Berita Terkini

10 jam yang lalu: Sukan SEA: Andre Anura Anuar muncul juara acara lompat kijang lelaki, sasaran lima emas sukan olahraga tercapai 13 jam yang lalu: Peningkatan kes COVID-19 ketika adalah dalam jangkaan KKM - Khairy 13 jam yang lalu: Ubat antiviral Paxlovid berkesan merawat COVID-19 - Khairy 14 jam yang lalu: Maybank perkenal pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh 14 jam yang lalu: Polis Kelantan tahan warga Thailand, rampas pil Yaba bernilai RM480,000

IKUTI KAMI


Lebih Separuh Mangsa Gangguan Seksual Babit Kanak-Kanak, Percaya Undang Bahana

Semasa Dikemaskini 4 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 19 Apr 2022 9:24AM

Data PDRM menunjukkan 58 peratus daripada 11,701 kes gangguan seksual direkodkan pada 2019 hingga September 2021 melibatkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak. - Gambar hiasan dari Pexel

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pedofilia bukan isu baharu dalam diari jenayah dunia, termasuk di Malaysia apabila kes membabitkan kesalahan yang menyasarkan golongan kanak-kanak itu, sering dilaporkan media.

Secara klinikal, pedofilia adalah gangguan psikiatrik orang dewasa yang mempunyai tarikan atau perasaan seksual terhadap kanak-kanak, sama ada belum atau baru memasuki akil baligh antara umur 10 hingga 13 tahun.

Di Malaysia, istilah digunakan kepada golongan pedofilia atau pelaku seksual bagi golongan itu adalah ‘pesalah seksual terhadap kanak-kanak’.

Kecenderungan seks terhadap kanak-kanak menjadi ‘alasan’ utama yang mendorong seseorang terjebak sebagai pelaku kesalahan itu.

Malah, kebiasaannya kes jenayah berkenaan terjadi apabila ibu bapa mengambil mudah terhadap perkara terbabit dengan terlalu mempercayai ahli keluarga sendiri.

Penolong Pengarah Bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Wong Pooi Lin berkata, jenayah pesalah seksual terhadap kanak-kanak merujuk kepada sebarang perlakuan individu memaksa, memperdaya atau mengugut kanak-kanak yang mendorong berlakunya hubungan seks dengan mereka, semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Katanya, penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur oleh seseorang yang lebih tua atau dalam kedudukan berkuasa atau mengawal kanak-kanak digunakan sebagai stimulasi seksual bagi orang tersebut atau individu lain.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu kewujudan golongan pesalah seksual terhadap kanak-kanak di negara ini berdasarkan kes dilaporkan yang semakin meningkat, selain perkongsian maklumat dari luar negara,” katanya kepada Getaran.

Peningkatan dan statistik membimbangkan itu jelas Pooi Lin, dapat dilihat menerusi data PDRM yang menunjukkan lebih separuh, iaitu 58 peratus atau 6,784 daripada 11,701 kes gangguan seksual direkodkan pada tahun 2019 hingga September 2021 adalah membabitkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

“Kategori kes seksual membabitkan kanak-kanak itu adalah rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii, mengaibkan, amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal.

“Selain itu, ia turut meliputi pornografi, berkomunikasi secara seksual antara pelaku dengan kanak-kanak, pengantunan dan berjumpa selepas pengantunan,” katanya.

Menurut beliau, amang seksual fizikal membabitkan kanak-kanak menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 732 kes dilaporkan pada 2019 dan bertambah kepada 993 pada 2020, manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021, angka dicatatkan adalah 663.

Katanya, rogol berkumpulan terhadap kanak-kanak turut menyaksikan peningkatan daripada 41 kes dilaporkan pada 2019 kepada 74 pada 2020.

“Rogol ke atas kanak-kanak pula merekodkan 1,150 kes pada 2019 dan 1,037 (2020), diikuti sumbang mahram dengan 258 (2019) dan 223 (2020), manakala seks luar tabii terhadap golongan itu adalah 135 (2019) dan 102 (2020).

“Lebih membimbangkan, beberapa kategori kes seksual kanak-kanak yang sebelumnya rendah atau tidak direkodkan, menunjukkan kadar tinggi, iaitu pornografi sehingga 41 kes pada 2020 berbanding hanya satu kes pada 2019,” katanya.

Pooi Lin memberitahu, amang seksual bukan fizikal pula merekodkan 51 kes pada 2020, berbanding 13 (2019) dan cabul lapan kes pada 2020 walaupun tidak dilaporkan pada 2019.

“Dari segi umur, individu berusia 13-15 mencatatkan sasaran tertinggi, apabila 3,366 daripada mereka menjadi mangsa rogol.

''Remaja berusia 16-18 tahun pula adalah kumpulan mangsa kedua tertinggi, melibatkan 1,585 orang yang dirogol,” katanya.

Perangkaan itu katanya lagi, disusuli 971 kes bagi usia 10-12 tahun, 707 (enam hingga sembilan tahun) dan 355 (bawah enam tahun) yang masing-masing merekodkan 521, 558 serta 317 jenayah amang seksual fizikal iaitu kesalahan tertinggi untuk setiap peringkat umur.

“Bagi statistik pecahan jantina mangsa sepanjang tempoh sama, ia merangkumi 4,485 kanak-kanak perempuan dan 2,499 kanak-kanak lelaki.

“Kesalahan paling tinggi dicatatkan terhadap mangsa perempuan adalah rogol dengan 3,016 orang, disusuli sumbang mahram (664), amang seksual fizikal (345), seks luar tabii (170), rogol berkumpulan (163), mengaibkan (60), cabul (32), amang seksual bukan fizikal (17), pornografi kanak-kanak (7), pengantunan kanak-kanak (4), sebar bahan lucah dan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak yang masing-maisng tiga serta berjumpa selepas pengantunan (1),” katanya. 

Tambah beliau, kesalahan paling tinggi direkodkan membabitkan mangsa lelaki adalah amang seksual fizikal (2,205), seks luar tabii (108), amang seksual bukan fizikal (99), pornografi (49), berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak (22), pengantunan kanak-kanak (12), mengaibkan (3) dan berjumpa selepas pengantunan (1).

“Pecahan statistik umur suspek menunjukkan individu berusia atas 18 tahun paling ramai terbabit sebagai pesalah seksual terhadap kanak-kanak, iaitu seramai 5,490, diikuti seramai  1,671 (16-18 tahun), 601 (13-15 tahun), 58 (tidak diketahui), 48 (10 hingga 12), malah lebih mengejutkan ia turut membabitkan pelaku dalam usia enam hingga sembilan tahun, iaitu empat orang.

“Mengikut statistik sama, majoriti mangsa mengenali suspek apabila ia mencatatkan 4,862 kes, manakala 2,241 pelaku mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa dan 769 tidak dikenali,” jelasnya.

Pooi Lin menarik perhatian, suspek dalam kategori dikenali mangsa paling ramai melakukan kesalahan rogol, iaitu 3,230, manakala 1,379 daripada ahli keluarga melakukan amang seksual fizikal dan 525 pelaku tidak dikenali melakukan amang seksual fizikal.

“Kebanyakan laporan polis akan dibuat penjaga atau ibu bapa mangsa, namun terdapat laporan dilakukan mangsa sendiri, sekali gus menunjukkan kanak-kanak sekarang memiliki keberanian untuk tampil membuat laporan,” katanya.

Mengulas mengenai modus operandi, beliau berkata, majoriti kes dilaporkan membabitkan sentuhan secara fizikal apabila mangsa dan suspek bersemuka, berbanding kes komunikasi secara dalam talian, iaitu seksual bukan fizikal.

Gambar AFP
Gambar AFP

Tegasnya, medium media sosial utama digunakan untuk berkomunikasi adalah Instagram dan whatsapp.

“Nasihat PDRM, selain pengajaran secara formal, ibu bapa perlu membimbing anak-anak supaya tahu etika berinteraksi di alam maya, selain mengenal pasti kecenderungan semasa anak-anak di internet.

“Golongan kanak-kanak dan remaja perlu diterapkan dengan rasa tanggungjawab supaya mereka ada kepatuhan tinggi daripada melakukan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Justeru, Pooi Lin berkata, ibu bapa perlu mengajar anak mengenal pasti sentuhan selamat dan tidak selamat supaya mereka tidak menjadi mangsa.

“Laporan polis perlu dibuat dengan segera bagi mengelakkan kanak-kanak mengalami trauma apabila besar, selain akan berdepan masalah dalam pergaulan di sekolah dan ketika bekerja,” katanya.

Menurut Pooi Lin, setiap laporan polis dibuat akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia, tangkapan dilaksanakan dan pertuduhan dibawa ke mahkamah.

“Bagi kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak, kes akan disiasat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak,” katanya. – Getaran, 19 April 2022

Sorotan

1

Awal Ashaari Didakwa Khianat Rosak Palang Pagar Sebuah Perumahan

2

Bijak Bermain Kata, Sajak Teo Wei Sing Tembusi Dunia

3

Bastianini Catat Kemenangan MotoGP Ketiga Di GP Perancis

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

Kes Wartawan Dikasari Diklasifikasikan Semula, Disiasat Dibawah Kanun Keseksaan

oleh Emmanuel Santa Maria Chin

Semasa 10 jam yang lalu

Bekalan Tepung Gandum Malaysia Tidak Terjejas - KPDNHEP

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

HRD Corp Akan Jalin Kerjasama Strategik Dengan Johns Hopkins University

Semasa 1 hari yang lalu

Keselamatan Petugas Media Terabai, Majlis Bebas Perlu Ditubuh Segera - NUJ

oleh Fitri Nizam