web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Permohonan Syed Saddiq Cabar Kredibiliti Saksi Utama Ditolak Mahkamah

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jul 2022 5:20PM

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Gambar oleh Alif Omar

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar kredibiliti saksi utama dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Muar itu memfailkan permohonan untuk mencabar keterangan Rafiq Hakim Razali, yang merupakan bekas Penolong Bendahari Armada, susulan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisan beliau di mahkamah berhubung prosedur pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun bank Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid berkata pernyataan saksi Rafiq Hakim, yang tidak dikemukakan kepada mahkamah, tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau.

"Saya setuju dengan hujah pendakwaan bahawa pernyataan itu bukanlah pernyataan saksi seperti yang didefinasikan mengikut Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah. 

"Justeru, pernyataan itu tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti saksi," katanya.

Seksyen 402(B) kanun itu menyatakan bahawa dalam mana-mana prosiding jenayah, satu pernyataan bertulis oleh mana-mana orang hendaklah, dengan izin pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding itu diterima sebagai bukti sepertimana keterangan lisan oleh individu tersebut.

Pada 7 Julai lepas, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, berkata mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan pembelaan memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti Rafiq Hakim meskipun dokumen yang dirujuk iaitu pernyataan saksi, tidak dikemukakan kepada mahkamah oleh pendakwaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata jika pembelaan ingin mencabar kredibiliti Rafiq Hakim, pernyataan saksi beliau selepas itu akan dikemukakan kepada mahkamah dan digunakan sebagai eksibit.

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Gobind berkata pembelaan akan memfailkan permohonan baharu bagi mendapatkan pernyataan saksi Rafiq Hakim yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatan kes tersebut dilakukan.

Wan Shaharuddin bagaimanapun membantah kerana tiada lagi keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13 itu memandangkan beliau telah mengaku di mahkamah terdapat sedikit percanggahan keterangannya di mahkamah dengan pernyataan saksinya.

"Oleh itu, tiada keperluan untuk menggunakan pernyataan yang direkodkan oleh SPRM untuk mencabar kredibiliti saksi. Permohonan pihak pembelaan seolah-olah 'fishing expedition.' Tambahan pula, pernyataan yang direkodkan oleh SPRM adalah suatu dokumen yang terlindung," katanya.

Azhar kemudian menetapkan Jumaat ini untuk pendakwaan dan pembelaan berhujah lanjut mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan.

Syed Saddiq, 29, berdepan dakwaan bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan CBT terhadap RM1 juta dana milik sayap parti itu.

Beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan dana itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 8 2018.

Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram iaitu dua transaksi RM50,000 yang dipercayai adalah hasil aktiviti haram daripada akaun Maybank Islamic Berhad kepada akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. - Bernama

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PM Diberi Sambutan Rasmi Di Pejabat Takaichi

Semasa 10 jam yang lalu

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Lelaki Maut Ditikam Di Perak Tengah, Polis Buru Suspek

Semasa 4 jam yang lalu

Isu Rohingya Perlu Pendekatan Menyeluruh, Babit Pelbagai Agensi - Ayob Khan

oleh Sophia Ahmad