KUALA LUMPUR - Tidak dinafikan penampilan guru hari ini banyak berubah seiring peredaran zaman.
Namun ada di kalangan mereka yang dilihat bergaya persis seorang model ketika pergi mengajar.
Penampilan itu mendapat teguran pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun menerusi satu rakaman ceramah bertajuk ‘Kehebatan dan Kemuliaan Seorang Guru’ yang tular di media sosial, hari ini.
Menurut Asma, dia sering melihat guru berpakaian mencolok mata sewaktu berkunjung ke sekolah untuk menyampaikan ceramah sebelum ini.
“Guru perlu jadi contoh yang baik buat anak-anak. Minta maaf kalau saya sebutkan. Saya malu sangat bila pergi ceramah di sekolah-sekolah. Dulu selalu ceramah di sekolah.
“Dan saya tengok pakaian guru perempuan yang sebenarnya menjatuhkan maruah guru itu sendiri. Pakaian guru kita hari ini macam model, dengan pakai ketat, sendat, tudung pun singkat nampak, kalau berjalan tu nampak pula bentuk pinggul punggungnya,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegur guru yang mengajar di sekolah dengan solekan tebal.
Menurut beliau, penampilan sedemikian bukan sahaja menjatuhkan maruah guru tetapi boleh mengganggu fokus pelajar lelaki yang sudah baligh.
“Ya Allah, kadang saya baca komen-komen nakal pelajar-pelajar lelaki kalau pergi yang menengah apa semua kan, saya minta dia tuliskan.
“Ada yang tulis terangsang dengan cikgu, tak boleh nak fokus belajar. Dari awal sampai akhir terangsang sebab nampak jelas sangat bahagian yang patutnya ditutup. Anak murid terganggu, anak murid dah baligh tingkatan 3, 4, 5. Cikgu yang mengajar ni pula berpakaian mencolok mata. Subhanallah, saya tak tahu bagaimana proses pendidikan itu,” katanya.
Susulan itu, Asma menasihati semua guru supaya berpakaian patuh syariah sewaktu mengajar.
Katanya, pengetua juga memainkan peranan dalam memastikan semua guru mematuhi etika pemakaian ke sekolah.
“Kadang-kadang kita ni ambil (berat) bukan mainkan dengan anak-anak murid. Tegur bila tudung singkat, tegur bila nampak lengan, tegur bila baju macam ketat, tegur bila nampak baju dalam dan sebagainya.
“Tapi siapa nak tegur guru? Saya kira bila ada guru besar bertanggungjawab yang dia tahu dia akan ditanya oleh Allah bukan hanya tugasan yang disenaraikan, tetapi dia jadi ketua yang boleh ingatkan guru etika pemakaian guru patuh syariah,” katanya. - Getaran, 12 Januari 2022
