KUALA LUMPUR - Selama 14 tahun, Kasturi menyaksikan anak perempuannya, G. Keziah Nisha, membesar dalam limpahan kasih sayang.
Tidak pernah sekalipun terlintas di fikiran bahawa kata-kata yang datang dari luar lingkungan keluarga akhirnya mampu meninggalkan luka begitu dalam, hingga anaknya menderita seorang diri.
Kini, antara kata-kata terakhir pernah diluahkan Keziah kepada ibunya menjadi kenangan yang paling sukar untuk dipadam.
“Saya nak bagi ibu hadiah.”
Itulah antara kata-kata terakhir yang dikongsi remaja berusia 14 tahun itu kepada Kasturi, beberapa hari sebelum dia ditemui tidak lagi bernyawa.
Pada ketika itu, Kasturi langsung tidak menyangka bahawa ‘hadiah’ dimaksudkan oleh anaknya akan menjadi sesuatu yang meninggalkan duka begitu mendalam dalam hidup mereka sekeluarga.
Mengimbas kembali, Kasturi berkata, dia secara bergurau bertanya mengenai hadiah hari lahir kepada Keziah.
“Adiknya datang dan beri saya hadiah. Bila saya buka, saya bergurau dengan Keziah, ‘Adik kamu dah bagi ibu hadiah, kamu tak nak bagi ibu hadiah juga?’
“Lepas itu dia senyum dan beritahu saya, hadiah itu sedang dalam perjalanan. Jadi saya fikir dia ada pesan sesuatu, macam orang selalu beli barang di TikTok. Saya sangka barang itu masih dalam perjalanan.
“Pada malam Ahad, saya tanya dia lagi, ‘Mana hadiah ibu?’ Sebab sebelum itu dia pernah beritahu saya yang dia ada pesan sesuatu dan minta saya buat bayaran. Bila saya tanya bila barang itu akan sampai, dia periksa dan kata barang itu masih di lapangan terbang, belum tiba.
“Jadi saya fikir hadiah itu akan sampai kemudian. Saya sangka mungkin hadiah itu memang berbaloi untuk ditunggu.
“Tapi saya tak pernah bayangkan hadiah yang dia maksudkan sebenarnya adalah…” katanya, tidak lagi mampu menyembunyikan kesedihan.
Kasturi berkongsi, Keziah pernah menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon kerana mahu dikenali ramai.
Gadis berkenaan katanya, memang suka diberi perhatian dan sering menyuarakan hasrat untuk bergelar individu terkenal suatu hari nanti.
Namun, tidak pernah terlintas di hati seorang ibu bahawa hasrat anaknya untuk dikenali ramai itu akhirnya menjadi kenyataan dengan cara yang amat menyayat hati.
“Bagi saya, tiada seorang ibu pun yang mahu anaknya dikenang dengan cara begini,” katanya.
Kini, satu-satunya harapan Kasturi hanyalah untuk mendapatkan keadilan dan mengetahui kebenaran tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap anaknya.
Dia juga berharap tragedi yang menimpa Keziah menjadi yang terakhir seumpamanya dan tidak ada lagi mana-mana anak yang terpaksa melalui penderitaan serupa.
“Hanya dia yang tahu apa sebenarnya yang dia lalui. Sebagai seorang ibu, saya tahu dia dibuli berdasarkan perbualan kami berdua. Saya tahu dia sedang berdepan tekanan akibat perbuatan itu. Itu saja yang saya tahu.
“Sekarang anak saya sudah tiada. Saya mahu keadilan untuk anak saya,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, mengarahkan siasatan dalaman kematian pelajar Tingkatan Dua itu, yang dikaitkan dengan dakwaan buli secara lisan, termasuk kata-kata berunsur perkauman, diselesaikan secepat mungkin.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata, polis telah merakamkan keterangan daripada 92 saksi setakat Sabtu.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli. - Getaran, 24 Ogos 2026

