Berita Terkini

6 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Bersara Awal: Sampai Bila Guru Harus Pikul Beban Tambahan?

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Jul 2022 7:01AM

Gambar Fail Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Isu bebanan tugas dipikul guru di sebalik tanggungjawab hakiki mengajar, termasuk ‘dipaksa’ melakukan kerja perkeranian bukan cerita baharu yang sering diluahkan golongan itu.

Belum reda situasi berkenaan, timbul pula dakwaan semakin ramai guru hilang minat mengajar dek diasak pelbagai tuntutan kerja serta aktiviti sehingga menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Lebih mengecewakan dan membuatkan mereka nekad melepaskan jawatan dicintai, apabila sudah banyak rayuan dikatakan dibuat mereka kepada pihak pengurusan, namun ia seolah tidak diendahkan.

Mengakui sememangnya wujud kemelut guru dibebani tugasan ‘melampau’ sehingga ada antara mereka bersara awal, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Wang Heng Suan berkata, pihaknya sudah lama dan berulang kali memperjuangkan isu berkenaan kepada kerajaan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Wang Heng Suan
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Wang Heng Suan

Katanya, NUTP memperjuangkan isu berkenaan supaya kerajaan melaksanakan pendekatan bersesuaian bagi mengurangkan bebanan tugas guru, termasuk menyediakan pembantu untuk golongan itu.

“Kita (NUTP) ada minta kerajaan sediakan pembantu guru, kena bagi sebab ketika ini cikgu isi terlampau banyak data perkeranian yang tak relevan, ditambah tugasan hakiki dan kerja susulan lain, memang boleh menyebabkan mereka terbeban serta tertekan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Heng Suan berkata, NUTP mengharapkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) segera menyelesaikan kemelut bebanan tugas guru, termasuk kerja perkeranian perlu dilakukan mereka dengan mewujudkan perjawatan pembantu, seperti untuk menaip dokumen serta memasukkan perincian nama dan markah pelajar dalam komputer.

Jelasnya, usaha itu membolehkan guru menumpukan kepada tugas hakiki mengajar yang sememangnya bukan tanggungjawab mudah, sekali gus meringankan beban mereka.

Ditanya apakah ‘kesan buruk’ sekiranya semakin ramai guru bersara awal, Heng Suan berkata, tindakan itu merugikan negara kerana kehilangan pendidik berpengalaman, khususnya jika mereka terdiri daripada guru contoh atau guru senior.

“Guru berpengalaman, dia tak sama dengan guru muda, dia lebih mengetahui ‘selok-belok’ pedagogi terbaik untuk mengajar, jadi golongan ‘junior’ ini perlu ada ‘sifu’ yang memberi panduan kepada mereka.

“Jadi kalau terlampau banyak ‘sifu’ ini meninggalkan kerjaya perguruan, guru muda tak akan ada orang membimbing mereka, lama-lama profesion guru semakin terjejas kualiti, sebab itu kita kena sedar dan cari penyelesaian tangani isu. Kita mesti hormati dan hargai guru,” katanya.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan pula berkata, bagi memastikan guru tidak terus terbeban, mereka harus mengetahui skop tugas sebenar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan

Ujarnya, guru sama ada di peringkat rendah atau menengah, perlu memahami bahawa mereka harus melaksanakan tugas hakiki, iaitu PdP dan pada masa sama, melakukan kerja sampingan, seperti menguruskan aktiviti kokurikulum, mengendalikan hal ehwal murid serta turut terbabit dalam program di sekolah.

Bagaimanapun, menerusi pemerhatian pihaknya, kebanyakan guru muda tidak dapat mengadaptasi situasi keperluan pendidikan di sekolah yang memerlukan mereka memberikan komitmen terhadap kedua-dua bidang, iaitu akademik dan bukan akademik.

“Kita tak dapat nafikan tuntutan tugas guru hari ini bertambah dan tak sama dengan zaman dulu, tapi mahu atau tidak, mereka perlu bijak mempratikannya atau akan berdepan kesukaran, sehingga menjadi punca mereka stres.

“Kadang-kadang guru muda ini ada masalah komunikasi dengan kawan dan pentadbir di sekolah, malah kebanyakan mereka cepat give up (berputus asa), kalau nak kata tertekan dengan beban tugas, kenapa senior boleh bertahan,” soalnya.

Mengulas mengenai perdebatan terkini dalam kalangan guru bahawa sekolah diarah mengadakan Hari Sukan sebelum Julai atau diminta menunjukkan surat tunjuk sebab sekiranya gagal berbuat demikian, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya dipertikaikan.

“Kenapa sekarang (tengah tahun) baru anjur Hari Sukan adalah kerana tahun ini sesi persekolahan baharu bermula lewat tidak pada awal tahu seperti kebiasaan, jadi memanglah kemudian kena buat acara terbabit,” katanya.

Apa pun, Mohd Azizee menasihatkan setiap guru supaya berpegang kepada ‘ikrar’ atau matlamat asal mengapa mereka memilih menceburi kerjaya itu bagi memudahkan mereka menempuh cabaran sepanjang karier, terutama melalui transformasi bidang pendidikan.

Menurutnya, pihak KKM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah banyak berusaha mengurangkan beban guru, termasuk apabila memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Ada juga bimbingan dan ‘coaching’ disediakan kepada guru, jadi sekiranya ada masalah bincang, adu ke pihak sewajarnya, mereka ada saluran kepada kesatuan serta kaunselor PPD dan JPN.

“Kenapa bila ada masalah perlu disalurkan menerusi luahan atau perkongsian di media sosial, macam tunjukkan dunia pendidikan kita ini bermasalah,” katanya.

Selain itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, isu guru tertekan sehingga mendorong mereka bersara awal turut berpunca daripada kadar nisbah guru dengan murid yang tidak seimbang.

 Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan

Justeru, beliau menegaskan, KPM perlu meneliti dan mengimbangi kadar ini tidak kira membabitkan sekolah bandar, luar bandar, elit atau berasrama kerana usaha itu mampu memainkan perana penting dalam mengurangkan bebanan tugas pendidik berkenaan.

Mohamad Ali berkata, PIBGN turut khuatir keadaan itu kemungkinan berpunca daripada sikap segelintir pihak pentadbiran sekolah yang tidak mematuhi jadual dicadangkan KPM bagi program sudah dijadualkan sepanjang setahun sesi persekolahan.

Tekanan dialami guru sehingga melepaskan kerjaya itu, katanya, menjadi antara faktor utama kepincangan bidang pendidikan yang perlu ditangani KPM.

“Tekanan dihadapi seorang guru, bukan hanya memberi kesan kepada dirinya sendiri, malah kepada pelajar dan kemajuan bidang pendidikan negara. - Getaran, 2 Julai 2022

Berita Berkaitan

1

Pendidikan 4 hari yang lalu

Tiada Tolak Ansur Terhadap Kesalahan Seksual - KPM

2

Pendidikan 1 minggu yang lalu

Program Intervensi Literasi, Numerasi Langkah Awal Kesan Masalah 3M-Fadlina

3

Pendidikan 1 minggu yang lalu

Isu Kepadatan Murid Di SK Cyberjaya Sedang Ditangani - KPM

4

Semasa 3 minggu yang lalu

97.8 Peratus Projek Penyelenggaraan Tandas Sekolah Siap Sepenuhnya

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 jam yang lalu

Jenazah Tokoh Wartawan Ahmad Rejal Arbee Selamat Dikebumikan

Semasa 23 jam yang lalu

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

Semasa 1 hari yang lalu

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

Semasa 21 jam yang lalu

Perlu Tadabbur, Fahami Gesaan Al Quran - PM

oleh Sophia Ahmad