KUALA LUMPUR - Penolong Pegawai Perubatan (PPP) lantikan kontrak Gred U29 dijangka melancarkan ‘protes’ secara maya bagi mendesak kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan kebanyakan mereka yang didakwa ditamatkan esok.
Tindakan itu juga bagi memperjuangkan nasib sebahagian besar daripada mereka yang mengalami risiko tidak dilanjutkan perkhidmatan ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19.
Seorang Penolong Pegawai Perubatan yang mahu dikenali sebagai Azri, 33, berkata protes tersebut akan berlangsung tanpa sebarang perhimpunan di mana-mana lokasi dan institusi perubatan tempat mereka bertugas.
Menurutnya, protes itu akan dilancarkan dengan semua penolong pegawai perubatan menukar gambar profil di akaun Facebook masing-masing menggunakan foto berwarna hitam.
Azri berkata, kumpulan itu juga akan menggunakan kapsyen ‘Masih Ingin Berkhidmat’, selain merancang menyerahkan petisyen kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Setakat ini, kami tidak merancang untuk mengadakan protes secara fizikal, seperti perhimpunan kerana kita masih terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
“Protes secara maya ini bertujuan mendesak kerajaan menyambung kontrak kami supaya boleh terus mencurahkan bakti kepada masyarakat, selain membantu kerajaan membendung pandemik,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.
Soladariti Untuk Profesion 2/2/2022 Di jemput untuk semua warga PPP yang mempunyai akaun Facebook agar dapat menukar...
Posted by PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN on Tuesday, February 1, 2022
Berdasarkan maklumat, terdapat lebih 4,000 PPP lantikan kontrak di seluruh negara ditempatkan di pelbagai sektor kesihatan, antaranya hospital, pusat kuarantin dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Beliau berkata, kerajaan masih memerlukan ‘keringat’ PPP atas pelbagai faktor, antaranya negara masih belum bebas daripada pandemik terbabit dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sedang dilaksanakan.
“Kami masih mahu dan mampu memberikan perkhidmatan kepada masyarakat untuk membantu kerajaan.
“Jika pandemik ini sudah berakhir, kami serahkan nasib kami sebagai kakitangan lantikan kontrak kepada kerajaan untuk diputuskan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azri berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan kehilangan ramai tenaga kerja yang sudah mengetahui selok belok perubatan jika perkhidmatan golongan berkenaan dihentikan.
“Jika perkhidmatan mereka ditamatkan di pusat kuarantin, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan PPV, KKM akan hilang ramai tenaga kerja, sedangkan proses seperti penghantaran pesakit, pemberian vaksin serta ujian calitan masih berjalan.
“Malah seperti kita sedia maklum, kes COVID-19 negara kini mula meningkat sejak ‘kemasukan’ varian Omnicron baru-baru ini,” katanya.
PPP Gred U29 mula ‘direkrut’ kerajaan sejak sistem kontrak diperkenalkan pada tahun 2018.
Perkhidmatan kontrak PPP terbahagi kepada lapan fasa, iaitu Fasa 1 sudah diserap secara tetap, manakala segelintir daripada kakitangan Fasa 2 dan Fasa 3 dilanjutkan atau ditamatkan tugas.
Fasa 4 hingga Fasa 8 turut terjejas kerana terdapat antara mereka bakal ditamatkan kontrak Mac ini.
Bagaimanapun, Perkara 12 syarat pelantikan perkhidmatan kontrak pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Paramedik dan Auksiliari Gred UD29 menyatakan, kerajaan tidak wajib melantik pegawai ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.
Sebarang permohonan bagi maksud lantikan tetap perlu dibuat terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). - Getaran, 1 Februari 2022