web statsweb stats

Berita Terkini

2 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 2 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 7 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 8 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 9 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Prof. Jason Arday: Apabila Penelitian Berubah Menjadi Pesta Tontonan Awam

Golongan majoriti yang senang berdiam diri perlu menghentikan sikap pengecut mereka

Rencana Dikemaskini 4 hari yang lalu · Diterbitkan pada 22 Aug 2026 9:02AM

Profesor Jason Arday ditemui mati di Battersea, selatan London sekitar tujuh hari lalu

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saya tidak mengenali Profesor Jason Arday secara peribadi.

Namun, dua sahabat yang saya kenali dan sanjungi; Lord Simon Woolley dan Dawn Butler telah meluahkan rasa duka yang amat mendalam tentang apa yang menimpa beliau. Malah, seminggu sebelum pemergian Jason, Simon sempat meluahkan kebimbangannya kepada saya mengenai nasib sahabatnya itu.

Setelah meluangkan masa membaca tentang Jason, meneliti tuduhan yang dilemparkan, membaca jawapannya, serta meneliti laporan media berserta ulasan mengenainya, saya berasa amat mual dan terganggu.

Bukan kerana soalan-soalan ditanya.

Soalan sememangnya harus diajukan.

Universiti wajib mempertahankan piawaian akademik. Para profesor harus dipertanggungjawabkan atas kerja mereka. Tokoh-tokoh awam tidak boleh menuntut imuniti daripada penelitian kerana proses itu memang tidak selesa. Dan para wartawan mesti bebas menyiasat institusi mahupun individu.

Saya percaya pada semua itu.

Namun, terdapat jurang yang teramat besar antara penelitian yang sihat dan pesta tontonan awam yang merosakkan maruah. Malah, dalam keghairahan media hari ini, perbezaan itu nampaknya sengaja dilupakan demi mengejar sensasi.

Profesor Jason Arday telah melakar sejarah sebagai profesor kulit hitam termuda di Universiti Cambridge. Perjalanan hidupnya luar biasa dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang, termasuk saya. Kemudian, timbul persoalan serius mengenai beberapa aspek kerja akademik dan latar belakang biografinya.

Persoalan itu wajar disiasat.

Tetapi apa yang berlaku sama sekali tidak menuntut agar maruah seorang manusia dirobek-robek untuk dijadikan hiburan awam yang melampau.

Ratusan rencana diterbitkan dalam masa beberapa minggu sahaja.

Fikirkan sejenak tentang hal itu.

Ia bukan mengenai perang.

Ia bukan mengenai skandal rasuah yang melibatkan berbilion-bilion ringgit.

Ia bukan mengenai keruntuhan kerajaan atau kemusnahan ribuan nyawa.

Ia mengenai seorang ahli akademik sahaja.

Pada takat manakah kepentingan awam yang sah bertukar menjadi tontonan yang tidak beretika?

Pada takat manakah siasatan bertukar menjadi obsesi yang membunuh?

Pada takat manakah penelitian bertukar menjadi hukuman di khalayak ramai?

Dan yang paling penting:

Pada takat manakah kita sedar bahawa ada seorang manusia bernyawa yang sedang dihancurkan di bawah runtuhan keghairahan itu?

Sahabat saya, Simon Woolley, mengenali Jason. Lord Woolley telah menyifatkan apa yang berlaku menggunakan bahasa yang paling tegas. Sebelum Jason menghembuskan nafas terakhir, Simon berkata Jason meluahkan rasa perit seolah-olah dia sedang diburu tanpa belas kasihan dan tidak nampak jalan keluar.

Dawn Butler juga tidak kurang lantang bersuara. Beliau telah meminta badan pengamal akhbar Britain menyiasat liputan media tersebut, dan selepas kematian Jason, beliau berkata sesuatu yang cukup menyayat hati:

"Kita telah mengecewakan beliau".

Saya percaya empat patah perkataan itu sepatutnya membuatkan kita semua merasa tidak selesa dengan diri sendiri.

Kerana isu ini jauh lebih besar daripada kisah Jason Arday.

Ia lebih besar daripada soal kaum, walaupun adalah satu tindakan bodoh jika kita menafikan bahawa unsur perkauman memainkan peranan besar dalam perbincangan ini. Ia lebih besar daripada Cambridge.

Dan sudah pasti, ia lebih besar daripada politik semata-mata.

Ini tentang sesuatu yang sedang meracuni dunia kita hari ini. Kita secara perlahan-lahan sedang melenyapkan sifat kemanusiaan dalam wacana awam. Dan bahagian yang paling merisaukan ialah virus ini tidak lagi terkurung di sudut gelap media sosial.

Akhbar-akhbar arus perdana melakukannya.

Televisyen melakukannya.

Wartawan yang dihormati kadangkala turut melakukannya tanpa rasa bersalah.

Ahli politik, usahakan ditanya lagi, sememangnya pakar dalam hal ini.

Kerana semua orang kini sedang bersaing dalam arena ekonomi perhatian (attention economy) yang sama kejamnya.

Klik. Paparan. Perkongsian. Penglibatan. Kemarahan.

Tajuk utama kini terpaksa menjadi lebih sensasi daripada isi berita itu sendiri, kerana satu lagi tajuk berita sudah menanti setengah sentimeter di bawahnya pada skrin telefon anda.

Dulu, kewartawanan bersaing demi kredibiliti. Hari ini, kewartawanan bersaing demi perhatian murahan.

Dan perhatian telah bertukar menjadi komoditi dagangan nyawa.

Keadaan ini melahirkan dorongan yang sangat berbahaya.

Nuansa tidak bergerak selaju kemarahan.

"Persoalan kekal mengenai karya seorang ahli akademik" adalah kewartawanan yang berpijak di bumi nyata.

Tetapi tajuk seperti "Penipuan! Skandal! Aib!"; itulah yang menarik klik ramai.

Dan apabila seseorang itu telah dicap sebagai pesalah minggu ini, sesuatu yang sangat jelik mula berlaku.

Kita berhenti membincangkan apa yang telah mereka lakukan.

Kita mula membincangkan siapa diri mereka dari akar umbi.

Rupa fizikal mereka mula dipersoalkan.

Keluarga mereka diheret sama.

Zaman kanak-kanak mereka dibongkar seolah-olah tiada privasi.

Gambar-gambar lama dijadikan modal.

Setiap ayat yang pernah diucapkan dalam hidup mereka ditukar menjadi bahan kandungan (content) untuk dikecam.

Maka, dalam sekelip mata, seorang manusia telah ditukar menjadi produk dagangan.

Saya telah cukup lama hidup dalam arena awam untuk memahami apa itu kritikan.

Saya pernah dipuji melangit dan diserang dengan kejam. Ada kalanya kritikan itu berasas. Ada kalanya ia hanyalah omongan kosong.

Itu lumrah kehidupan awam.

Namun, saya juga telah belajar satu perkara penting.

Sentiasa ada manusia di sebalik tajuk berita itu.

Seorang suami. Seorang isteri. Seorang bapa. Seorang ibu. Seorang anak lelaki. Seorang anak perempuan. Seorang rakan. Seorang manusia yang ketakutan, duduk bersendirian di suatu sudut sambil membaca ribuan orang asing berdebat sama ada dia layak disingkirkan daripada muka bumi ini atau tidak.

Akauntabiliti menuntut bukti, keadilan menuntut keseimbangan, dan peradaban menuntut kemanusiaan.

Tetapi kita semakin rela mengorbankan dua nilai terakhir itu demi mengejar kepuasan menghukum yang pertama.

Ada satu lagi dimensi yang meresahkan dalam kisah Jason Arday.

Iaitu isu kaum.

Kita sepatutnya mampu memegang dua pemikiran secara serentak di dalam kepala kita.

Pertama, seorang ahli akademik kulit hitam tertakluk kepada piawaian integriti akademik yang sama seperti orang lain.

Kedua, seorang ahli akademik kulit hitam tidak boleh menjadi mangsa kepada piawaian penelitian awam yang berbeza dan berniat berat sebelah semata-mata kerana identitinya atau lambang kejayaan yang diwakilinya.

Kedua-dua kenyataan ini tidak bercanggah antara satu sama lain.

Malah, ia saling memperkukuh.

Kesamarataan tidak bermaksud kebal daripada penelitian.

Tetapi kesamarataan juga tidak bermaksud membenarkan seseorang dijadikan medan perang simbolik bagi setiap perbalahan masyarakat yang toksik tentang kepelbagaian, kaum, meritokrasi, dan budaya "woke".

Jason Arday berhenti menjadi dirinya sendiri.

Beliau telah ditukar menjadi alat perang proksi.

Itu adalah sesuatu yang amat berbahaya.

Dan ini membawa saya kepada persoalan paling menyakitkan yang telah lama bersarang di benak.

Di manakah suara majoriti yang senang diam ini?

Kebanyakan orang yang saya temui di luar sana adalah insan yang baik. 

Mereka bukan ekstremis. Mereka tidak bangun tidur dengan niat mahu membenci kaum, agama, kewarganegaraan, atau puak politik yang lain. Mereka hanya mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan. Mereka mahu keluarga mereka selamat. Mereka mahukan peluang. Mereka mahukan maruah. Mereka mahu ketawa, bekerja, mencintai, dan meneruskan kehidupan.

Namun, perbualan awam hari ini seolah-olah menggambarkan masyarakat kita dipenuhi oleh kelompok yang kerjanya hanya menjerit antara satu sama lain.

Kenapa?

Kerana orang yang rasional memilih untuk berdiam diri, sementara golongan yang tidak bertimbang rasa pula bersuara dengan terlampau lantang.

Algoritma memberi ganjaran kepada kemarahan.

Politik mengeksploitasi perpecahan.

Dan media mengaut keuntungan daripada konflik.

Akibatnya, golongan ekstrem mendominasi gelanggang sementara kelompok majoriti yang bersederhana hanya menonton dalam diam.

Kecelaruan dan kebisuan itu kini menjadi barah.

Kita melihatnya dalam isu perkauman. Kita melihatnya dalam isu agama. Kita melihatnya dalam isu imigresen. Kita melihatnya di Gaza dan Israel. Kita menyaksikannya di Amerika Syarikat. Kita melihatnya di seluruh Eropah.

Kita melihatnya di merata tempat di Asia, malah di negara kita sendiri, Malaysia.

Setiap persoalan kemanusiaan yang rumit kini dipangkas menjadi dua kem yang berang, memaksa semua orang memilih pihak, tetapi pada masa yang sama, meninggalkan pihak yang paling penting:

Pihak kemanusiaan.

Pihak yang mempertahankan prinsip bahawa kita boleh menuntut akauntabiliti tanpa perlu menjadi kejam.

Bahawa kita boleh berbeza pendapat tanpa perlu menanam kebencian.

Bahawa kita boleh menyiasat tanpa perlu menjatuhkan maruah sesama insan.

Bahawa kita boleh mengkritik tanpa perlu menghancurkan hidup orang lain.

Bahawa kita boleh mencari kebenaran tanpa melupakan rasa belas kasihan.

Dan kita boleh mempertahankan kebebasan media sambil menuntut rasa tanggungjawab daripada pihak yang berkuasa membentuk pendapat umum.

Kebebasan tanpa tanggungjawab akhirnya akan menjadi lesen kezaliman.

Kuasa tanpa kemanusiaan akhirnya akan menjadi penindasan.

Ini terpakai kepada kerajaan. Ia terpakai kepada syarikat korporat. Ia terpakai kepada golongan maha kaya. Dan ya, ia juga terpakai kepada para wartawan.

Media dengan wajar menuntut akauntabiliti daripada semua pihak.

Maka, media tidak boleh mengecualikan diri mereka daripada prinsip yang sama.

Justeru, kematian Jason Arday tidak seharusnya dijadikan senjata baru dalam kancah perang budaya.

Tindakan sedemikian hanya akan mengulangi kesilapan yang sama.

Sebaliknya, tragedi ini harus dijadikan cermin.

Cermin untuk pihak universiti.

Cermin untuk dunia kewartawanan.

Cermin untuk media sosial.

Dan cermin untuk setiap daripada kita yang pernah berkongsi sesuatu yang kejam hanya kerana ia kelihatan menghiburkan.

Tiada lagi persoalan sah yang perlu dijawab oleh Jason Arday hari ini kerana kita sebagai sebuah masyarakat telah membiarkan kematiannya berlaku. Kita telah hilang hak untuk mengajukan sebarang soalan kepadanya sekarang. 

Apa yang boleh kita lakukan ialah menyoal diri kita sendiri tentang siapa kita dan apa yang telah kita jadi. Serta menghormati dan meratapi pemergian seorang lelaki muda yang bijak dan penuh inspirasi.

Namun, ada satu lagi soalan yang wujud dan menuntut jawapan tegas:

Masyarakat jenis apakah yang sedang kita bina apabila kemusnahan hidup seorang manusia telah ditukar menjadi bahan tontonan santai?

Lord Simon Woolley benar apabila beliau mendesak kita berdepan dengan apa yang telah berlaku.

Dawn Butler benar apabila beliau menuntut kebertanggungjawaban.

Dan kita yang selebihnya tidak boleh sekadar menggelengkan kepala, meluahkan rasa sedih, lalu meneruskan hidup seolah-olah tiada apa yang berlaku demi mengejar kemarahan baru esok hari.

Majoriti yang senang diam ini telah terlalu lama membisu.

Bersikap sederhana tidak bermaksud kita lemah.

Berbelas kasihan tidak bermaksud kita merendahkan piawaian.

Dan menuntut kesantunan tidak bermaksud kita menentang kebebasan bersuara. Malah, ia adalah sebaliknya.

Itu bermaksud kita sedang mempertahankan sebuah masyarakat di mana kebenaran mampu bertahan tanpa perlu mengorbankan nyawa nilai kemanusiaan itu sendiri.

Mungkin legasi Jason Arday boleh menjadi sesuatu yang lebih besar daripada kontroversi yang meragut minggu-minggu terakhir kehidupannya.

Mungkin ia boleh memperingatkan kita bahawa di sebalik setiap tajuk berita ada seorang manusia.

Di sebalik setiap perbalahan ada sebuah keluarga.

Di sebalik setiap klik ada akibatnya.

Dan mungkin ia boleh menyedarkan berjuta-juta insan budiman di seluruh dunia bahawa kebisuan itu sendiri adalah satu bentuk pilihan.

Sudah tiba masanya untuk majoriti yang rasional bersuara tegas terhadap satu perkara: keengganan kita untuk terus membiarkan budaya demanusiasisasi (penghilangan nilai kemanusiaan) ini berleluasa.

Kita mampu menjadi lebih baik.

Kita wajib menjadi lebih baik.

Dan mungkin langkah pertama itu bermula dengan keberanian kita untuk memandang cermin dan berkata:

Cukuplah. - Getaran, 22 Ogos 2026

Berita Berkaitan

1

Rencana 2 minggu yang lalu

Biodiesel B15: Dasar 2 Dalam 1 Selamat Bekalan Diesel, Kukuh Industri Sawit

2

Rencana 3 minggu yang lalu

Berhenti Menjadi Bidak Politik: Mengapa Negeri Sembilan Lebih Penting Daripada Yang Disangka

3

Rencana 1 bulan yang lalu

Jika Kita Memperjuangkan Palestin, Kita Tidak Boleh Menutup Mata Terhadap Rohingya

4

Rencana 1 bulan yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

Sorotan

1

Robot Humanoid Dijangka Sertai Sambutan Hari Kebangsaan

2

Audit Forensik Felda Dibawa Ke Mesyuarat Kabinet - PM 

3

Bau Busuk Jadi Petunjuk, Polis Temui Mayat Wanita Berikat

4

Jerebu Semakin Buruk, 32 Kawasan Catat Bacaan Tidak Sihat

5

20 Warga China Direman 4 Hari, Disyaki Terlibat Sindiket 'Love Scam'

6

‘Roller Coaster’ Rosak Di Taman Tema, 10 Penumpang Cedera