Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Waspada Dalam Teruja, Tips Jadi Tetamu Allah Pasca COVID-19

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu Ā· Diterbitkan pada 30 Jun 2022 8:00PM

Setelah ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, Makkah akan kembali dipenuhi sejuta jemaah dari seluruh dunia. - Gambar hiasan AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Selepas ibadah haji ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, musim kali ini menyaksikan Makkah kembali dipenuhi sejuta jemaah dari seluruh dunia yang berhimpun di tanah suci untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Bagaimanapun di sebalik khabar gembira dan keterujaan dirasai jemaah, perjalanan mereka sebagai ‘tetamu Allah’ yang terpilih pada musim haji tahun ini agak mencabar dari segi fizikal serta mental.

Situasi itu bukan sahaja kerana mereka perlu beribadah dalam keadaan norma baharu susulan krisis kesihatan global terbabit yang masih belum berakhir, malah terpaksa berdepan cabaran suhu panas melampau dengan dijangka mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

Berdasarkan laman sesawang www.accuweather.com, suhu di Makkah dua hari lalu agak tinggi, iaitu 39 darjah Celsius dan boleh meningkat dari semasa ke semasa.    

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keadaan itu boleh membawa risiko strok haba sekiranya jemaah terlalu terdedah kepada cuaca panas melampau dan kurang meminum air.

Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman
Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman

Katanya, bagaimanapun masih belum ada kes jemaah haji Malaysia dilaporkan terkesan atau diserang strok haba setakat ini.

“Musim haji tahun ini jatuh pada musim panas dengan suhu di antara 36 darjah Celsius sehingga 48 darjah Celsius yang boleh menyebabkan berlaku dehidrasi.

“Pihak pengurusan Rombongan Haji Malaysia dan pasukan perubatan sentiasa memberi peringatan dari semasa ke semasa kepada semua jemaah agar menjaga kesihatan diri serta tidak terdedah kepada cuaca panas,” katanya kepada Getaran.

Justeru beliau menyarankan agar jemaah meminum air secukupnya dan menggunakan payung ketika berulang alik ke masjid, terutama pada waktu Zohor dan Asar.

Malah katanya, cuaca terlampau panas dan kering boleh memudahkan jemaah haji dijangkiti penyakit atau ‘jatuh sakit’.

“Jadi saya juga nasihatkan jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka, terutama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Jangan paksa diri lakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan, apatah menjelang Hari Wukuf tidak lama lagi,” katanya.

Menurut beliau, Rombongan Perubatan Malaysia turut membuka klinik di semua bangunan penginapan jemaah haji dan pusat rawatan di Makkah serta Madinah.

Jelasnya, jika ada jemaah haji tidak sihat dan memerlukan pemeriksaan serta rawatan perubatan, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut secara percuma.

56 Jam ‘Tempoh Kritikal’

Setiap umat Islam mengimpikan untuk dipanggil menjadi tetamu Allah dan sangat beruntung buat mereka yang berpeluang merasai pengalaman cukup indah berkenaan.

Namun di sebalik keterujaan itu, Pengarah Urusan Rayhar Travels, Harun KC Ahmmu memberi amaran bahawa tempoh 56 jam sebelum melaporkan diri di terminal berlepas amat penting untuk diberi perhatian oleh semua jemaah haji.

Harun KC Ahmmu
Harun KC Ahmmu

Dalam tempoh itu, katanya, bakal jemaah dinasihatkan supaya menjalani kuarantin kendiri dan mengelak ke tempat sesak sebelum ujian RT-PCR (PCR) dijalankan.

“Pastikan kesihatan anda berada dalam keadaan terbaik supaya bila ujian PCR keputusan negatif, tak ada masalah dan boleh berangkat.

“Bila sampai di Arab Saudi pula, berjaga-jagalah sebab rakyat dari seluruh dunia ada di sana. Kita bimbang jika ada jemaah dijangkiti, jadi nak elak dijangkiti, pakailah pelitup muka dan sentiasa bawa bersama hand sanitizer (cecair pembasmi kuman tangan),” katanya.

Bila Masa Sesuai Pemakaian Ihram?

Mendapatkan haji mabrur menjadi impian setiap umat Islam, justeru kita perlu mengetahui batas tempat sesuai untuk mengenakan pakaian ihram (tanpa jahitan) dan melafazkan niat dari miqat bagi memastikan ibadah terbabit dilaksanakan dengan sempurna.

Miqat adalah sempadan bagi ibadah haji seseorang bermula dan apabila melintasi miqat, mereka yang ingin mengerjakan haji perlu mengenakan kain ihram serta memasang niat.

Menurut Harun, jemaah lelaki digalakkan berihram sebelum menaiki pesawat kerana lebih praktikal.

jemaah lelaki digalakkan berihram sebelum menaiki pesawat kerana lebih praktikal. - Gambar hiasan AFP
jemaah lelaki digalakkan berihram sebelum menaiki pesawat kerana lebih praktikal. - Gambar hiasan AFP

“Orang lelaki kena siap memakai ihram (sebelum naik pesawat), kalau nak pakai dalam penerbangan nanti kelam kabut pula. Jadi seelok-eloknya ihram tu kita pakai dari lapangan terbang, lebih mudah.

“Sebenarnya (miqat) setengah jam sebelum pesawat mendarat kena miqat. Jadi kalaulah masuk kapal terbang pakai pakaian biasa, lepas tu sampai separuh perjalanan baru nak tukar, tak praktikallah.

“Untuk wanita pula, seelok-eloknya bertelekung dari lapangan terbang sebab penerbangan masuk ke Makkah dulu. Tapi kebiasaannya mereka sudah pakai siap-siap macam tu dari rumah. Jadi tak ada masalah,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan jemaah supaya membawa pakaian yang tidak terlalu tebal.

“Misalnya lelaki berjubah, wanita pula bawa pakaian orang pergi balik masjid berserta telekung sembahyang secukupnya. Kiranya pakaian tertib wanita, tidak menampakkan bentuk tubuh badan, bukan pakai seluar,” katanya.

Wajarkah ‘Budaya’ Bawa Stok Makanan Dari Malaysia

Dalam menikmati pelbagai jenis makanan, lain orang sudah tentu berbeza seleranya, apatah lagi tekak Melayu.

Susulan perbezaan citarasa itu, Harun menggalakkan jemaah Malaysia membawa bekalan makanan dari rumah untuk membangkitkan selera ketika menikmati hidangan sepanjang berada di sana.

“Kalau sekadar nak bawa pes dan makanan dibungkus dengan baik, saya rasa tak ada masalah. Kita pun faham kadang kala sesetengah jemaah ada yang tak sesuai makan itu, makan ini, jadi dia bolehlah bawa bekalan sendiri.

“Tapi restoran dan food court (medan selera) di sana memang banyak, pelbagai makanan anda boleh jumpa, termasuk menu Malaysia. Jadi tak perlu bimbang,” katanya.

Hilang Selipar, Jangan ‘Berkaki Ayam’

Situasi hilang selipar atau kasut ketika beribadah di Masjidil Haram adalah perkara biasa, namun jemaah yang berdepan keadaan itu dinasihatkan tidak sesekali berkaki ayam untuk pulang ke hotel atau ke mana-mana.

Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan kaki mereka melecur dan luka akibat haba panas di permukaan jalan.

“Cuaca di Makkah ketika ini panas. Jadi kalau jemaah berada di masjid tiba-tiba hilang selipar mereka, jangan berjalan tanpa selipar balik ke hotel.

“Kaki akan melecur sebab jalan raya tu panas. Sebelum ini banyak kes hilang selipar, balik jalan kaki terhincut-hincut dan habis luka.

“Kalau terjadi pada kita, pinjam selipar kawan suruh dia tunggu sekejap sementara kita pergi ke kedai depan masjid beli selipar lain,” katanya.

Menurut beliau, paling penting, jemaah juga perlu sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang berada di Makkah untuk mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Fokus pada ibadah, jangan banyak terdedah di luar dan kuarantin kendiri pun penting ketika berada di sana supaya kita berada pada tahap kesihatan terbaik.

“Bila hari wukuf tiba, rukuf di Arafah kemudian bermalam di Muzdalifah dan bergerak ke Mina untuk melontar jamrah, kita perlu kekal sihat,” katanya.

Bekalan Ubat Secukupnya

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengingatkan jemaah supaya membawa bekalan ubat secukupnya untuk kegunaan di saat kecemasan sepanjang di sana.

Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh
Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh

Menurut beliau, ubat wajib dibawa ke sana adalah paracetamol, selesema, Oral Rehydration Salt (ORS) untuk cirit-birit, inhaler (sedutan asma), gastik, losyen dan pelembab bibir kerana bukan mudah untuk mendapatkannya di sana.

Nasihatnya, jika ada jemaah yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, pastikan kesihatan diri mereka berada dalam keadaan baik dan semuanya adalah terkawal, malah sentiasa makan ubat mengikut waktu ditetapkan.

“Kalau boleh bawa juga spare (tambahan) ubat asas, termasuk minyak angin dan ubat urut. Benda ni nampak simple (mudah), tapi penting ada bila dekat sana supaya jemaah dapat fokus sebaiknya pada ibadah haji mereka.

“Sekarang cuaca panas, kulit mudah kering dan bibir pun merekah. Jadi bawalah losyen dan pelembap sebab bukan senang nak cari di sana, selain harganya mesti mahal,” katanya.

Terus Pakai Pelitup Muka

Meskipun pemakaian pelitup muka sudah tidak diwajibkan, Dr Sharifa Ezat menasihati jemaah, terutama warga emas dan golongan berisiko tinggi supaya terus menggunakan alat perlindungan itu.

Katanya, amalan itu boleh mengelakkan golongan tersebut daripada terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19, varian baharu dan penyakit lain.

“Kerajaan Arab Saudi sudah tidak mewajibkan face mask (pelitup muka) tapi bagi saya warga emas elok pakai. Memang Allah tentukan nak sakit, sakit juga tapi kita kena berjaga-jaga.

“Face mask melindungi kita daripada habuk dan udara kotor apabila orang batuk serta meludah merata-rata. Bayangkan sejuta jemaah di sana, ada pekerja bersihkan tapi kadang mereka tak larat juga. Jadi kena bersedialah bawa wet tisu (tisu basah), sabun dan paling penting, cecair pembersih tangan,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, jemaah perlu menanggalkan pelitup muka sekiranya mengalami kesukaran bernafas dan hendak pitam ketika menggunakannya semasa beribadah.

Dr Sharifa Ezat turut mengingatkan jemaah mencari masa bersesuaian untuk melaksanakan rukun haji bagi mengelakkan mereka lebih terdedah kepada risiko penyakit.

“Kalau boleh jangan buat tawaf waktu tengah hari, sebaliknya datang malam atau pagi tapi selalunya penuh. Jika terpaksa juga pakailah payung dan losyen untuk elak sunburn (selaran matahari),” katanya. - Getaran, 30 Jun 2022

Berita Berkaitan

1

Sukan 6 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 22 jam yang lalu

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

Sukan 18 jam yang lalu

Piala Thomas: Tze Yong Digugurkan, Hon Jian Isi Kekosongan ā€“ Rexy

Semasa 1 hari yang lalu

Operasi Sewa: JPJ Pulau Pinang Sita 22 Kenderaan, Keluar 63 Saman

Luar Negara 1 hari yang lalu

WHO Gesa Lindungi Semua Hospital Di Gaza