KUALA LUMPUR - Pengembara antarabangsa yang tiba ke Malaysia melalui jalan udara, tidak diwajibkan melakukan ujian kit saringan pantas (RTK-Antigen) di lapangan terbang seperti didakwa sebelum ini.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, sebaliknya kumpulan itu boleh melakukan ujian terbabit dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Katanya, ujian itu boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan swasta, termasuk klinik dan hospital mengikut pilihan sendiri.
“Wujud juga dakwaan bahawa terdapat monopoli oleh pengendali fasiliti kesihatan swasta di lapangan terbang. Dakwaan ini tidak berasas kerana tiada kewajiban untuk melakukan ujian di lapangan terbang sejurus ketibaan pengembara.
“Fasiliti berkenaan disediakan untuk pengembara yang inginkan kemudahan untuk melakukan ujian dengan segera.
“Keperluan bagi pengembara antarabangsa melakukan ujian berkenaan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) diumumkan kerajaan Malaysia berhubung pembukaan sempadan, bermula 1 April lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut MAHB, terdapat empat pengendali fasiliti kesihatan swasta di empat lapangan terbang berlainan, antaranya BP Clinical Lab Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Edgenta UEMS Sdn Bhd (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang).
Dua lagi adalah MYEG Services Sdn Bhd (Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu) dan Gribbles Pathology (M) Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Kerajaan turut mengumumkan pengecualian ujian sejurus ketibaan untuk perjalanan di antara Malaysia dan Singapura bagi mereka yang mendapat vaksinasi penuh, sebagai sebahagian protokol keselamatan spesifik antara dua negara.
“Sejak pembukaan sempadan serta amalan SOP pelepasan dan ketibaan baharu untuk perjalanan ke Malaysia, pemprosesan pengembara menjadi lebih baik dari segi kecepatan dan kecekapan,” katanya. – Getaran, 8 April 2022
