KUALA LUMPUR - Mayat seorang penyelia kedai buku yang ditemui rentung dalam kebakaran di bengkel sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, semalam, diklasifikasikan sebagai mangsa pembunuhan.
Mayat wanita berkenaan ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Tun Razak dalam operasi memadamkan kebakaran, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner (ACP) Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis menerima maklumat berkaitan penemuan mayat mangsa pada jam 6.18 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan ke tempat kejadian dan kebakaran sudah dipadamkan bomba.
“Bomba turut menemui mayat dalam keadaan rentung seluruh badan yang kemudian dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan penemuan mayat itu, pasukan forensik polis dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penyelia di kedai buku sekolah terbabit.
"Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kejadian tanpa bukti yang sahih.
Beliau juga meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau balai polis berdekatan. - Getaran, 13 Mac 2022

