KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya laporan berhubung rancangan pencerobohan tentera bersenjata dari Selatan Filipina merupakan maklumat yang dimanipulasi oleh pihak tertentu atas dasar cemburu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu diyakini dilakukan pihak yang cemburu dengan tahap keselamatan serta hubungan rapat antara Sabah dan Wilayah Selatan Filipina.
Menurutnya, PDRM masih tidak menerima sebarang pengesahan mengenai rancangan yang dimaksudkan oleh laporan media antarabangsa terbabit.
Bagaimanapun, Acryl Sani berkata PDRM memandang serius terhadap laporan berita terbabit, dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah.
“PDRM turut mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan, mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara,” katanya hari ini.
Acryl Sani turut berkata, PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan pihaknya sentiasa dalam keadaan siapsiaga.
“Usaha juga akan dipergiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti segala anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan
“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” katanya.
Terdahulu, South China Morning Post melaporkan, Tentera Diraja Sulu (RSA) merancang operasi untuk menyerang Sabah selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 Datuk Bandar dari selatan Filipina.
Seramai 19 Datuk Bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut. - Getaran, 9 Disember 2021

