Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Rahsia Di Sebalik Menu Seimbang Jemaah Haji, Elak Minum Susu Unta

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Jul 2022 8:19PM

Adalah penting bagi jemaah haji untuk menjaga pemakanan mereka bagi membolehkan mereka kekal bertenaga sepanjang masa. - Gambar AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Selepas selesai menyempurnakan ibadah wukuf di Arafah semalam, jemaah haji kemudian bergerak ke Muzdalifah, seterusnya ke Mina untuk melontar jamrah.

Jika dihitung anggaran tuntutan jarak bagi jemaah dalam menyempurnakan rukun haji itu adalah sekitar 49 kilometer.

Bagi melancarkan proses tersebut jemaah perlu kekal sihat dan bertenaga sepanjang masa.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab) Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nur Hana Hamzaid berkata, bagi mengekalkan kesihatan fizikal, ia bermula dengan pemakanan sihat dan seimbang, selain minum air secukupnya untuk memastikan badan sentiasa dalam keadaan terbaik.

Dr Nur Hana Hamzaid
Dr Nur Hana Hamzaid

Katanya, makanan seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, sayuran dan buahan dalam kuantiti mencukupi, sebagaimana disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi konsep ‘suku-suku separuh’.

“Secara amnya jemaah haji akan berada di Tanah Suci lebih kurang 40 hari. Jadi pemakanan lengkap amat penting agar tenaga yang disimpan dapat digunakan secara berkala sepanjang beribadah.

“Seelok-eloknya amalkan kuantiti ‘suku-suku separuh’ dalam satu pinggan. Maksudnya, separuh dari pinggan adalah sayuran dan buah-buahan, suku lauk protein (ayam atau ikan), manakala suku lagi karbohidrat (nasi atau roti).

“Nasi atau roti adalah sumber karbohidrat yang memberikan kita tenaga. Bila kita tambah protein, sayuran dan buah-buahan tinggi serat, lagilah lambat proses pencernaan. Bila lagi lambat, tenaga dikeluarkan sedikit demi sedikit untuk kita gunakan,” katanya kepada Getaran.

Hilang Selera Makan

Bagi jemaah yang mengalami masalah tiada selera makan, Nur Hana menyarankan mereka supaya mengamalkan snek berkhasiat untuk kekal bertenaga.

“Di sana ada banyak kurma, buah-buah kering dan kekacang tinggi khasiat. Pastikan bila lapar, kita ambil snek itu sebab ada kombinasi pelbagai khasiat.

“Buah kering ada karbohidrat dan serat, kekacang pula tinggi protein serta lemak sihat. Bila makan sikit disebabkan tak ada selera, jadi jemaah perlu amalkan snek dengan lebih kerap.

“Pengambilan snek tak ada masa tertentu tapi seelok-eloknya ambillah apabila anda terasa lapar. Bila dah sedikit penat makanlah beberapa biji kurma atau kekacang sebagai snek,” katanya.

Jemaah haji digalakkan mengamalkan pengambilan snek berkhasiat termasuk kurma untuk kekal bertenaga. - Gambar hiasan
Jemaah haji digalakkan mengamalkan pengambilan snek berkhasiat termasuk kurma untuk kekal bertenaga. - Gambar hiasan

Kurangkan Pengambilan Daging Tinggi Lemak Tepu

Sementara itu, Nur Hana turut menasihatkan jemaah supaya mengurangkan pengambilan daging tinggi kandungan lemak tepu, seperti daging kambing.

Katanya, daging yang mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi kurang berkhasiat, berbanding menu lain seperti ikan atau ayam.

Jika ada yang mengatakan badan menjadi ‘panas’ selepas menikmati menu daging kambing, jelasnya, ia tiada bukti santifik dan sebenarnya bergantung kepada individu.

“Jadi kalau nak makan daging boleh tapi janganlah pilih yang berlemak sangat. Kita kena pandai pilih, pilih lemak yang kita boleh nampak.

“Paling penting kita nak pastikan kesihatan di tahap optimum semasa di sana. Jemaah harus beringat-ingat, terutama mereka yang ada masalah kesihatan,” katanya.

Jelasnya lagi, jemaah yang mempunyai masalah gastrik perlu mengelak makan makanan pedas.

“Makanan pedas ni ikut orang, kalau orang tu biasa ok je. Kalau tak biasa tu yang nanti sakit perut. Jadi bagi yang ada gastrik kena elakkanlah,” katanya.

Minum Air Secukupnya Elak Dehidrasi

Menurut beliau, jemaah berusia 60 tahun ke atas perlu lebih waspada dalam aspek pemakanan kerana mereka lebih mudah terdedah kepada risiko dehidrasi.

“Warga emas selalu dikaitkan dengan masalah dehidrasi kerana alert (kesedaran) mengenai bila mereka rasa dahaga, kurang. Kadang-kadang mereka tak rasa dahaga. Secara fakta, tubuh kita terdiri daripada 60 peratus air.

“Jadi bila badan kita dehidrasi, ia akan memberi impak kepada kesihatan. Oleh itu kita harus memastikan status hidrasi pada tahap optimum,” katanya.

Justeru Nur Hana berkata, jemaah disarankan minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari bagi mengelak dehidrasi.

Cuaca di Tanah Suci ketika ini adalah panas justeru jemaah digalakkan minum air yang mencukupi. - Gambar AFP
Cuaca di Tanah Suci ketika ini adalah panas justeru jemaah digalakkan minum air yang mencukupi. - Gambar AFP

“Cuaca di Makkah agak panas, jadi memang jemaah kena minum lebih daripada dua liter air sehari. Paling minimum dua liter, itu untuk kadar perpeluhan biasa.

“Elakkan juga minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman berkoko. Pengambilan minuman ini dalam kuantiti banyak akan membuatkan kita kerap membuang air kecil, jadi kena kurangkan setiap hari,” katanya.

Jaga Kebersihan dan Kebersihan Makanan

Pada masa sama, beliau turut menasihati jemaah supaya kerap mencuci tangan, pastikan makanan dibeli bersih dan basuh dahulu buah-buahan sebelum makan.

Katanya, jika tindakan itu tidak dijadikan amalan, risiko jemaah mengalami cirit-birit amat tinggi.

“Jangan ambil risiko sebab kesannya adalah cirit-birit. Bila cirit-cirit sudah tentu air dari badan akan keluar banyak.

“Itu ada sesetengah kes jemaah terpaksa minum Oral Rehydration Salt (ORS). Jika keadaan lebih teruk mereka mungkin perlu dirawat. Jadi penting jaga keselamatan dan kebersihan makanan sewaktu di sana,” katanya.

Susu Unta Berkhasiat?

Malah Nur Hana mengingatkan jemaah supaya tidak minum susu unta yang tidak dimasak dengan sempurna.

Jemaah dinasihatkan supaya tidak minum susu unta yang tidak dimasak dengan sempurna. - Gambar AFP
Jemaah dinasihatkan supaya tidak minum susu unta yang tidak dimasak dengan sempurna. - Gambar AFP

“Mungkin ada yang jual dan ada kata air tu banyak khasiatnya, jadi sudah tentu ada dalam kalangan jemaah kita nak cuba.

“Saya sarankan check (periksa) dulu. Kalau tak masak jangan ambil risiko pada waktu begini. Amalkan sahaja pemakanan sihat supaya mudah untuk jemaah jalankan ibadah mereka,” katanya.

Terdahulu, Getaran melaporkan, Malaysia hanya memperoleh 14,306 atau 45 peratus kuota jemaah haji bagi tahun ini, berbanding 31,600 kuota diterima sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pengurangan sebanyak 55 peratus itu disebabkan kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota jemaah dari seluruh dunia, kepada hanya satu juta. - Getaran, 9 Julai 2022

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

3

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

4

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

5

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

6

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

Disyorkan untuk anda

Semasa 6 jam yang lalu

Kemarau: Beting Pasir Seluas Padang Bola Timbul Di Sungai Kelantan

Semasa 1 hari yang lalu

Agenda Pemantapan Tatakelola, Integriti Jadi Asas Utama SPRM

Semasa 11 jam yang lalu

Arab Saudi Keluarkan Fatwa Haramkan Tunai Haji Tanpa Permit

oleh Fida Ruzki

Politik 1 hari yang lalu

‘Tipu Ijazah Ialah ‘Disaster’, Jangan Hina Pengundi KKB’ - Saifuddin

oleh Sophia Ahmad