KUALA LUMPUR - Kontroversi melatari klip video seorang usahawan terkenal bukan sahaja menjadi bualan ramai, bahkan turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Idris dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau berminat bertemu ahli perniagaan berkenaan sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama Islam.
“Mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini. Insya Allah”, katanya.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas isu melibatkan klip video ‘Aidilfitri yang dimuatnaik usahawan popular itu sehingga tular di media sosial, sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, klip video diringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam itu mencetuskan perdebatan serta perbincangan agak panas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkara, klip video tersebut pastinya dianggap kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada Syawal kelak, selepas mereka menempuh ujian dan tarbiyah ketika Ramadan.
“Saya mengambil maklum ada beberapa video tular berkenaan klip video raya dimuat naik oleh seorang ahli perniagaan tersohor di Malaysia.
“Saya terpanggil untuk mengulas isu ini kerana ia terjadi pada ketika semua umat Islam pastinya berasa teruja untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan bagi mencari sebanyaknya pahala Allah tawarkan kepada mereka yang beriman. Saya khuatir ia seolah menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat taqwa ini,” katanya.
Idris berkata, semua rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam khususnya, diseru menjaga sensitiviti membabitkan perkara berkaitan agama serta memelihara batasan terhadap hiburan ingin ditonjolkan kepada masyarakat.
Malaysia katanya lagi, masih dalam fasa pemulihan daripada ingatan Allah terhadap bala COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Jelasnya, peluang dan rezeki diberikan Allah kepada individu terbabit sebagai seorang yang berpengaruh, seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengajak umat Islam lebih bertaqwa.
“Kita perlu menjauhi tingkah laku yang menjarakkan diri kita dengan ketaqwaan dan redha Allah, lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan bulan cukup mulia,” katanya.
Mengulas lanjut, Idris berkata, sebagai tindakan awal, beliau sudah merujuk klip video itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dibawa ke pihak berkuasa.
Pada masa sama, Idris berkata, demi kasih sayang dan cintanya kepada insan hebat yang mampu membangunkan ummah, beliau meminta agar klip video seumpama itu tidak disiarkan di mana-mana platform media atau diletakkan hanya untuk tatapan peribadi empunya video.
Katanya, sekiranya individu patuh kepada ajaran dan nilai agama, beliau yakin ia mampu memberi jiwa besar serta hati lebih lapang, malah tidak memberikan apa-apa kerugian dan Insya-Allah diluaskan rezeki.
“Sekali lagi, dengan penuh rendah diri dan kasih sayang saya kepada semua saudara seIslam, moga nasihat ini adalah kerana Allah dan biarlah Allah sahaja menentukan segala aturan kebaikan kepada hambaNya,” katanya.
Terdahulu, tindakan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berkongsi potongan klip video (MV) raya dikeluarkannya yang bertajuk Kelepak Kelepuk Raya, mengundang rasa kurang senang penonton dan kecaman ramai apabila penari lelaki ditampilkan beraksi seperti wanita.
Biarpun berbaju Melayu, wajah penari itu disolek seperti wanita dan menari dengan mempamerkan aksi liuk lentuk dan berperwatakan seperti ‘pondan’.
Menjawab kecaman itu, Aliff Syukri berkata, tiga individu terbabit yang diundang menari dalam video berkenaan adalah penari profesional. – Getaran, 25 April 2022
