Berita Terkini

5 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 6 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Nasib Artis Veteran, Mana Pembelaannya?

“Suka atau tidak, kami terpaksa juga terima job (tawaran berlakon) dengan bayaran tidak setimpal sebab nak sara hidup. Dulu banyak kali jugalah kami bangkitkan, hangat masa itu saja kemudian senyap balik.”

Selebriti Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 22 Jun 2023 12:21PM

Jalil Hamid dan Ahmad Tarmimi Siregar dalam siri 'Ayahanda' - Gambar Hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - “Isu ini dah lama dik, lebih 30 tahun...Dah malas nak komen sebab cakap-cakap pun, akhirnya tidak ke mana.

“Suka atau tidak, kami terpaksa juga terima job (tawaran berlakon) dengan bayaran tidak setimpal sebab nak sara hidup. Dulu banyak kali jugalah kami bangkitkan, hangat masa itu saja kemudian senyap balik.”

Luahan senada beberapa orang artis veteran ketika ditemu ramah Bernama baru-baru ini bagi mendapatkan reaksi tentang isu “suara dan hak mereka berhubung bayaran yang sekian lama dibangkitkan.

 Bukan sahaja jelas rasa kecewa tetapi mereka juga seolah-olah sudah putus harapan untuk memperjuangkan isu ‘periuk nasi’ yang seperti tiada titik penyelesaian, apabila masing-masing enggan untuk mengulas lebih lanjut soalan penulis. 

Isu yang sekian lama menjadi polemik ini turut diperjuangkan persatuan yang mewakili penggiat seni, yang begitu mengambil berat akan hak serta kebajikan ‘anak seni’ khususnya artis senior.

Wan Maimunah - Gambar Fail
Wan Maimunah - Gambar Fail

Hakikatnya, mereka bukanlah penggiat seni yang tidak ‘popular’ kerana ada yang masih muncul dalam siri drama atau filem, malah sekiranya disebut nama, pasti ada kalangan generasi muda mengenali artis veteran berkenaan.

Namun begitu, ‘kegemilangan’ mereka tidak setaraf dengan artis baharu dan muda apabila bayaran diterima artis veteran, contohnya, untuk lakonan yang melibatkan lima babak serta memerlukan bekerja dari awal pagi hingga ke malam, amat menyedihkan kerana tidak mencecah RM500 sekali pun!

“Saya boleh katakan hampir 80 peratus pelakon veteran yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri, masih lagi popular tetapi dibayar dengan bayaran tidak setimpal dengan pengalaman mereka.

“Walaupun mereka memegang, boleh dikatakan watak utama jugalah (bukan hero) tetapi pelakon senior tetap dianggap pelakon pembantu, sehingga dibayar rendah dan tidak sama dengan artis baharu, muda biarpun melakonkan babak sama,” kata pelakon veteran, Jalil Hamid setelah beberapa kali dipujuk untuk ditemu ramah.

 

RAHSIA SAKIT KERANA KERJA

Mengakui sedih dengan situasi yang sudah lama berlarutan ini, pelakon tersohor yang pernah memenangi pelbagai anugerah termasuklah Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1995 ini berkata, beliau antara yang lantang sebelum ini memperjuangkan isu tersebut, namun sering disalah anggap pihak industri dan masyarakat. 

Pernah dikatakan tidak bersyukur, bapa kepada enam orang anak ini yang nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid dan mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam industri berkata, pekerjaan sebagai pelakon tidaklah mudah sepertimana disangka ramai.

Malah, jangka masa penggambarannya pun ada ketika lebih daripada 18 jam sehari dan kerana itu beliau dan juga artis veteran lain sudah lama mengharapkan tiadanya diskriminasi dari segi bayaran yang mereka terima selain wajar dibayar setimpal dengan pengalaman.

Bagaimanapun, harapan hanya tinggal harapan apabila bukan nasib mereka sahaja tidak menjamin masa depan, tetapi menurut Jalil, tulang belakang yang bekerja di belakang tadbir juga turut sama menerima impak serupa. 

Allahyarham Ridzuan Hashim - Gambar Fail
Allahyarham Ridzuan Hashim - Gambar Fail

“Di negara ini, bila dah jadi artis veteran, rupanya dah tidak ada nilai. Saya sebolehnya cuba elak untuk terima sebarang ‘job’ sekiranya ditawarkan bayaran rendah, tidak berbaloi. Tapi, ramai dalam kalangan rakan artis terpaksa terima sebab nak sara keluarga, tidak ada pendapatan lain. 

“Malah, sepertimana yang berlaku kepada Allahyarham Ridzuan Hashim yang terpaksa merahsiakan penyakit jantung dialaminya kerana bimbang tidak menerima tawaran berlakon, sebenarnya ramai yang begitu termasuklah saya sendiri,” kata Jalil yang mengakui pernah ditawarkan dengan bayaran RM150 untuk satu episod drama bersiri. 

Beliau sebelum ini pernah menyembunyikan sakit usus dialaminya selama lapan bulan kerana tidak mahu kelihatan lemah di mata penerbit walhal pada ketika itu Jalil berhadapan kesukaran untuk makan dan hanya boleh minum sahaja, kesan daripada penyakit yang dihidapi.

Bagaimanapun beliau kini kembali pulih selepas menjalani pembedahan pada tahun 2021, namun begitu sudah hampir dua tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon dan mengharapkan masih ada lagi pintu rezeki buatnya dalam industri seni untuk menyara keluarga.

 

TIADA AKTA?

Selain Jalil, pelakon veteran berwibawa seperti Wan Maimunah Wan Abdul Aziz sebelum ini juga pernah mendedahkan hanya menerima bayaran setakat RM200 untuk sebuah telefilem dan apakah nilai ini berbaloi bagi mereka yang sekian lama berkecimpung dalam industri berkenaan?

Pelakon disegani, Fauziah Nawi turut sama melahirkan kekecewaan terhadap nasib yang menimpa rakan seperjuangannya apabila artis senior tidak lagi diendahkan dalam industri ini.

"Jika orang lain kerja, semakin tua semakin bertambah gaji, tapi kami? Dibayar murah pula. Tergamak mereka (pihak terbabit) buat begini kepada pelakon lama.

“Tua atau muda sama sahaja tetap kena berpanas, penat. Bukannya soal dibayar murah kerana kita tidak penat ,tidak berjemur manakala yang mahal akan berjemur, sama sahaja sebenarnya," luah hati penerima  Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 ini. 

Fauziah Nawi - Gambar Fail
Fauziah Nawi - Gambar Fail

Beliau yang berkecimpung selama lima dekad dalam dunia seni menambah, sehingga ke hari ini, amat menyedihkan kerana tidak ada sebarang akta pun yang dapat menjamin atau melindungi kebajikan pemain industri termasuklah mereka yang bekerja di belakang tabir. 

Malah, situasi sama turut berlaku kepada pelakon kanak-kanak apabila mereka juga dibayar murah biarpun bekerja sehingga lewat pagi.

“Sedangkan buruh pun ada akta untuk melindungi pekerja buruh. Sepatutnya semakin lama kerja, gaji semakin naik, tapi artis sebaliknya...Kerja macam kami tiada pencen, jangan buat kami seperti ini. Tetapi, siapa yang hendak mempertahankan suara kami," katanya dengan nada begitu sedih dan kecewa..

 

KEPERLUAN ‘RATE CARD’

Mengulas mengenai isu yang dibangkitkan ini, Dekan Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Muhammed Izzat Hasan berkata, kemelut berkenaan semakin berlarutan disebabkan tiadanya tindakan memantau berterusan untuk memastikan nasib artis veteran sentiasa terbela. 

Justeru, beliau berkata, perlu ada kadar bayaran (rate card) khusus sebagai garis panduan dan ianya perlu setimpal dengan pengalaman serta kebolehan mereka.

"Dengan cara ini, setiap penerbit mempunyai kadar tertentu membuat pembayaran sesuai dengan pengalaman dan kebolehan artis veteran. Zaman sekarang, penghargaan kepada seni lebih tinggi berbanding zaman sebelumnya.

“Kerana itu, orang industri sendiri perlu menghargai sumbangan artis veteran. Sewajarnya, semakin senior seseorang artis, bayaran juga semakin meningkat biarpun mungkin selera penonton terhadap lakonan mereka sudah berkurangan, tetapi dari segi mutu lakonan, artis veteran lebih mantap dan hidup bahkan mereka tidak perlu dilatih atau ditunjuk ajar," katanya.

Beliau juga melihat ada keperluan untuk industri ini mewujudkan sebuah koperasi penggiat seni yang boleh memberikan pelbagai manfaat kepada ahlinya termasuk daripada segi perubatan, pembelian rumah, kereta dan pinjaman wang. 

Selain itu, beliau juga melihat kewajaran mewujudkan bank data yang mempunyai semua maklumat artis veteran sama ada aktif mahupun sebaliknya seperti alamat tempat tinggal, nombor telefon terkini dan pencapaian dalam industri. 

Bank data itu perlulah sentiasa dikemaskini bagi memudahkan urusan menyalurkan bantuan dengan segera sekiranya mereka berhadapan kesukaran.

Beliau turut melihat akan keperluan pemberian elaun khas kepada artis berkenaan dengan jumlah bersesuaian kos hidup sekarang.

Bagi Muhammed Izzat, artis veteran perlu dilihat sebagai aset ilmu kepada negara kerana mereka mempunyai pengalaman dan bakat yang hebat serta boleh dijadikan rujukan kepada pelajar seni di Institut Pengajian Tinggi Awam serta swasta.

"Penulisan buku atau penerbitan dokumentari mengenai mereka wajar dibuat dan diberikan royalti daripada penerbitan tersebut. Dengan ini, masyarakat akan sentiasa menghargai sumbangan mereka selain boleh sama menyumbang kepada tabung kebajikan artis veteran," jelasnya.

Beliau juga menasihatkan artis muda menyiapkan diri dengan tabungan masa depan termasuklah membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana industri ini mempunyai pasang surutnya. 

"Pihak kerajaan juga boleh memberikan sebarang kursus perniagaan untuk mempelbagaikan kemahiran artis muda selain memberikan dana khusus atau pinjaman kewangan untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya.

 

PERLU SATU DASAR UNTUK ARTIS VETERAN

Bagi persatuan yang sentiasa memperjuangkan nasib penggiat seni, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan satu polisi atau dasar harus dilaksanakan bagi menjamin kebajikan artis senior.

Presidennya Zed Zaidi (nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil) berkata,  perkara berkenaan adalah intipati perjuangan persatuan itu ketika ini bagi membela golongan veteran seni, namun masih tiada langkah dibuat oleh pihak berkaitan.

Zed Zaidi - Gambar Fail
Zed Zaidi - Gambar Fail

"Kami pernah mencadangkan akan keperluan dibuat satu polisi baharu di peringkat dasar bagi membela nasib artis veteran. Misalnya, stesen televisyen perlu mengikut dasar ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan memperuntukkan 30 peratus jalan ceritanya  perlu menggunakan khidmat artis veteran.

"Contoh, jika sebuah drama 26 episod ingin disiarkan di sebuah stesen televisyen, 30 peratus daripadanya perlu menggunakan khidmat artis lama. Ini sepatutnya dilakukan dengan dimulai oleh stesen televisyen milik kerajaan terlebih dahulu kemudian diikuti swasta. Jika cadangan dasar ini diwujudkan, ia akan memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka,' katanya.

Dalam pada itu, Zed Zaidi mengharapkan Tabung Komuniti Perfileman yang diluluskan kerajaan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini, selain digunakan kepada pengigiat seni tanah air, dapat juga dipanjangkan bantuannya kepada artis veteran.

 

‘SINAR BAHARU’

Menyentuh perjuangan lain yang giat diusahakan Seniman, Zed Zaidi berkata, perkara paling asas adalah membantu ahlinya mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Sehinga kini, lebih 37 buah rumah PPR berjaya diperolehi yang turut dimiliki artis veteran. Seniman akan terus melihat perkara ini sebagai keutamaan selain isu-isu berkaitan dengan pekerjaan untuk mereka terus mencari rezeki dalam dunia ini," katanya.

Ditanya harapan Seniman terhadap kerajaan, beliau berkata kerajaan hari ini yang berteraskan Malaysia Madani sewajarnya memberi tumpuan kepada penggiat veteran.

"Mereka semakin berkurangan...Jadi, wajib fokus kepada mereka tidak kira perihal melibatkan kebajikan, kesihatan serta peluang pekerjaan untuk kelompok ini meneruskan kelangsungan hidup.

"Menghargai pengalaman mereka jika tidak boleh berlakon lagi dengan memanfaatkan pengalaman artis senior untuk mengajar penggiat seni muda," katanya.

Sehingga kini, Seniman mempunyai hampir 3,000 artis veteran daripada 7,600 ahli dan hanya 100 sahaja daripada mereka yang mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pernah menyatakan, isu kebajikan pekerja dalam bidang perfileman menjadi antara keutamaan kementerian tersebut pada masa ini dan diharapkan ia membawa ‘sinar baharu’ bagi menjamin masa depan penggiat seni tanah air termasuklah artis veteran. - Bernama

Sorotan

1

Piala Thomas: Malaysia Benam Algeria 5-0 Untuk Tempah Slot Suku Akhir

2

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

3

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

4

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

5

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

6

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

Disyorkan untuk anda

Selebriti 21 jam yang lalu

Uqasha Dan Kamal Adli Timang Cahaya Mata Pertama

oleh Wartawan Hiburan Getaran