi?” soalnya.
Menurut pemuda itu, dia memaklumkan tidak mengaktifkan transaksi pembelian dari luar negara memandangkan berada dalam negara ketika ini.
“Kenapa saya tak terima apa-apa notifikasi sedangkan, kalau saya beli tiket wayang pakai kad debit pun biasanya dapat notifikasi.
“Saya dekat Malaysia je ni sekarang. Kad mesin juruwang automatik (ATM) pun elok je dekat saya ni,” katanya.
Susulan itu, dia pelik dengan tindakan pihak bank yang membenarkan pembayaran tanpa persetujuan pelanggan.
“Macam mana Maybank boleh lepaskan payment yang banyak tanpa tanya customer dulu. Sedangkan kalau saya sendiri nak guna kat luar negara pun selalu decline (ditolak) je.
“Saya dah dua kali ke Maybank untuk tukar kad ATM lepas balik Europe sebab ada perasan duit hilang, tapi pegawai Maybank kata tak perlu tukar selagi belum tamat tempoh, cuma tukar nombor pin je,” katanya.
Dalam pada itu, pemuda terbabit mendakwa dimaklumkan pegawai bank bahawa wang tersebut akan dikembalikan dalam masa 45 hari tetapi tiada sebarang jaminan mengenainya.
“Akan dapat semula refund (bayaran balik) dalam 45 hari, tapi tak confirm. Kenapa lama sangat sampai 45 hari sedangkan duit tu masih floating?
“Kalau tak dapat refund macam mana? Kenapa saya tak dibenarkan buat report polis dan report ke Bank Negara ye?” soalnya.
Perkongsian itu turut mengundang simpati ramai dengan ada beberapa netizen mendedahkan pernah mengalami nasib sama sepertinya.
“Saya pun kena, Maybank RM1,700. Dua kali pemindahan keluar tanpa ada TAC atau notifikasi. Report dan kena tunggu 30 hingga 45 hari. Dapat tak dapat, tak guarantee,” kata Afiff.
“Kes macam ni saya pernah kena sebab dulu saya suka beli online. Jadi kena hati-hati. Dulu saya beli online kat Malaysia guna kad bank UK, lepas tu seminggu kemudian ada transaksi dari Malaysia dalam 700£ dari Shopee sedangan saya bukan di Malaysia. Saya menetap di luar negara. Sejak itu saya taubat nak guna kad buat apa-apa pembelian,” kata Mikhail.
“Anak saya pun baru hilang duit kat bank sama awal Ogos 2022. Anak tak terima TAC, tahu-tahu ada enam transaksi ke akaun sama tidak dikenali. Dah buat semuanya. Report polis, bank dan emel ke ibu pejabat, cc ke Bank Negara. Sehingga kini tunggu report penuh tak dapat-dapat. Tak tahulah boleh dapat balik ke tidak duitnya. Kasihan kat anak, duit tu dia simpan untuk belajar. Hilang seminggu sebelum pendaftaran pelajar,” kata Ruzie.
Semakan di Facebook pemuda itu mendapati, hantaran tersebut terpaksa dihadkan kepada pengikutnya sahaja atas sebab tertentu.
“Terima kasih kepada semua yang memberi pendapat. Saya post kes kehilangan duit di sini untuk memori sahaja supaya lebih berhati-hati di kemudian hari.
“Tak ada niat nak salahkan sesiapa. Cuma nakkan pendapat kawan rapat je. Kalau dah viral macam ni, banyak pihak yang akan rasa tak selesa. Saya terpaksa private posting saya (rakan FB sahaja),” katanya.
Namun dia memberitahu akan berkongsi perkembangan terkini mengenai kes tersebut sekiranya berjaya diselesaikan.
Majoriti pengguna turut Facebook meminta agar perkongsian itu dibuka kepada umum agar sebagai peringatan untuk orang ramai.
“Adoi kenapa private. Biar jelah supaya jadi ingatan untuk semua. Semoga duit yang hilang itu dapat semula. InsyaAllah, Aamiin,” kata Kim Hakimi.
“Jangan privatekan tuan. Abang saya pun baru kena. Jumlah lebih kurang sama. Sekurang-kurangnya boleh share pengalaman dan proses (penyelesaian),” kata Imeer.
“Tolong kekalkan post tuan, biar bagi pressure dekat pihak bank untuk settlekan isu ini. Depa kencing je 45 hari tu. Selalunya lebih dari 45 hari berdasarkan perkongsian mangsa sebelum ini. Kadang ada langsung tak dapat tapi report polis dan Bank Negara. Duit itu hak kita,” kata Walter. - Getaran, 30 Ogos 2022
