KUALA LUMPUR - Ratusan pengguna MRT Laluan Kajang terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan pengangkutan tersebut, selepas sebuah tren menghadapi masalah teknikal di Stesen MRT Phileo Damansara, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, sebuah tren bernombor 22 dilaporkan berdepan masalah teknikal ketika menghampiri stesen berkenaan, mengakibatkan penumpang yang berada di dalamnya terkandas seketika.
Menurut jurucakap Rapid Rail Sdn Bhd, sebaik menyedari situasi itu, pihak operasi mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara Stesen Phileo Damansara dan Stesen Semantan.
Katanya, penumpang dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan sebelum meneruskan perjalanan seperti biasa.
“Penumpang dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Semantan ke stesen Phileo Damansara.
“Situasi ini menyebabkan pergerakan tren akan menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform,” katanya di media sosial hari ini.
Justeru, pengendali pengangkutan awam terbabit memohon maaf kepada penumpang di atas kesulitan dialami akibat kelewatan jadual perjalanan yang terpaksa dihadapi mereka.
“Kerja-kerja mengenal pasti masalah sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid Rail. Fokus pihak operasi adalah untuk memastikan pengguna dapat meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan selamat.
“Pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal,” katanya.
Rapid Rail turut meminta penumpang untuk mengikuti perkembangan terkini perkhidmatan MRT menerusi platform media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini. – Getaran, 5 Januari 2022
