KUALA LUMPUR - Jerebu di Malaysia semakin memburuk apabila sebanyak 32 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi hari ini, menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Serian, Sarawak mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 181, sekali gus menghampiri kategori sangat tidak sihat, ketika kualiti udara terus merosot di beberapa kawasan di seluruh negara.
Sarawak kekal sebagai negeri paling terjejas dengan lima lagi kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Sri Aman (166), Kuching (165), Samarahan (159), Sarikei (152) dan Mukah (101).
Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, keadaan turut membimbangkan apabila Johan Setia mencatatkan bacaan 174, diikuti Shah Alam (161).
Putrajaya dan Kuala Selangor masing-masing merekodkan bacaan 156, manakala Batu Muda mencatatkan 154, Banting (152), Klang (151) dan Petaling Jaya (132).
Di wilayah utara, Minden di Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU 154, diikuti Sungai Petani, Kedah (152) dan Seberang Perai (136).
Perak pula merekodkan lima kawasan dalam kategori tidak sihat, dengan Seri Manjung mencatatkan bacaan 155, diikuti Tanjung Malim (154), Tasek Ipoh (153), Pegoh Ipoh (152) dan Taiping (151).
Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan IPU 156, manakala Seremban mencatatkan 153.
Melaka turut terjejas dengan Bukit Rambai mencatatkan bacaan 155 dan Alor Gajah (132).
Di Johor, Segamat, Batu Pahat dan Tangkak masing-masing merekodkan bacaan 152, manakala Kota Tinggi mencatatkan 129 dan Kluang 104.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di kawasan terbuka, khususnya di kawasan yang mencatatkan paras pencemaran udara tinggi. - Getaran, 25 Ogos 2026
