KUALA LUMPUR - Jenama minuman teh terkemuka, Tealive melancarkan penggunaan cecair pensanitasi tangan (hand sanitizer) Lifebuoy di semua 200 cawangan miliknya di seluruh negara, dengan kerjasama Unilever Food Solutions bagi menjamin perlindungan pelanggan.
Pengasas Loob Holding Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bryan Loo berkata, Tealive memilih Lifebuoy kerana kualiti dan rekod pencapaian yang cemerlang dalam penjualan rangkaian produk penjagaan kebersihan.
Menurut beliau, Tealive amat menitikberatkan keselesaan dan keselamatan pelanggan, walaupun dalam era pandemik.
“Kami telah menyediakan kemudahan cecair pensanitasi tangan (hand sanitizer) sejak tahun lepas, dan kami ingin memperkasakan inisiatif ini bagi memastikan pelanggan lebih yakin akan keselamatan diri mereka.
“Justeru, kami memutuskan untuk berganding bahu bersama Lifebuoy, jenama sabun pembasmi kuman terunggul di pasaran dunia dengan rekod pencapaian lebih 120 tahun,” katanya.
Unilever Food Services jelas Loo lagi, berupaya membangunkan produk berkualiti tinggi agar dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan mesra bagi kakitangan, rakan penghantaran dan pelanggan.
Sementara itu, Pengurus Perniagaan bagi Rantaian & CPU OEM, Unilever Food Solutions, Frederick Tan memberitahu, penekanan wajar diberikan ke atas industri makanan dan minuman untuk melindungi pekerja dan pelanggan dengan mempraktikkan amalan penjagaan kebersihan serta sanitasi.
“Selain daripada kolaborasi bersama rakan kongsi industri makanan dan minuman untuk menghasilkan menu menarik, Unilever Food Solutions sentiasa mengutamakan kebersihan penyediaan dan pengendalian ramuan makanan.
Bagaimanapun, kita juga perlu mengukuhkan amalan penjagaan kebersihan dan sanitasi, khususnya pada era pandemik ini,” katanya.
Unilever jelas Frederick lagi, amat berbesar hati atas peluang bekerjasama dengan Tealive, khususnya dalam membantu menyekat penularan COVID-19. – Getaran, 24 September 2021

