Berita Terkini

8 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Keyboard Warrior, Malaysia ‘Ungguli’ Naib Johan Buli Siber

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Sep 2021 1:13PM

Maksym Koval, atlet dari Ukraine menjadi mangsa buli siber oleh netizen selepas kemenangan pingat emas Mohd Ziyad dibatalkan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo, baru-baru ini. - Gambar Reuters

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Di sebalik imej rakyat negara ini yang dikenali cukup berbudi bahasa, peramah dan penuh nilai ketimuran, siapa menyangka Malaysia berada di tangga kedua paling tinggi bagi jenayah buli siber di Asia, selepas India.

Statistik diperoleh menerusi penyelidikan terkini dijalankan pusat kajian teknologi antarabangsa, Comparitech untuk menilai kadar buli siber dalam kalangan penduduk dunia itu, turut menyaksikan Malaysia tersenarai di kedudukan keenam daripada 28 negara yang mencatatkan masalah itu pada tahap paling dahsyat.

Walaupun hasil kajian tersebut jelas memalukan dan mencalar reputasi negara, perolehan terbabit adalah realiti dan tidak mampu ditolak, khususnya apabila melihat sikap buruk segelintir pelayar media sosial mutakhir ini yang semakin melampau apabila berkomunikasi secara maya.

Golongan digelar keyboard warrior ini bersikap lantang ketika jari menaip papan kekunci bagi menyampaikan hujah, bantahan dan pendapat dengan mengenepikan rasional serta adab, yang jelas membawa implikasi buruk.

Mereka turut mewujudkan beberapa istilah panggilan, seperti ‘tentera bawang’ dan netizen sebagai pengganti kepada istilah keyboard warrior yang dianggap tidak enak didengar tetapi bertunjangkan matlamat sama, kononnya untuk memperjuangkan apa dirasakan tidak betul biarpun hakikatnya, tindakan sendiri tidak mercerminkan situasi sebenar serta melampaui batas.

Banyak bukti boleh menyokong kajian itu, namun paling jelas dan keterlaluan adalah ketika atlet paralimpik Ukraine, Maksym Koval dihentam hebat, termasuk akaun media sosialnya digodam, malah kekurangan diri menjadi sendaan serta disamakan dengan haiwan.

Semua itu gara-gara dia dinobatkan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru pada temasya Paralimpik Tokyo 2020, menewaskan wira negara, Mohd Ziyad Zolkefli baru-baru ini.

Tindakan tersebut kononnya sebagai protes, kerana kemenangan sepatutnya menjadi milik Ziyad sebelum ia dibatalkan apabila didakwa lewat memasuki ‘call room’.

Ia adalah hasil bantahan dilakukan pengurusan Ukraine usai pertandingan, sekali gus menyaksikan Maksym diumumkan sebagai johan acara berkenaan. 

Dr Rizal Mohd Nor
Dr Rizal Mohd Nor


 
Pensyarah Kuliah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rizal Mohd Nor berkata, keyboard warrior adalah individu yang menggunakan kata-kata kesat untuk mengecam pihak lain menerusi platform media sosial dengan berselindung di sebalik akaun palsu, sebagai strategi untuk melakukan perbuatan atau memenuhi keinginan itu.

“Perbuatan dilakukan mereka ini menyamai buli secara fizikal atau berdepan, cuma cara digunakan berbeza. Jika dulu mereka membuli dalam kumpulan kecil membabitkan kawan sendiri atau orang dikenali, sekarang mereka melakukannya menerusi platform lebih besar dengan senarai rakan yang ramai walaupun mereka tidak kenal kesemuanya.

“Saluran besar, bilangan rakan ramai dan kemajuan teknologi yang menyaksikan kewujudan pelbagai platform media sosial, membuatkan mereka lebih seronok melakukan buli siber kerana puas apabila hujah disampaikan diikuti, dilihat atau menerima maklum balas,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Rizal berkata, pengguna media sosial perlu berjaga-jaga dengan maklumat atau ulasan dikongsi dan dinasihatkan mematuhi norma sosial bagi memastikan diri tidak menjadi keyboard warrior.

“Saya berpandangan cara terbaik membendung perlakuan ini adalah melalui pendidikan di sekolah. Dedahkan pelajar mengenai buli dan apakah sikap yang boleh dikategorikan membuli supaya mereka tidak menjadi pembuli atau keyboard warrior.

“Sebenarnya media sosial banyak kebaikan, antaranya saluran berkongsi pengalaman, memberi pengetahuan, mencari rezeki atau memasarkan produk sehingga ramai memperoleh manfaat. Nasihat saya, gunakan medium ini secara berhemah kerana tiada sebarang kelebihan boleh didapati jika bergelar keyboard warrior,” katanya.

Siti Fatimah Abdul Ghani
Siti Fatimah Abdul Ghani

Mengulas isu sama, Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, individu yang cenderung menjadi keyboard warrior adalah kategori menginginkan lebih perhatian, penghargaan dan kasih sayang untuk memenuhi kekurangan perasaan dialami.

Jelasnya, apabila penulisan dikongsikan di media sosial menerima perhatian daripada netizen, individu terbabit merasa seronok kerana menganggap wujud persamaan pendapat atau ‘geng’ terutama jika perkara itu tidak diterima orang sekeliling secara bersemuka.

Pada masa sama, katanya, individu cenderung untuk menjadi keyboard warrior apabila mempunyai banyak masa terluang, sehingga boleh menumpukan segenap perhatian di media sosial, seterusnya berisiko terjebak dengan perlakuan itu.

“Individu juga cenderung sebagai keyboard warrior kerana konsep pemikiran mereka yang menganggap jika seseorang atau sesuatu perbuatan itu salah, mestilah dihentam habis-habisan tanpa berpandukan kepada realiti kehidupan insaniah, iaitu toleransi, limitasi, adab dan etika," katanya.

Menurut beliau, status latar belakang kehidupan, pendidikan, sosial, agama dan umur bukan jaminan untuk menentukan seseorang individu boleh bergelar keyboard warrior atau sebaliknya, kerana kemungkinan itu berasaskan kepada keseimbangan empat teras kehidupan, iaitu pemikiran, emosi, sosial serta spiritual.

“Kita tidak boleh buat sesuatu mengikut gerak rasa yang akhirnya memberi kemudaratan kepada diri sendiri dan pihak lain. Kena pertimbangkan pelbagai perkara, termasuk hak orang, keaiban serta kesan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kegagalan bertindak berpandukan norma sosial kehidupan boleh menjadi ‘pembunuh dalam senyap’ kepada masyarakat kerana apabila limitasi hak kemanusiaan sudah dicemari, keadaan itu menjejaskan perpaduan, kemasyarakatan dan keharmonian.

Ditanya kesan perbuatan keyboard warrior kepada mangsanya, beliau berkata, individu terbabit boleh berdepan implikasi mental, emosi, tekanan besar, kemurungan, perasaan rendah diri dan takut berdepan khalayak yang jika tidak diatasi, mampu menyebabkan depresi sehingga berisiko menamatkan riwayat hidup.

Tegas Siti Fatimah, mangsa perlu mendapatkan perawatan diri sendiri, seperti mengenalpasti sumber sokongan moral dalam kalangan ahli keluarga, rakan atau individu dipercayai untuk berkongsi apa dialami bagi mengelakkan diri mengalami kesan lebih buruk, manakala orang sekeliling harus cakna membantu mereka yang berdepan isu terbabit supaya mereka dapat menguruskan emosi serta bertindak secara betul.

“Kalau kecaman itu melibatkan hak diri sendiri yang tidak boleh dikompromi, ada bukti kukuh dan keperluan mendapatkan khidmat undang-undang, teruskan tindakan ini demi kebaikan diri sendiri.

Keyboard warrior perlu menyedari perlakuan mereka menyakiti dan menzalimi orang di media sosial turut mencerminkan sikap diri mereka sendiri. Akhirnya sikap buruk ini membuatkan orang menjauhi mereka,” katanya.

Kamal Afendi Hashim
Kamal Afendi Hashim

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Afendi Hashim, menyifatkan perbuatan ‘menghentam’ sesuatu pihak tanpa mengetahui maklumat lengkap seperti  sering dilakukan keyboard warrior adalah perlakuan yang amat biadap.

Golongan itu, katanya, harus tahu membezakan, adakah sesuatu isu perlu diperjuangkan secara agresif atau sebaliknya bagi memastikan mereka tidak bertindak melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti pihak lain.

“Mereka (keyboard warrior) kena tahu bila masa sesuai untuk mereka ‘timbul’ memperjuangkan sesuatu isu. Bukan kita nafikan peranan mereka untuk protes sesuatu isu global dan negara, tetapi mereka kenalah tengok isu atau sensitiviti.

“Kalau mereka menghentam perbuatan Israel melancarkan serangan ke atas Palestin sebagai tanda sokongan terhadap isu global seperti itu, tiada masalah, tetapi apabila melibatkan kecaman teruk ke atas atlet cacat, bersikap perkauman dan mengaitkan kenegaraan, wajar mereka pertimbangkan sebelum buat, tambahan apabila maklumat pun belum lengkap tetapi dah kutuk,” katanya.

Mengulas mengenai keperluan mewujudkan akta baharu atau peraturan sedia ada diperketatkan berhubung buli siber, Kamal Afendi berkata, Malaysia sudah mempunyai undang-undang bersesuaian berkaitan jenayah itu.

“Bagi menangani perbuatan ini, individu harus memelihara sikap mereka dengan tidak bertindak tanpa maklumat lengkap dan suka hati. Tolonglah simpati terhadap rakyat dan nama baik Malaysia, termasuk warganegara, pelajar serta pegawai diplomatik kita di luar negara.

“Pernahkah anda (keybord warrior) fikir apakah implikasi tindakan anda terhadap keselamatan mereka apabila anda buat sentimen antarabangsa begitu yang akhirnya kerajaan kita terpaksa bersusah payah menyelesaikannya demi memelihara hubungan baik antara negara,” katanya. - Getaran, 8 September 2021

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Semasa 2 jam yang lalu

Jenazah Tokoh Wartawan Ahmad Rejal Arbee Selamat Dikebumikan

Semasa 7 jam yang lalu

Ahmad Rejal Arbee Meninggal Dunia

Semasa 23 jam yang lalu

Perlu Tadabbur, Fahami Gesaan Al Quran - PM

oleh Sophia Ahmad

Semasa 23 jam yang lalu

Lelaki Myanmar Dan Bangladesh Disyaki Dalang Utama Sindiket Pekerja Asing Ditahan