Pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta mengakui dia sangat bersyukur kerana produk inai keluarannya tidak pernah mendapat ulasan buruk daripada pembeli.
Menurut Che Ta, sejak dilancarkan beberapa bulan lalu, ‘Inai Che Ta’ mendapat sambutan hangat dan terjual lebih 100,000 kotak dan kini memiliki lebih 1,000 ejen di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.
“Alhamdulillah, ramai orang yang berebut nak beli ‘Inai Che Ta’. Stok sentiasa habis sebab kita memang tak jual secara langsung, kita berikan kepada stokis dan ejen untuk menjual.
“Ada juga ejen yang pada mulanya membeli 20 kotak tetapi seterusnya dia terus ambil 2,000 kotak kerana jualannya laku.
“Saya bersyukur setakat ini tiada yang mengadu tentang inai saya. Rata-rata mereka berpuas hati kerana harga yang kami tawarkan sangat murah.
“Malah inai kami senang untuk digunakan di mana-mana. Warna pula merah," katanya ketika ditemui di majlis apresiasi bersama stokis dan ejen Inai Che Ta yang bertemakan Bollywood.

Pada malam itu juga, Che Ta dan rakan niaganya iaitu Anas Zahrin turut berkongsi bahawa inai keluaran mereka kini lulus ujian telap air dan sah dibawa solat selepas melakukan ujian klinikal di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu pada 14 September lalu.
"Syukur tak terhingga apabila inai ini berjaya diuji serta menjadi jenama inai pertama yang mana ujian dilakukan pada kuku manusia sebenar dan sah untuk penggunaan solat oleh pihak universiti berkenaan.
“Kami tahu ada pihak yang menguji penggunaan inai hanya di atas gelas atau bahan lateks yang belum tentu tepat dan sah digunakan dalam solat.
“Sebelum ini, memang kami sedar dengan kewujudan dalil dan perdebatan mengenai sah atau tidak penggunaan inai ini.
“Lambakan inai yang mudah digunakan di pasaran seperti inai serbuk, inai siap bancuh atau inai celup menyebabkan ada golongan wanita keliru terutama berkaitan inai jenis celup yang dikatakan menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib.Tapi akhirnya, inai kami ini sah dipakai dalam bersolat," kongsinya.

Sementara itu pengasas bersama iaitu Anas Zahrin berkata, ujian klinikal terbabit dilakukan pensyarah universiti berkenaan, Profesor Madya (ChM) Dr Mohd Zul Helmi Rozani.
"Beliau mempunyai kepakaran di dalam bidang kimia dan biomaterial. Ujian terhadap inai kami itu dilakukan sekitar sebulan dengan menggunakan lebih 50 sampel diuji menggunakan variasi parameter berbeza medium untuk mendapatkan keputusan tepat dan jitu.
“Medium yang digunakan termasuk ke atas lateks, gelas (kaca) dan sebagainya. Saya diberitahu teknologi yang digunakan pihak hospital turut dinaik taraf termasuk menggunakan kuku pelajar universiti sebagai testimoni, di mana ia secara diuji saintifik sebagai telap air dan sah solat," katanya.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan ialah pembungkusan semula kotak inai selain produk terbaharu gincu mawar hitam atau Black Rose Che Ta yang dijual pada RM19.90. - Getaran, 16 September 2022