KUALA LUMPUR - Kes harian baharu dan angka kematian akibat COVID-19 yang semakin menurun menyebabkan ada segelintir individu beranggapan negara sudah bebas daripada jangkitan wabak berbahaya itu.
Itu pandangan pakar kesihatan susulan video sekumpulan pengunjung berebut hidangan KFC semasa program jamuan Aidilfitri anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kelmarin yang tular di media sosial.
Pakar Kesihatan Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, di sebalik trend penurunan kes itu, orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai komorbiditi masih berisiko dijangkiti COVID-19.
“Walaupun sekarang kes turun dan angka kematian berkurang, tidak bermakna COVID-19 sudah tiada dalam komuniti. Anggapan itu tidak tepat sama sekali.
“Jadi bila ramai bersesak-sesak demi sekotak KFC, risiko dijangkiti itu tetap ada lebih-lebih lagi mereka yang belum lengkap divaksin dan mempunyai komorbiditi,” katanya kepada Getaran.

Menurut beliau lagi, masih ada beberapa SOP yang perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak COVID-19 walaupun negara sudah memasuki peralihan ke fasa endemik sejak 1 April lalu.
“Harus diingatkan walaupun banyak kelonggaran diberikan semasa peralihan ke fasa endemik, masih ada SOP yang perlu dipatuhi pengunjung dan penganjur majlis.
“Penganjur pun tak sepatutnya biarkan orang ramai berebut-rebut dan tolak-menolak antara satu sama lain kerana selain berisiko dijangkiti, kecederaan fizikal juga boleh berlaku,” katanya.
Susulan insiden itu, Dr Sharifa Ezat menasihati sesiapa sahaja terutamanya agensi kerajaan yang ingin menganjurkan sesuatu program melibatkan orang ramai agar tidak bersikap sambil lewa terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan.
“Saya pasti mungkin ada yang terlupa terdapat SOP yang perlu dipatuhi. Sesiapa sahaja yang melanggarnya masih boleh dikenakan denda.
“Jadi saya harap orang ramai ambil iktibar daripada insiden tersebut yang bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan imej penganjur,” katanya.
Terdahulu, lebih 20,000 orang menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri@Dataran Merdeka yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang, Sabtu lalu.
Majlis dianjurkan JAWI dan DBKL dengan 120 masjid dan surau Jumaat terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, menyediakan pelbagai juadah termasuk ketupat, lemang, nasi briyani, kambing golek untuk tetamu.
Namun timbul kekecohan apabila pengunjung berebut makanan semasa program tersebut sedang berlangsung dalam keadaan SOP ‘ke laut’.
Menerusi video yang tular di aplikasi TikTok, pengunjung dilihat sanggup bersesak-sesak demi mendapatkan hidangan ayam yang diagihkan beberapa petugas majlis.
“Sini bang, sini bang,” jerit pengunjung yang hadir dengan ada di antara mereka tidak memakai pelitup muka.
Turut kedengaran suara seorang lelaki yang mendakwa ada warga emas terjatuh selepas bersesak-sesak dengan orang ramai.
Situasi itu menyebabkan petugas majlis terpaksa meredakan kekecohan yang timbul.
Bermula 1 Mei lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup hanya diwajibkan di dalam bangunan.
Namun penggunaan pelitup muka masih digalakkan di kawasan terbuka yang sesak dan untuk individu berisiko tinggi. - Getaran, 31 Mei 2022