KUALA LUMPUR - Malaysia menyatakan sokongan dan memberikan undian terhadap resolusi tindakan keganasan ke atas Ukraine yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Menurut Wisma Putra, sokongan dan undian diberikan itu adalah atas pendirian berprinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara kerana ia amat penting kepada Malaysia.
“Meskipun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi itu, ia menyatakan sokongan dan membuat undian atas pendirian berprinsip berkenaan.
“Resolusi diterima pakai di Sesi Khas ke-11 pada 2 Mac 2022 (waktu New York) terbabit, mendapat sokongan sebanyak 141 undian berpihak, lima membantah dan 35 berkecuali,” menurut kenyataan di Facebook Wisma Putra itu, hari ini.
Wisma Putra berkata, Malaysia mengulangi komitmen terhadap piagam PBB, prinsip asas integriti wilayah dan kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli mana-mana negara.
Jelasnya, sebagai negara yang menggariskan hubungan kerjasama erat dengan Russia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik terbabit adalah kompleks serta rumit.
Kesukaran itu, katanya, berikutan keadaan geopolitik dan perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan bagi kedua-dua buah negara.
“Dalam hal ini, Malaysia berpandangan supaya negara terbabit perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.
“Malaysia menyambut baik rundingan antara Russia dan Ukraine di Belarus serta berharap agar usaha itu berjaya,” katanya.
Kenyataan sama memaklumkan, Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB terus mencari jalan penyelesaian terhadap konflik berkenaan, selain melaksanakan peranan utamanya dalam memastikan keamanan dan keselamatan sejagat.
“Sebagai sebuah negara anggota PBB bertanggungjawab, Malaysia mengulangi komitmen berterusan negara terhadap penyelesaian secara damai.
“Malaysia akan terus menyokong usaha di peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut, demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau antarabangsa serta kemakmuran sejagat,” katanya. – Getaran, 3 Mac 2022
