KUALA LUMPUR - Kerajaan masih memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) perayaan Krismas dan Thaipusam dengan mengambil kira keselamatan serta kesihatan rakyat, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut beliau, ia susulan penularan varian Omicron yang kian berleluasa.
Hishammuddin yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 berkata, perincian SOP itu dibincangkan bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak berkaitan dalam Mesyuarat Kuartet di Parlimen, hari ini.
Jelasnya, masih ada masa untuk kerajaan memutuskan SOP sambutan kedua-dua perayaan itu sebelum sambutan Krismas 25 Disember nanti dan Thaipusam yang jatuh pada 18 Januari tahun depan.
"Bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir atau 'carolling' dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas
“Perbincangan mengenai perayaan Thaipusam pula menerusi perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC, melibatkan perangkaan SOP upacara sembahyang di kuil,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat-tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kavadi.
“Ia termasuk perarakan membawa paal koodam atau belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan,” katanya. - Getaran, 14 Disember 2021.
