KUALA LUMPUR - Robot humanoid bakal mencuri perhatian pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini apabila teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) dibawa keluar daripada makmal serta persekitaran industri untuk dipertontonkan kepada orang ramai.
Dua robot humanoid, A1 dan D1, dijadualkan membuat penampilan pada Malaysia Marathon 2026 pada 30 Ogos ini sebelum menyertai perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada hari berikutnya.
Kehadiran kedua-dua robot itu dijangka memberi gambaran mengenai perkembangan pesat teknologi robotik humanoid, khususnya dari aspek pergerakan, keseimbangan, daya tahan serta keupayaan beroperasi dalam persekitaran yang direka untuk manusia.
Menurut Honor, perkembangan berkenaan mencerminkan perubahan arah teknologi robotik, sebelum ini lebih tertumpu kepada mesin bagi melaksanakan tugasan berulang dalam sektor perindustrian kepada sistem yang mampu bergerak dan berinteraksi dalam persekitaran manusia.
“Teknologi ini menunjukkan pembangunan robot kini tidak lagi hanya tertumpu kepada tugasan berulang dalam sektor industri, sebaliknya turut bergerak ke arah sistem yang mampu beroperasi dalam ruang yang direka untuk manusia,” katanya.
Penyertaan D1 dalam acara larian juga mempunyai nilai tersendiri apabila Honor memaklumkan robot berkenaan sebelum ini menyertai Beijing E-Town Humanoid Robot Half-Marathon pada April lalu dan muncul juara dalam kategorinya.
Berbeza dengan robot beroda yang boleh bergerak di permukaan yang lebih stabil, robot humanoid berkaki dua perlu sentiasa mengekalkan keseimbangan ketika berjalan atau berlari, di samping mengawal pergerakan anggota badan serta menyesuaikan langkah mengikut perubahan permukaan.
Keupayaan itu bergantung kepada gabungan sensor, sistem kawalan pergerakan, penggerak mekanikal serta teknologi kecerdasan buatan.
Sensor membolehkan robot mentafsir keadaan sekeliling, manakala sistem kawalan memproses maklumat berkenaan sebelum menentukan pergerakan yang bersesuaian.
Antara cabaran paling kompleks dalam pembangunan robot berkaki dua ialah memastikan keseimbangan sentiasa dikekalkan kerana perubahan kecil pada kedudukan pusat graviti boleh menyebabkan robot hilang kestabilan.
Namun, Honor berpandangan, pembangunan robot humanoid berpotensi menawarkan kelebihan besar memandangkan sebahagian besar infrastruktur yang digunakan manusia sememangnya direka berdasarkan ukuran serta keupayaan fizikal tubuh manusia.
Bagi Malaysia, penampilan A1 dan D1 dalam acara berskala nasional bukan sekadar pertunjukan teknologi, malah mencerminkan peningkatan kehadiran robotik dan AI dalam kehidupan awam serta keterlibatan negara dalam meneroka teknologi baharu.
Daripada makmal penyelidikan ke trek larian dan pentas sambutan Hari Kebangsaan, robot humanoid kini semakin diuji dalam persekitaran yang menghampiri keadaan dunia sebenar.
Persoalan lebih besar selepas ini ialah sejauh mana teknologi berkenaan boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan aspek keselamatan, produktiviti dan kualiti hidup, tanpa mengetepikan peranan manusia sebagai pihak yang kekal mengawal teknologi tersebut. - Getaran, 25 Ogos 2026