KUALA LUMPUR - Mencari jodoh secara dalam talian, termasuk menerusi aplikasi media sosial dibenarkan dalam Islam sebagai ikhtiar mendapatkan pasangan.
Bagaimanapun, cara itu dibimbangi menyebabkan penipuan apabila tersilap langkah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, tidak mustahil juga sekiranya pendekatan itu mengundang maksiat.
“Cara itu sebagai ikhtiar mencari jodoh, memang boleh.
“Cuma dibimbangi kemungkinan ada penipuan dan pertemuan yang terdedah kepada maksiat,” katanya kepada Getaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu dilaporkan Getaran, berhubung perkhidmatan ‘jodoh online’ yang menjadi pilihan segelintir individu untuk mencari pasangan.
Namun, usaha itu didakwa boleh memakan diri kerana berisiko ditipu segelintir penyedia platform berkenaan yang menjalankan perniagaan terbabit sebagai taktik mengaut wang mudah.
Mohd Yusof berkata, perkahwinan dalam Islam seharusnya melalui tiga peringkat, iaitu merisik, meminang dan berkahwin.
“Peringkat merisik menyaksikan lelaki yang ingin berkahwin dibenarkan melihat muka dan tangan pasangannya di hadapan keluarga, untuk memastikan kesuburan tubuh badan serta kecantikannya.
“Manakala peringkat meminang dilakukan selepas pasangan benar-benar berkenan dan dipastikan masih belum dipinang. Barulah diikat pertunangan walaupun dengan sebentuk cincin sebagai tanda sudah berpunya dan tidak lagi boleh dipinang orang lain,” katanya.
Beliau berkata, selepas kedua-dua urusan itu berlangsung, peringkat berkahwin menyusul untuk menghalalkan hubungan.
“Dengan melalui dua peringkat tersebut, diharapkan bakal pengantin dan ahli keluarga meraka sudah mengenali hati budi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memberi respon terhadap perkhidmatan ditawarkan menerusi medium itu bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’.
Malah, katanya, jika individu tetap memilih saluran itu sebagai usaha mencari jodoh, mereka disaran tidak mendedahkan butiran peribadi kerana tindakan berkenaan boleh mendedahkan diri kepada pelbagai jenis jenayah, antaranya sindiket ‘love scam’.
Lam Thye berkata, mereka harus menjalankan tanggungjawab itu bagi menjamin keselamatan diri tanpa hanya mengharapkan tindakan pemantauan atau penguatkuasaan pihak berkaitan, seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang sukar mengawal sepenuhnya perkhidmatan terbabit memandangkan ia semakin banyak beroperasi.
“Tanggungjawab orang ramai untuk membanteras penipuan di media sosial, malah saya harap mereka akan mempelajari daripada pengalaman pahit dialami ramai individu yang menjadi mangsa jenayah itu.
“Situasi ini menyebabkan mereka mengalami kerugian besar dan boleh menjejaskan keselamatan mereka. Ini soal berkaitan kesedaran, jadi jangan begitu mudah memberikan butiran peribadi kepada orang luar,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, individu perlu bijak, terdidik, lebih prihatin dan berwaspada dengan kemungkinan jenayah didepani mereka ekoran pilihan itu supaya tidak masuk ke dalam perangkap.
“Saya nasihat supaya bersemuka dalam usaha mencari jodoh, bukan respon kepada individu di sebalik tabir komputer atau gajet,” semata-mata,” katanya. – Getaran, 15 Februari 2022
