KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas (PPK) akan membentangkan laporan akhir bagi semakan semula undang-undang berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan laporan itu adalah bagi membolehkan Jemaah Menteri mempertimbangkan, seterusnya menentukan tindakan susulan berhubung kes terbabit.
Katanya, laporan interim sudah dibentangkan PPK semalam dan ia turut memberikan input mengenai penambahbaikan untuk perhatian pasukan itu.
“Sehingga kini, PPK mengadakan 12 mesyuarat melibatkan beberapa siri mesyuarat PPK dan jawatankuasa kecil yang ditubuhkan, iaitu Jawatankuasa Kecil Legal Aspects, Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance dan Jawatankuasa Kecil Hubungan Malaysia-Singapura,” katanya yang turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan.

Wan Junaidi berkata, kerajaan amat komited dengan keputusan memperjuangkan ketiga-tiganya untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.
Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan menubuhkan PPK, bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menerusi penubuhannya, pasukan berkenaan akan meneliti dan mengesyorkan opsyen bersesuaian, termasuk dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
PPK dipengerusikan mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan dianggotai bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Datuk Ahmad Nazri Yusof, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek dan peguam, Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin.
Turut menganggotai pasukan itu adalah wakil kerajaan negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; wakil Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar; wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Hamdan Ab Aziz serta wakil Kementerian Luar, Shaharudin Onn.
Kemelut perebutan hak serta kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh yang terletak antara Malaysia dan Singapura selama beberapa tahun membawa isu itu diadili Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Selepas dibicarakan, pada 23 Mei 2008 ICJ memutuskan Singapura memiliki hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala pemilikan Batuan Tengah yang terletak hanya kira-kira 600 meter dari pulau itu diserahkan kepada Malaysia.
Hak milik Tubir Selatan yang berlokasi kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh pula akan ditetapkan mengikut persempadanan negara menguasainya.
Keputusan itu membuatkan Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan 30 Jun 2017 untuk memohon supaya ICJ mentafsirkan semula penghakiman berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Permohonan semakan tersebut difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting yang menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap mereka memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor. – Getaran, 26 April 2022