Keadaan terkini pelantun lagu 'My Hearts Will Go On', Celine Dion yang didedahkan kakaknya, Claudette Dion kepada sebuah laman web Kanada, 7 Jours menunjukkan kesungguhan penyanyi itu melawan penyakit yang sedang dihidapinya.
Walaupun, masa depan kerjaya nyanyiannya masih tidak diketahui, Celine dikhabarkan tidak akan mengalah untuk kembali sembuh.
Menurut Claudette, impian untuk kembali beraksi di pentas sentiasa ada dalam diri Celine, namun keadaan tidak membenarnya berbuat demikian.
Menurut laman web The Guardian, Celine pernah mengumumkan mengenai masalah kekejangan otot yang dialami, hingga memaksanya membatalkan siri jelajah konsert pada Januari 2022. Keputusan itu diambil susulan kekejangan otot yang 'teruk dan berterusan'.
Pada Disember tahun sama, penyanyi kelahiran Quebec, Kanada itu memaklumkan kepada peminatnya: "Saya berdepan dengan masalah kesihatan sejak sekian lama dan amat sukar untuk menghadapi cabaran ini. Malangnya, kekejangan ini memberi kesan terhadap setiap aspek dalam hidup saya, hingga adakalanya saya sukar berjalan dan menggunakan pita suara untuk menyanyi seperti yang biasa saya lakukan".
Malah, pada Mei 2023, Celine sekali lagi membatalkan kesemua konsert yang bakal diadakan dan berkata: "Saya bekerja keras untuk mengembalikan semula tenaga saya, tetapi siri jelajah sangat sukar walaupun anda sihat 100 peratus. Saya ingin anda semua tahu bahawa saya tidak akan menyerah kalah".
Pembatalan itu dibuat ketika penyakit itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.
.jpeg)
Claudette juga berkata, ramai yang menghubungi yayasan yang ditubuhkan oleh Celine untuk memberikan sokongan dan bantuan.
"Ramai yang memberitahu bahawa mereka menyayanginya (Celine) dan sentiasa mendoakannya. Beliau turut menerima pelbagai mesej, hadiah dan pelbagai barang lain," kata Claudette.
Terdahulu, Celine, 55, pernah meluahkan hasrat untuk meneruskan konsertnya di Las Vegas, selain di beberapa lokasi lain, namun ia tidak kesampaian.
Namun, selepas dia didiagnosis, peminat berpeluang menonton lakonan pertamanya menerusi drama romantik, 'Love Again' yang disiarkan, Mei lalu.
Sindrom otot kaku itu mula dikesan pada 1956 dan ia adalah penyakit yang jarang didiagnos dan sukar sembuh, namun boleh dirawat. Tetapi, ia boleh memberi kesan kepada tulang belakang dan otak kerana menyebabkan otot dirangsang secara berlebihan dan mengakibatkan kekejangan. - Getaran, 20 Disember 2023