KUALA LUMPUR - Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di Ampang, Selangor semalam bukan didorong oleh pembalakan atau pengosongan tanah di kawasan itu kerana tiada aktiviti terbabit dilaporkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berlaku disebabkan pergerakan tanah atas bukit di kawasan berkenaan, susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Katanya, hasil tinjauan mendapati kawasan kejadian adalah zon lapang dan tiada sebarang aduan berhubung aktiviti mencurigakan.
“Sebelum ini kita ada menerima laporan di kawasan sejauh empat kilometer dari lokasi, iaitu di Taman Permai, tetapi tiada aduan diterima di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau lokasi kejadian hari ini.
Amirudin berkata, lebih 200 penghuni di 48 kediaman membabitkan empat lorong di taman perumahan itu, diarahkan mengosongkan kawasan berkenaan sehingga tahap keselamatan ditentukan.
Jelasnya, pihak berkuasa kebiasaannya memerlukan tempoh maksimum sehingga lima hari sebelum membenarkan penduduk kembali ke kediaman masing-masing.
Menurut Amirudin, Jabatan Kerja Raya akan melakukan kajian terperinci dalam tempoh dua hingga tiga hari ini untuk mengenal pasti sama ada kawasan berkenaan selamat diduduki atau sebaliknya.
“Buat masa ini, pemasangan kanvas akan dilakukan bagi mengelakkan pergerakan tanah, terutama ketika hujan dan sebagainya,” katanya.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad dilaporkan berkata, pemantauan awal pihaknya mendapati terdapat rekahan tanah di kawasan berkenaan yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah susulan.
Justeru, katanya, penduduk diminta mengosongkan kediaman mereka bagi mengelak insiden tidak diingini, terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu kini.
Kerja pembersihan jelasnya, masih tidak boleh dilaksanakan kerana penelitian mengenai aspek kestabilan cerun harus dilakukan dahulu.
“Pihak kami menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk penduduk di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak di lokasi berhampiran,” katanya.
Insiden tanah runtuh di taman perumahan itu yang dilaporkan berlaku pada jam 5.54 petang, meragut empat nyawa dan seorang mengalami cedera ringan, manakala 15 kediaman serta 10 kenderaan terjejas. – Getaran, 11 Mac 2022

