KUALA LUMPUR - Biarpun sudah dua kali dikenakan tindakan akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, sebuah pusat hiburan berkaraoke terus berdegil dan meneruskan operasi.
Tindakan premis terbabit bagaimanapun dikesan selepas Polis Petaling Jaya menerima maklumat awam melalui laman sosial Twitter berhubung aktiviti pusat hiburan berkenaan, sebelum menyerbunya buat kali ketiga.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisoner (ACP) Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebaik menerima maklumat tersebut, pihaknya segera melancarkan Op Cantas Khas kira-kira jam 11.15 malam tadi.
Menurutnya, seramai 13 lelaki dan 11 wanita diperiksa ketika sedang berhibur di premis terbabit.
“Pemeriksaan ke atas premis itu mendapati pusat tersebut mempunyai lesen hiburan yang sah sebagaimana dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menjalankan aktiviti perniagaan hiburan (KTV) sebagaimana syarat lesen dikeluarkan.
“Walaubagaimanapun hasil pemeriksaan yang dijalankan juga telah mengesan kesalahan lain oleh premis hiburan ini iaitu menjual minuman keras tanpa lesen yang sah dan telah diambil tindakan di bawah Akta Eksais 1976,” katanya hari ini.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya juga sebelum ini telah melakukan dua serbuan di premis sama bermula pada Ogos 2021 dan Oktober 2021 menerusi risikan dan aduan awam yang diterima.
“Polis juga telah mengambil tindakan ke atas premis hiburan serta pelanggannya melibatkan kesalahan premis beroperasi dengan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, semua kesalahan tersebut sudah pun diambil tindakan di mahkamah.
“Polis Petaling Jaya memandang serius ke atas sebarang aduan disampaikan dan sama sekali tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pengusaha pusat hiburan yang melanggar undang-undang sedia ada.
“Selain itu pihak Polis Petaling Jaya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemberi maklumat dan turut mengalu-alukan penglibatan orang ramai dan masyarakat setempat untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kepada kami,” katanya. - Getaran, 2 Mei 2022