Jika ditanya apakah kaitan antara mengisi diesel di stesen minyak dengan seorang pekebun sawit di Bera, Lahad Datu atau Teluk Intan, mungkin ramai sukar mencari jawapannya. Hakikatnya, kedua-duanya kini semakin berkait rapat.
Keputusan kerajaan meningkatkan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bukan sekadar perubahan formula bahan api. Ia membawa mesej lebih besar, iaitu bagaimana Malaysia mahu menggunakan kekuatan industri sawit untuk mengukuhkan keterjaminan tenaga negara.
Dalam dunia semakin tak menentu, pendekatan begini semakin relevan.
Konflik berlarutan di Asia Barat, ketegangan di laluan perdagangan utama dunia serta turun naik harga minyak mentah membuktikan sesebuah negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bekalan tenaga dari luar.
Setiap kali harga minyak dunia melonjak, negara turut menanggung kesannya menerusi peningkatan kos import diesel, tekanan terhadap subsidi dan akhirnya kos sara hidup rakyat.
Di sinilah B15 menawarkan penyelesaian bersifat serampang dua mata.
Pertama, ia mengurangkan penggunaan diesel petroleum yang sebahagiannya bergantung kepada pasaran global. Semakin tinggi kadar campuran biodiesel, semakin kurang diesel petroleum diperlukan bagi setiap liter bahan api yang digunakan.
Kedua, ia mewujudkan permintaan baharu terhadap minyak sawit tempatan yang menjadi bahan utama menghasilkan Palm Methyl Ester (PME). Ertinya, apabila lebih banyak biodiesel digunakan di dalam negara, lebih banyak hasil sawit tempatan dapat dimanfaatkan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pasaran eksport.
Inilah kelebihan yang jarang dimiliki banyak negara. Malaysia bukan sahaja mempunyai industri sawit yang matang, malah memiliki kapasiti pemprosesan biodiesel yang mampu menyokong peningkatan penggunaan dalam negara.
Program Biodiesel Negara sendiri bukan sesuatu yang baharu. Ia bermula dengan pelaksanaan B5 pada 2011 sebelum diperluaskan kepada B7, B10 dan B20 di kawasan tertentu seperti Labuan, Langkawi serta beberapa daerah di Sarawak. Langkah ke arah B15 hanyalah kesinambungan kepada dasar yang telah dibangunkan secara berperingkat selama lebih sedekad.
Data industri menunjukkan kapasiti pengeluaran biodiesel negara melebihi pengeluaran semasa sekitar 1.5 bilion liter setahun. Ini memberi ruang mencukupi untuk meningkatkan kadar campuran tanpa menjejaskan bekalan diesel domestik.
Begitu juga dari sudut bekalan minyak sawit. Malaysia menghasilkan sekitar 20 juta tan metrik minyak sawit mentah setiap tahun. Daripada jumlah itu, kira-kira 16 juta tan metrik dieksport, manakala selebihnya digunakan bagi keperluan domestik.
Pelaksanaan penuh B15 dianggarkan hanya memerlukan sekitar 800,000 tan metrik minyak sawit, iaitu masih jauh di bawah kemampuan pengeluaran negara.
Fakta ini penting kerana masih ada tanggapan bahawa biodiesel akan mengurangkan bekalan minyak masak atau menjejaskan eksport sawit negara.
Hakikatnya, jumlah minyak sawit yang diperlukan bagi program B15 hanyalah sebahagian kecil daripada penggunaan domestik dan tidak mengubah kedudukan Malaysia sebagai antara pengeksport minyak sawit terbesar dunia.
Malah, dasar ini membantu mewujudkan satu lagi pasaran domestik yang lebih stabil kepada industri sawit ketika permintaan eksport sering dipengaruhi faktor ekonomi dan geopolitik global.
Di sinilah peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjadi amat signifikan. Di bawah kepimpinan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, KPK memikul tanggungjawab besar sebagai peneraju Dasar Biodiesel Negara.
Peranannya bukan sekadar mengumumkan peningkatan kadar campuran biodiesel, tetapi memastikan keseluruhan ekosistem industri benar-benar bersedia.
Melalui penyelarasan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), syarikat petroleum, pengeluar biodiesel serta kementerian berkaitan, KPK memastikan bekalan Palm Methyl Ester mencukupi, kapasiti kilang dapat dimanfaatkan secara optimum dan pelaksanaan dilakukan secara berperingkat tanpa mengganggu rantaian bekalan negara.
Dalam masa sama, kementerian turut bertanggungjawab memastikan dasar ini memperkukuh daya saing industri sawit negara. Selama ini, sawit sering dilihat hanya sebagai komoditi eksport. Kini, nilainya diperluaskan sebagai sumber tenaga boleh baharu yang menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga negara.
Namun begitu, satu perkara tidak boleh diketepikan. Apabila permintaan minyak sawit meningkat hasil pelaksanaan B15, manfaatnya perlu turut dirasai oleh lebih 450,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.
Mereka menyumbang hampir satu perempat daripada keluasan tanaman sawit Malaysia dan menjadi nadi kepada kelangsungan industri.
Jangan sampai dasar yang baik akhirnya hanya menguntungkan syarikat perladangan berskala besar atau pemain hiliran semata-mata.
Sebaliknya, peningkatan penggunaan biodiesel perlu diterjemahkan kepada harga buah tandan segar yang lebih stabil, produktiviti yang lebih tinggi, akses kepada teknologi moden serta program bantuan yang benar-benar meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Inilah ukuran sebenar kejayaan dasar B15.
Dalam landskap ekonomi global hari ini, dasar awam tidak lagi boleh bergerak sendirian. Dasar tenaga perlu menyokong dasar perindustrian. Dasar komoditi pula perlu membantu mengukuhkan ekonomi domestik.
Apabila ketiga-tiganya saling melengkapi, negara menjadi lebih berdaya tahan menghadapi kejutan luar.
Atas sebab itu, B15 tidak harus dilihat semata-mata sebagai dasar campuran bahan api. Ia sebaliknya dasar yang menghubungkan sektor tenaga dengan industri sawit, mengurangkan kebergantungan kepada diesel import, mewujudkan permintaan domestik lebih kukuh, mengoptimumkan kapasiti industri biodiesel dan dalam masa sama membuka peluang meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Cabaran pelaksanaannya memang ada. Infrastruktur perlu diperkukuh, industri perlu bersedia dan manfaat ekonomi perlu diagihkan secara adil. Namun, jika semua ini dapat dilaksanakan dengan baik, Malaysia bukan sahaja berjaya memperkukuh keterjaminan tenaga, malah mampu membuktikan bahawa dasar tenaga juga boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi domestik.
Dalam era ketidaktentuan geopolitik dan persaingan ekonomi global, mungkin inilah masa terbaik untuk negara memanfaatkan kekuatan sendiri.
Bagi Malaysia, kekuatan itu selama ini sudah ada di depan mata. Industri sawit yang bukan sekadar menghasilkan komoditi, tetapi kini turut menjadi sebahagian daripada jawapan kepada masa depan tenaga negara. - Getaran, 8 Ogos 2026