JOHOR BAHRU - Sebanyak 31 sekolah di Johor yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir, tidak akan dibuka untuk sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula, esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata sebanyak 23 sekolah di empat daerah telah digunakan sebagai PPS melibatkan masing-masing lapan di Segamat dan Tangkak, Muar (lima) dan Batu Pahat (dua) manakala lapan sekolah lagi iaitu empat di Tangkak, Segamat (tiga) dan Muar (satu), masih dinaiki air.
“Sekolah-sekolah ini ditutup kerana dijadikan PPS dan akan terus dijadikan PPS sehingga banjir selesai. Sekolah yang dinaiki air juga akan terus ditutup sehingga proses pembersihan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program Festival Permainan Tradisional Negeri Johor 2021 di Savanna Hill Resort, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi sesi persekolahan membabitkan sekolah yang terlibat banjir di Johor.
Mazlan berkata setakat ini seramai 369 pelajar dan tiga orang guru masih berada di PPS kerana terjejas dalam bencana banjir.
Sementara itu, mengenai permainan tradisional, Mazlan berkata kerajaan negeri telah menawarkan diri untuk menganjurkan Pesta Permainan Tradisional Malaysia (Petra) tahun ini, bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat awal perbincangan.
“Kita sudah menyatakan kesanggupan dari segi fasiliti dan kewangan bahawa Johor sedia untuk menganjurkan Petra. Kita tunggu lampu hijau daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya. - Bernama

