KUALA LUMPUR - Insiden menimpa seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) ketika membuat pesanan melalui kaunter pandu lalu di sebuah restoran makanan segera yang tular beberapa hari lalu mendapat perhatian ramai.
Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi tidak terkecuali dari turut meluahkan rasa kecewa dan marah dengan insiden tersebut.
Menurut beliau, insiden seperti itu perlu dielakkan daripada terus berlaku kepada golongan OKU di kemudian hari.
“Saya memang marah sekali kerana sahabat-sahabat saya dilayan seperti rakyat ‘kelas ketiga’ di negara sendiri.
“Insiden itu berkali-kali berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Jadi ia perlu dihentikan,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.
Susulan insiden, beliau menasihati pengurusan restoran makanan segera di negara ini supaya peka dengan kekangan dihadapi golongan tersebut.
“Sebenarnya majikan perlu memberi khidmat nasihat kepada kakitangan mereka tentang cara bagaimana mahu berurusan dengan golongan OKU. Ini amat penting sekali.
“Kena ada empati dalam diri. Kalau susah sangat, letaklah white board dan marker suruh mereka tulis. Kalau tak ada letaklah pen dan kertas. Kenapa tak guna otak? Janganlah merumitkan lagi keadaan,” katanya.
Malah beliau turut menyarankan setiap pengendali restoran makanan segera di negara ini supaya mengikuti kelas latihan berkaitan Kesaksamaan Hilang Upaya (DET) bagi memahami keperluan golongan OKU.
“Kalau nak belajar silalah panggil saya. Saya dan pasukan saya boleh memberi penekanan ataupun pendekatan bagaimana kita boleh menyokong komuniti OKU dengan memahami kemahuan dan kehendak mereka sebagai seorang manusia dan juga rakyat Malaysia.
“Jadi saya harap semua majikan ambil serius perkara ini kerana kami juga pelanggan anda. Kalau tidak tahu bertanyalah sekiranya ada masalah untuk berkomunikasi. Tidak rugi berbudi bahasa dan hormati-menghormati sesama kita,” katanya.
Meskipun mengakui masyarakat hari ini lebih prihatin terhadap golongan OKU, Ras Adiba berpendapat sikap tersebut perlu disemai sejak kecil lagi.
“Masyarakat kita sekarang lebih prihatin, itu saya akui. Saya amat bersyukur. Namun sokongan itu masih rendah, justeru pemahaman mengenai tujuh kategori OKU sedia ada perlu diterapkan dari tadika lagi.
“Lagipun sekarang sudah masuk tahun 2021, jadi kita kena pastikan anak-anak dipersiapkan dengan nilai-nilai murni untuk menyantuni golongan OKU di luar sana,” katanya.
Baru-baru ini, seorang wanita OKU pendengaran, Siti Aira Sharina berkongsi pengalaman buruk dilaluinya ketika membuat pesanan di kaunter pandu lalu di sebuah restoran makanan segera di Kelantan.
Kata Siti Aira atau lebih mesra disapa Aira, dia ingin membuat pesanan di kaunter pandu lalu kerana lebih mudah tetapi diarahkan untuk masuk ke dalam premis meskipun sudah beratur lama.
Jelas wanita berusia 33 tahun itu, pekerja terbabit memberitahu dia tidak boleh menerima pesanannya melalui skrin, walaupun sudah dimaklumkan dengan kekurangan dirinya.
Ini bukan kali pertama Aira berdepan situasi sama.
Dia juga pernah membuat pesanan menerusi kaunter pandu lalu pada Jun lalu tetapi tidak berjaya. - Getaran, 31 Oktober 2021

