Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kerinduan Setiap Sultan Kedah Dan Ilusi Teragung Light

Dalam episod pertama, Getaran menceritakan bagaimana tamadun Melayu mendahului kedatangan Francis Light yang kerap diangkat sebagai pembina ketamadunan Pulau Pinang. Dalam episod kedua ini pula, Getaran akan melenyapkan dongeng “Perjanjian Bulan, Bintang dan Cakerawala” yang digunapakai oleh penjajah untuk memisahkan Pulau Pinang dari Kedah, sekali gus memadamkan kedaulatan pulau tersebut. Satu kisah menarik untuk dibaca sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah bukan?

Rencana Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Jun 2021 12:00PM

Tugu gangsa Francis Light yang dipamerkan di Muzium Fort Cornwalis di George Town,Pulau Pinang. - Gambar oleh Alif Omar

oleh

Zaidi Azmi

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

ALOR SETAR - Antara riwayat lisan yang diwariskan kepada setiap Sultan negeri Kedah Darul Aman adalah perihal kerinduan kesultanan tersebut terhadap warisannya yang dicuri penjajah Barat iaitu Pulau Pinang.

Ia ibarat kasih yang tidak berbalas kerana terpaksa menanggung kompromi demi memerdekakan Semenanjung Tanah Melayu daripada belenggu penjajah British pada tanggal 31 Ogos 1957.

“Saya tahu akan sentimen yang masih terngiang-ngiang dalam jiwa Kesultanan Kedah ini,” dedah Profesor Datuk Ahmad Murad Merican dalam satu temubual bersama Getaran baru-baru ini.

Murad memberitahu, memori tersebut diwariskan oleh Sultan Kedah yang ke-19, iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin kepada para pewaris takhtanya termasuk Sultan Abdullah Mukarram Shah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dan Sultan Badlishah.

“Perasaan itu juga ada dalam jiwa Sultan Kedah sekarang dan Almarhum Sultan yang sebelum ini,” tambah Murad, seorang pengkaji sejarah Pulau Pinang dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kedua-dua Sultan yang disebut Murad ialah Almarhum Tuanku Abdul Halim Badlishah dan adindanya iaitu Sultan Kedah yang ke-29, Sultan Sallehudin Badlishah.

Pulau Pinang berjarak 120 kilometer di bahagian selatan dari ibu negeri Kedah, Alor Setar. Ia adalah negeri terbahagi kepada dua wilayah iaitu Seberang Perai di semenanjung dan sebuah pulau yang turut dikenali sebagai Pulau Pinang.

Pulau yang dikenali sebagai Penang dalam Bahasa Inggeris itu kini sarat dengan pembangunan dan ia juga merupakan pulau keempat terbesar di Malaysia.

“Malah, Sultan Sallehudin juga meminta pandangan saya berkenaan ‘Surat-Surat Light’,” kata Murad.

Beliau merujuk kepada koleksi warkah yang diutuskan oleh pedagang Inggeris, Francis Light kepada Raja-Raja Melayu, golongan pedagang Melayu dan isteri bangsawan Melayu semasa beliau belayar di Kepulauan Melayu sekitar 1770.

Sebarang minat ditunjukkan Kerabat Diraja Kedah terhadap semua surat Light yang berkurun lamanya itu bukanlah sesuatu yang pelik.

Ini adalah kerana, satu daripada surat itu dikatakan menjadi punca pemisahan Pulau Pinang dari negeri Kedah.

Kejadian itu berlaku pada 1786, apabila Light mendarat di Pulau Pinang, di persisiran pantai yang kini dikenali sebagai Padang Kota Lama dan mengisytiharkan bahawa Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdullah Mukarram Shah telah menyerahkan pulau tersebut kepadanya.

Dakwa Light, perjanjian pajakan Pulau Pinang kepada British akan “kekal selagi adanya bulan, bintang dan cakerawala.”

“Light telah menipu. Tidak ada sebarang perjanjian pajakan seperti itu.

“Dia telah mencuri Pulau Pinang daripada Kesultanan Kedah ketika negeri tersebut sedang diasak teruk oleh ancaman Siam dan Burma,” tegas Murad.

Profesor Datuk Ahmad Murad Merican
Profesor Datuk Ahmad Murad Merican

Hujah Murad benar.

Dalam buku yang ditulis oleh pengkaji sejarah Rollin Bonney, berjudul ‘Kedah 1771 – 1821: Pencarian Keselamatan dan Kebebasan yang diterbitkan Oxford University Press pada 1971, pajakan Pulau Pinang disifatkan sebagai ‘ilusi teragung Francis Light’.

“Berbeza dengan sejarah arus perdana, Pulau Pinang tidak pernah dipajak, diberi mahupun diserahkan (kepada British) menerusi sebarang perjanjian,” jelas Rollin yang telah mengkaji ratusan dokumen milik Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) tersimpan di ibu pejabatnya di Kolkata.

Bagaimanapun, sebelum peristiwa 1786, Kesultanan Kedah sememangnya pernah berbincang dengan SHTI berkenaan perkara tersebut, khususnya berhubung satu syarat pemajakan Pulau Pinang yang mewajibkan British melindungi Kedah dari ancaman kuasa asing.

SHTI merupakan sebuah syarikat swasta, dimiliki barisan pemegang saham di London, yang kemudiannya berkembang menjadi satu entiti separa-kerajaan, lengkap dengan bala tentera dan undang-undang tersendiri.

Syarikat tersebut bertanggungjawab memperdagangkan barangan seperti rempah-ratus, kapas, sutera dan teh di seluruh dunia sepanjang 300 tahun lalu. Ia juga menjadi antara ejen untuk British meluaskan empayarnya.

Ruang solat asal Masjid Batu Uban. Masjid ini sudah wujud 52 tahun sebelum kedatangan Fancis Light ke Pulau Pinang pada 1786.
Ruang solat asal Masjid Batu Uban. Masjid ini sudah wujud 52 tahun sebelum kedatangan Fancis Light ke Pulau Pinang pada 1786.

Oleh kerana Light dikatakan mempunyai hubungan akrab dengan Sultan Mukarram, beliau dijadikan orang tengah dalam perbincangan perihal pemajakan Pulau Pinang yang tidak termeterai kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Namun semasa perkara tersebut masih dibincangkan, Light diberi kebenaran sementara daripada Sultan Mukarram untuk mendiami sekeping tanah di Pulau Pinang.

“Dengan mengambil alih pulau itu secara rasmi pada 11 Ogos, 1786, di bawah nama Raja George III, Light bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah telah menipu Sultan Mukarram.

“Maka pengisytiharan Pulau Pinang sebagai jajahan British adalah tidak sah kerana tiada kebenaran secara lisan mahupun bertulis telah diberikan, justeru pendudukan SHTI dalam kawasan Kedah itu (Pulau Pinang) juga tidak sah,” jelas Rollin.

“Kemungkinan untuk Kedah dan Pulau Pinang digabungkan semula bukanlah satu perkara yang mustahil,”

Jika angkara yang memisahkan Kedah dari Pulau Pinang itu hanya ilusi jahat semata-mata, bolehkah kedua-dua negeri itu ditemukan semula selepas terpisah berdekad lamanya?

Walaupun sempadan untuk kesemua 14 negeri di Malaysia telah dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Murad berpendapat penggabungan semula Kedah dan Pulau Pinang tidaklah mustahil, walaupun ia sukar untuk dilaksanakan.

“Selama 500 tahun kita dapat melihat beribu perubahan sempadan politik di Eropah, Afrika dan di Asia Tenggara. Kalau kita tengok di Indonesia, sempadan politiknya diubah sehingga lahirnya negara Timor-Leste pada 1999.

“Malah, sempadan politik Malaya juga telah berkali-kali berubah. Pada tahun 1963 ia berubah apabila membentuk Malaysia bersama Singapura, Borneo Utara serta Sarawak dan pada tahun 1965, sempadan politiknya juga berubah apabila Singapura keluar dari Malaysia.

“Jadi, kemungkinan untuk Kedah dan Pulau Pinang digabungkan semula bukanlah satu perkara yang mustahil,” kata Murad. - Getaran, 20 Jun 2021.

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 hari yang lalu

Jurutera Awam Dituduh Bersubahat, Babitkan Penipuan Pembayaran Hampir RM20,000

2

Semasa 5 hari yang lalu

Pesta Songkran: ‘Dulu Haram, Sekarang Halal Pulak?’ - Netizen

3

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

4

Politik 3 minggu yang lalu

"Buat Kerjalah Sanusi, Tak Perlu Sarkastik Sangat" - Mahdzir 

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Disyorkan untuk anda

Rencana 6 jam yang lalu

Haiwan Peliharaan Atau Terbiar Juga Boleh Diserang Strok Haba