KUALA LUMPUR - Golongan pengguna domestik di negara ini dijangka berdepan caj tambahan ke atas bil elektrik masing-masing susulan kenaikan harga minyak akibat konflik Russia-Ukraine yang bermula awal tahun ini.
Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti syarikat tenaga lain seluruh dunia kini berdepan kesukaran untuk mengekalkan kadar semasa, khususnya di saat harga arang batu turut melonjak.
Harga bahan itu, yang menyumbang kepada separuh keperluan tenaga negara, melambung empat kali ganda sejak perang antara kedua negara terbabit meletus.
Sebagai contoh, penanda aras yang sering digunakan, arang Newcastle mencatat rekod apabila berada di paras AS$440 (RM1,945) setan awal Mac lalu, berbanding AS$67.5 sebelumnya, akibat kebimbangan terhadap kekurangan bekalan selepas negara Barat mengenakan sekatan ke atas sistem kewangan Russia dan produk tenaga mereka, susulan serangan dibuat negara itu ke atas Ukraine.
Menurut sumber, Putrajaya sedang menimbangkan perkara itu, khususnya bagi melihat apakah kos berkenaan perlu ditanggung pengguna. Terdapat kajian formula Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), setiap enam bulan, yang membolehkan kos minyak diserapkan ke dalam bil pengguna. Kajian ICPT seterusnya dijadualkan berlangsung bulan depan.
Walaupun caj tambahan itu sudah dikenakan ke atas pengguna komersil, ini adalah kali pertama ia akan dilaksanakan ke atas pengguna tempatan. Kadar caj tambahan itu akan ditentukan Suruhanjaya Tenaga (EC).
Kerajaan pada Januari lalu memutuskan bahawa kadar tarif kekal pada paras 39.45 sen setiap kilowat per jam (kWh) dan pengguna tempatan akan menikmati rebat 2 sen/kWh tanpa sebarang caj tambahan.
EC pada Januari juga berkata, kerajaan telah mengguna pakai dana yang ada berjumlah RM715 juta dari Kumpulan Wang Industri Elektrik, yang diraih dari pemain utama, untuk mengekalkan rebat semasa pengguna tempatan.
Menurut laman web TNB, mekanisme ICPT di bawah rangka kerja peraturan insentif membolehkan TNB membuat perubahan, sama ada menaik atau menurunkan kos minyak atau sebarang kos berkaitan tarif elektrik setiap enam bulan.
Menerusi mekanisme ICPT itu, kerajaan menuntut bahawa jika berlaku kemerosotan harga minyak global kos tenaga, simpanan itu akan dikembalikan kepada orang ramai dalam bentuk rebat ICPT manakala jika berlaku kenaikan, kos tambahan akan disalurkan sebagai caj tambahan ICPT.
Kenaikan kos minyak turut mendorong negara lain mengkaji semula tarif elektrik mereka bagi menangani peningkatan tersebut.

Sebagai contoh di Singapura, tarif elektrik republik berkenaan meningkat 23 peratus daripada 20.76 sen/kWh untuk suku tahun pertama 2021, kepada 25.44 sen/kWh bagi tempoh sama tahun ini akibat peningkatan kos minyak. Dari Januari hingga Mac tahun ini, tarif negara itu melonjak 5.6 peratus kepada purata 25.44 sen/kWh.
Thailand meningkatkan tarif elektrik negara itu sebanyak 4.6 peratus dari Januari ke April kepada purata 3.78 baht/kWh kerana mereka perlu mengimport cecair gas asli untuk tenaga elektrik.
Di Hong Kong, kedua-dua syarikat tenaga negara itu telah meningkatkan purata tarif mereka bermula 1 Januari tahun ini.
Syarikat Elektrik Hongkong meningkatkan purata tarif 7 peratus kepada 135.3 sen/kWh, manakala CLO Power dan Castle Peak Power meningkatkan tarif purata sebanyak 5.8 peratus kepada 128.9 sen/kWh.
Negara Eropah lain turut meningkatkan harga elektrik mereka, seperti badan perundangan tenaga Itali, Arera yang menaikkan kadar elektrik dan gas, masing-masing sebanyak 55 serta 42 peratus untuk suku tahun pertama 2022.
Menurut firma penyelidikan dan rundingan bebas Enerdata, kadar elektrik di Itali mungkin melonjak sehingga 65 peratus manakala gas sebanyak 42 peratus jika tiada campur tangan kerajaan yang membatalkan caj umum, menurunkan kadar VAT ke atas bil gas untuk 35 juta pengguna tempatan dan menambah bonus sosial, selain memperkenalkan pilihan bayaran secara ansuran buat keluarga yang berdepan masalah kewangan.
Di Jerman, 42 juta isi rumah menyaksikan kenaikan purata bil elektrik sebanyak 63.7 peratus tahun ini dan 3.6 juta lagi perlu membayar kenaikan bil gas sebanyak 63.3 peratus selepas pembekal berdepan kadar baharu borong. - The Vibes, 15 Jun 2022